Wednesday 2 January 2013

Yuna sah tarik diri

KUALA LUMPUR: Penyanyi tempatan yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna, terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan pada kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 Januari ini.
Keputusan muktamad Yuna seminggu sebelum dia menghadapi pertandingan itu dimaklumkan pengurusnya, Nor Zaina Wardah, 25, atau Wawa.

“Desas-desus mengenai Yuna tidak muncul dalam AJL27 pada 6 Januari ini memanglah benar. Yuna membuat keputusan yang dia tidak beraksi, tetapi membenarkan lagunya dipertandingkan dengan menampilkan penyanyi gantian. “Buat masa ini kami belum memutuskan siapakah yang menggantikan Yuna kerana senarai nama yang dicadangkan masih dalam peringkat perbincangan bersama TV3.
“Insya-Allah keputusan penyanyi gantian itu dibuat esok (Rabu),” katanya kepada Harian Metro, petang semalam.

Melanjutkan perbualan, Wawa berkata lagi, Yuna bukannya sengaja mahu menghampakan jutaan peminat yang begitu ingin melihatnya beraksi di pentas AJL27 menerusi karya ciptaannya, Terukir Di Bintang.

“Namun perkara ini disebabkan Yuna dalam proses rakaman album terbaru. Kebetulan sekarang Yuna tidak lagi bernaung di bawah Fader Label dan menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman utama di Los Angeles, jadi dia terikat dengan komitmen yang bertembung dengan AJL27.
“Tapi maaf juga kerana buat masa ini saya diminta merahsiakan dulu nama syarikat rakaman berkenaan. Apa yang pasti, label ini antara label yang cukup terkenal dan kami berharap ia boleh membawa karier muzik Yuna pergi lebih jauh,” katanya.

Ditanya, apakah keputusan Yuna menarik diri itu disebabkan dia kecewa dengan layanan industri tempatan yang dikatakan memandang sepi terhadap kemampuannya meskipun berjaya di peringkat antarabangsa, Wawa menafikan hal berkenaan.
“Cerita sebegitu tidak benar. Sebaliknya, seperti saya katakan tadi Yuna tidak boleh pulang kerana sibuk dengan rakaman albumnya. Malah menerusi perbualan kami baru-baru ini, Yuna memaklumkan sepanjang Januari, dia terikat dengan rakaman bersama seorang daripada anggota Incubus yang juga produser album itu.

“Disebabkan syarikat rakaman terbabit membiayai kos Yuna di sana, Yuna perlu memberikan komitmen terhadap segala perancangan yang diatur. Disebabkan itu Yuna dengan berat hati terpaksa menarik diri daripada beraksi dalam AJL27,” katanya.

Harian Metro cuba mendapatkan komen penerbit AJL27 berhubung isu lagu Terukir Di Bintang ini namun pihak berkenaan enggan memberikan sebarang komen buat masa ini.

Sumber : myMetro

No comments:

Post a Comment