Ipoh: Seorang remaja lelaki langsung tidak menghiraukan puluhan pelanggan yang berada di sebuah restoran di Taman Desa Kenchana, Bercham, di sini, apabila cuba melarikan telefon pintar milik seorang pelanggan yang sedang menjamu selera.
Tindakan nekad remaja itu memakan diri apabila dia dikepung sebelum dibelasah orang ramai termasuk lebih 20 pelanggan di restoran berkenaan ketika cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal.
Dalam kejadian jam 9 malam, remaja berusia lingkungan 20 an itu dikatakan memasuki premis dan berpura-pura membeli air minuman sebelum beredar.
Bagaimanapun, sebelum beredar dari premis berkenaan, suspek sempat menyambar sebuah telefon bimbit milik seorang pelanggan yang diletakkan di atas meja makan dan cuba melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di hadapan premis itu.
Mangsa yang menyedari telefonnya dicuri terus mengejar suspek dan sempat menghalang suspek yang cuba melarikan diri sebelum dibantu beberapa rakan dan pelanggan restoran.
Seorang saksi yang juga Setiausaha Persatuan Keselamatan Sukarela Kawasan Bercham (PKSKB) Wong Poh Lam berkata, dia berada berhampiran lokasi kejadian sebelum terdengar bunyi bising dari arah restoran berkenaan.
Menurutnya, dia bersama beberapa ahli persatuan lain bergegas ke restoran itu dan mendapati orang awam sudah memberkas suspek berkenaan sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber : myMetro
No comments:
Post a Comment