Sunday, 13 January 2013

Sisi psiko Sharnaaz Ahmad


LAN TODAK jadi simbol baharu kepada kejahatan remaja pesalah juvenil dalam filem yang bakal ke panggung tidak lama lagi itu.

SATU demi satu kontroversi melanda Sharnaaz Ahmad. Pada hujung tahun lepas, dia berkelahi di Twitter usai Anugerah Industri Muzik di Singapura, barangkali aktor paling banyak kontroversi sepanjang 2012.
Tidak seperti kekasihnya Shila Amzah dan keluarga yang sudah kerap meleraikan kusut plot percintaan mereka baru-baru ini, giliran Sharnaaz yang selama ini sukar ditembusi pendirian akhirnya terpaksa membuka mulut. Itu pun ketika ditemui sewaktu hadir ke pratonton filem terbaharu lakonannya, Juvana, Rabu lalu.
Buat pertama kalinya dia mengizinkan dirinya ditemui media secara terbuka. Sharnaaz tidak mampu mengelak lagi. Biarpun memberi alasan berkejaran untuk ke lokasi penggambaran pula, mahu tidak mahu dia harus bersikap optimis.
"Jika dia (Shila Amzah) tidak mahu cakap pasal cinta untuk tahun 2013, saya pun sama. Tahun ini saya hanya mahu bercakap pasal kahwin," ada nada serius di sebalik jawapan berseloroh Sharnaaz ketika merumuskan 'drama Twitter' antara dirinya dengan Shila, Disember lalu.
Kedengaran ringkas namun Sharnaaz seperti memberi penegasan tentang cintanya kepada anak sulung ND Lala itu tidak pernah tergugat. Dalam erti kata lain, Sharnaaz mahu membuang persepsi negatif ramai kononnya dia dan Shila sudah tidak sehaluan.
Tinggalkan seketika kisah Juvana yang mengangkat lakonannya sebagai Lan Todak, alang-alang bertemu Sharnaaz, bukan soal cinta sahaja yang dibangkitkan. Aktor yang pernah terkait isu panas baran serta kuat cemburu itu ditebak dengan persoalan yang sama.
"Memang saya mengongkong dia kerana dia bakal isteri saya dan kami amat serius dengan hubungan yang dijalinkan. Jika dia hanya teman wanita biasa saya, mungkin saya tidak perlu peduli dengan apa yang dia lakukan tetapi dia adalah bakal isteri saya," tegas Sharnaaz.
Enggan mengulas lanjut kerana mahu menutup kontroversi dengan jalan terbaik, Sharnaaz bagaimanapun mengakui, tahun 2012 merupakan tahun panas dalam hidupnya.
"Tahun 2012 memang tahun panas buat saya sedangkan tahun 2012 sepatutnya menjadi tahun saya. Angka 12 itu sendiri sebenar angka kegemaran saya. Tapi, apa boleh buat, kita tidak rancang pun semua itu.
"Tahun ini saya mahu kembali untuk menjadi diri saya dan nak fokus pada kerjaya. Terus-terang, saya tak mahu buat hal lagi," janjinya sambil mengharapkan keganasan dan kegilaan Lan Todak dalam Juvana dapat diterima umum.
Akui Sharnaaz lagi: "Shila sendiri tidak menyukai karakter Lan Todak."
Lan Todak watak antagonis baharu yang masuk menyertai filem arahan Faisal Ishak itu. Tidak peduli tanggapan sesetengah pihak bahawa watak itu persis membayangkan satu sisi dirinya yang psiko, bagi Sharnaaz, setiap manusia ada sikap sebegitu dalam diri masing-masing.
"Setiap manusia ada sifat psiko sendiri, tetapi antara hendak ditonjolkan atau tidak, peluang itu datang hanya sekali. Tapi psiko saya itu hanya dalam lakonan semata-mata," tutup Sharnaaz.
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment