Tuesday, 15 January 2013

Cinta jarak jauh Hafiz

 
Menjangkau usia 29 tahun, Hafiz Hamidun memasang impian bergelar suami dan dia sudah pun bertemu wanita idamannya. Namun jarak memisahkan mereka kerana wanita yang dikenali dengan nama Nabila itu menetap di kota suci Makkah bersama keluarganya.
Dua insan itu bertemu di Makkah ketika Hafiz mengerjakan umrah pada Mac lalu. Pertemuan antara mereka tidak disengajakan kerana ia bermula daripada perbincangan perniagaan antara Hafiz dengan bapa Nabila. Keluarga Nabila berasal dari Bandung, Indonesia tetapi sudah lama menetap di Makkah. 
Daripada situlah perkenalan bermula dan kali pertama bersua, terdetik di hati Hafiz inilah wanita yang sesuai menjadi penemannya. 

“Harap dapat disegerakan perkara (berkahwin) yang baik itu. Saya akan mengerjakan umrah pada Mac ini dan berharap dapat bertemu dengan Nabila dan keluarganya. Nabila masih belajar dan hanya akan menamatkan pengajian lebih kurang dua tahun lagi.

“Hubungan jarak jauh pasti ada dugaannya tetapi saya yakin kalau ada jodoh tidak akan ke mana. Pun begitu saya tidak mahu menjanjikan apa-apa, jika sudah termeterai segala perjanjian antara kami, barulah akan saya maklumkan kepada semua. Harapan saya juga kami dapat diijab kabulkan di hadapan kaabah yang suci itu,” katanya.

Hafiz ditemui pada sidang media mengumumkan Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang akan diadakan buat kali kedua di Stadium Bandaraya Johor Bahru pada 23 Februari ini, jam 8.30 malam. 

Konsert Zikir Terapi yang julung kali diadakan di Dewan Perdana Felda, pada 14 November lalu mendapat sambutan yang cukup baik. Lebih 2,000 penonton datang menyaksikannya. 

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, dia mendapat permintaan daripada peminatnya di JB supaya mengadakan konsert yang sama di sana. Peminat di Singapura juga khabarnya sanggup turun ke JB untuk menyaksikan persembahannya. 

Tanpa penajaan pada Konsert Zikir Terapi yang pertama, Hafiz menerusi syarikatnya Arteffects International sanggup membiayai sendiri kos kerana mahu membudayakan zikir. 

“Sebelum berlangsungnya konsert itu, album Zikir Terapi berjaya dijual sebanyak 80,000 unit dan selepas konsert itu, album itu berjaya dijual 40,000 unit lagi dan menjadikan semuanya berjumlah 120,000, album paling laris jualannya pada 2012. 

“Saya ikhlas mengeluarkan kos penganjuran konsert ini dan untuk konsert kedua ini ada beberapa syarikat yang mengatakan hasrat mereka untuk menaja tetapi semuanya masih dalam perbincangan kerana saya mahu pelaburan mereka mendapat pulangan setimpal. 

“Persiapan untuk konsert kedua ini lebih rapi dengan kehadiran pasukan pemuzik yang diketuai Faizal Uzir, penampilan Zainal Ariffin Ismail selaku narator, kemunculan istimewa Imam Muda Asyraf dan ramai artis terkenal lain yang akan saya umumkan nanti,” katanya yang turut menghasilkan VCD Karaoke Zikir Terapi. 

Impian terbesar Hafiz untuk mengadakan Konsert Zikir Terapi di Istana Budaya (IB). 

“Membuat persembahan di IB adalah impian setiap anak seni. Saya mahu menjemput pengarah muzik handalan mengiringi persembahan saya dan artis undangan terdiri daripada mereka yang bernama besar. Saya mahu mencetuskan fenomena baru dalam dunia muzik Islam. 

“Setiap manusia perlu mengingati Allah SWT pada setiap masa, tidak kira dia siapa dan di mana berada. Jadikan zikir amalan harian dan saya mahu orang pandang betapa indahnya kalimah suci Allah SWT itu. Andai kata ia berjaya ‘masuk’ ke IB, ia kejayaan terbesar saya,” katanya.
Sumber : myMetro

No comments:

Post a Comment