Sunday 13 January 2013

Wanita lebih berisiko tinggi

Jika berada di restoran, tempat awam dan pasar raya, kita dapat perhatikan wanita merokok adalah satu kebiasaan berbanding 10 tahun lepas. Peredaran zaman berubah disebabkan pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan perokok wanita.
Statistik oleh Kementerian Kesihatan pada 2006 menunjukkan, wanita mula merokok seawal peringkat remaja ketika berumur 14 tahun. 20 peratus daripada 1 bilion perokok di dunia adalah wanita. Mereka cuba melakukan apa yang lelaki buat, tetapi mereka lupa bahawa genetik dan struktur sel wanita amat berbeza dengan lelaki di mana kecenderungan komplikasi daripada merokok adalah lebih tinggi berbanding lelaki.

Wanita merokok mempunyai 12 kali ganda risiko untuk mendapat kanser paru-paru berbanding wanita tidak merokok. Bagi wanita yang merokok dua kotak sehari mempunyai risiko hampir 70 peratus kematian disebabkan barah payudara. Bagi yang sudah menopos, risiko patah tulang pinggul adalah lebih tinggi jika anda adalah perokok.
Merokok meningkatkan tiga kali ganda kesan kematian pramatang pada wanita, iaitu kematian pada usia muda disebabkan sakit jantung, barah terutamanya paru-paru, payudara dan pangkal rahim juga serangan angin ahmar atau strok.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Oxford menunjukkan, jika wanita berhenti merokok sebelum usia 40 tahun, dapat mengelakkan 90 peratus kematian disebabkan kesan merokok. Jika wanita berhenti merokok sebelum usia 30 tahun, anda dapat mengelakkan hampir 97 peratus risiko kematian. Bagi yang terus merokok menjangkaui usia 40 tahun, risikonya ialah 10 kali ganda berbanding populasi umum. Perokok wanita sebenarnya mengurangkan jangka hayat mereka sebanyak 10 tahun jika dibandingkan dengan yang bukan perokok. Merokok sebenarnya mendatangkan lebih banyak kesan buruk kepada wanita jika dibandingkan dengan lelaki. Selain penyakit barah, jantung dan respiratori, wanita merokok juga mengalami masalah kesuburan dan berdepan risiko ketika mengandung serta melahirkan anak pramatang dan keguguran.

Merokok meningkatkan risiko mereka mendapat barah pangkal rahim dan barah payudara sebelum menopos. Kepada semua wanita yang merokok, risiko dan simptom penyakit ini memang tidak akan kelihatan selepas sehari, sebulan atau setahun anda merokok. Ia bermula selepas lima atau 10 tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment