Sunday 22 September 2013

Produk McDonald's 100 peratus halal

  • Produk McDonald's 100 peratus halalChew mempamerkan set Burger GCB selepas pelancaran hidangan bermusim itu di restoran McDonald’s cawangan Mutiara Damansara, semalam.
MCDONALD’S Malaysia, semalam, menafikan produk yang dihidangkan di restoran miliknya mengandungi bahan tidak halal LM 10 seperti didakwa segelintir pihak di laman media sosial sebelum ini.

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia, Stephen Chew berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar dan menegaskan restoran tersebut tidak menggunakan bahan itu dalam mana-mana produk mereka.

Menurutnya, produk McDonald’s termasuk sos yang diimport disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa halal lain yang mendapat pengiktirafan Jakim.

“Pelanggan boleh menikmati hidangan kami dengan rasa yakin kerana ia disediakan dan dibekalkan memenuhi ketetapan pihak berkuasa dan kementerian berkaitan.

"McDonald’s Malaysia mendapat sijil halal pada 1990,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Burger GCB di Kuala Lumpur, semalam.

Chew berkata, McDonald’s sendiri mempunyai Jawatankuasa Halal Dalaman yang diketuai Pengarah Guaman McDonald’s Malaysia, Wan Mohd Zam Wan Embong untuk memastikan produk dikeluarkan mematuhi keperluan syariah dan halal yang ditetapkan Jakim.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan awal tahun ini dan bertanggungjawab memastikan produk McDonald’s adalah 100 peratus halal. Ia dianggotai empat jabatan iaitu Jabatan Pembekalan McDonald’s, Jaminan Halal, Operasi dan Sumber Manusia yang kesemua kakitangannya beragama Islam.

“Mereka juga dipantau oleh dua agamawan iaitu seorang pensyarah dari Universiti Putra Malaysia dan seorang imam di sebuah masjid di Kuala Lumpur,” katanya.

Chew berkata, pihaknya tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan dakwaan itu sebaliknya akan terus mendidik rakyat di negara ini mengenai produk mereka.

Dalam sidang media sama, Chew menjelaskan bahawa sehingga kini, terdapat 500 restoran McDonald’s di seluruh negara dan syarikat itu dijangka membuka empat lagi cawangan tahun ini dan 40 cawangan tahun depan dengan nilai pelaburan RM100 juta.

Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Friday 20 September 2013

Eja Azam Tidak Tinggalkan Solat Selepas Bertudung

Eja lebih berjaga-jaga dalam perlakuan serta pertuturan kata 
PETALING JAYA: Selepas membuat keputusan bertudung sekembalinya dari menunaikan umrah pada Mac lalu, pelakon Eja mempraktikkan diri untuk tidak meninggalkan solat.
Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 41, berkata, selama ini dia jarang melengkapkan sembahyang lima waktu yang diwajibkan untuk umat Islam kerana kesibukan tetapi selepas mendapat hidayah Allah, dia akan pastikan kewajipan itu dapat dilaksanakan walaupun di lokasi penggambaran.
"Sebagai manusia, banyak kekurangan yang saya miliki kerana sibuk dengan hal-hal dunia dan sepanjang 17 tahun berada dalam industri seni, kadang-kadang saya lupa terhadap kewajipan saya.
"Tetapi sejak pulang daripada mengerjakan Umrah buat kali keempat, hati dan fikiran saya sudah mula berubah.
"Saya memastikan diri ini tidak tinggalkan solat dan seandainya terlepas dengan tidak sengaja, saya akan qada semula. Selebihnya saya serah kepada Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Tambah pelakon yang popular dengan filem Sepi dan Janin ini, perubahan imej bertudung juga membuatkan dia lebih berjaga-jaga daripada segi tingkah laku serta pertuturan agar tidak dipandang serong.
Watak bertudung Eja dalam drama lakonannya turut mempengaruhi dia menutup aurat. 
Malah Eja juga berazam untuk melakukan kebaikan sesama manusia agar dapat menggembirakan mereka selain berusaha tidak melukakan hati sesiapa.
Sementara itu, Eja juga bersyukur imej baharu itu tidak menyekat rezekinya sebagai pelakon sebaliknya tawaran yang diterima tidak pernah putus termasuklah turut dilantik menjadi duta buat produk Cosry Skin Therapy.
"Kalau nak tahu, saya menandatangani kontrak dengan pihak Cosry sebelum bertudung dan Alhamdulillah apabila bertudung, mereka tetap menerima imej baru saya ini.
"Dan saya berpendapat, apabila kita melakukan perubahan kerana Allah, sudah pasti rezeki kita sentiasa ada dalam apa-apa situasi sekalipun asalkan kita rajin berusaha," ujarnya.
Dalam pada itu Eja turut menasihati artis-artis bertudung lain agar tidak risau untuk meneruskan karier kerana industri hiburan tempatan sekarang ini lebih terbuka.
Mengenai perkembangannya Eja baharu selesai menjalani penggambaran filem Tembus,arahan Ahmad Idham dan Manisnya Cinta (Bernard Chauly).
Malah Eja juga bakal mengacarakan sebuah program televisyen mengenai isu wanita dan berhajat mengarah sebuah filem pendek tidak lama lagi.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Sunday 15 September 2013

Black sah jadi suami dengan sekali lafaz

  • Black sah jadi suami dengan sekali lafaz
HANYA dengan sekali lafaz tepat jam 12.06 tengahari, Hanifah Md Hanafiah, 26, atau lebih dikenali sebagai Black sah bergelar suami kepada Naquia Yasirah Binti Mohammad Khairi, 28, atau Chira Khairi di Zebra Square, Kampung Pandan.

Black dan Chira telah diijabkabulkan oleh bapa Chira sendiri dengan mas kahwin RM80 dan wang hantaran berjumlah RM12 ribu disaksikan oleh Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Bandaraya.

Majlis pernikahan ini menyaksikan pihak lelaki memberikan 7 dulang hantaran berupa sepasang telekung, beg tangan Chanel, minyak wangi Bvlgari, sebentuk cincin, iPad Mini, sepersalinan baju serta kasut Charles & Keith, dan juga set kosmetik Kanebo, lapor ohbulan!

Manakala pihak perempuan pula membalas dengan 9 dulang hantaran.

Untuk pengetahuan, majlis pernikahan kedua mempelai ini telah dihadiri oleh pihak keluarga dan juga rakan-rakan terdekat kedua buah keluarga.

Majlis persandingan Black dan Chira akan diadakan di dewan komuniti Bangsar pada waktu malam berkonsepkan ‘english contemporary’ untuk sebelah perempuan. Sebelah lelaki pula akan diadakan pada 14 September bertempat di Zebra Square, Kampung Pandan.

Bagaimana pun, Black akan mengadakan majlis resepsi mereka untuk kali ketiga di padang bola PPRT Pantai Dalam pada hari Ahad, 15 September ini bagi meraikan hari bahagianya bersama para peminat di tempat dia membesar.

Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Thursday 12 September 2013

'Vikingdom' Dapat Pulangan RM10 Juta Sebelum Tayangan

Yusry Abdul Halim 
PETALING JAYA: KRU Studios telah berjaya menjana pulangan sebanyak RM10 juta menerusi filem Vikingdom: The Blood Eclipse sebelum ia ditayangkan di seluruh negara bermula 12 September 2013.
Pengarahnya, Yusry Abdul Halim berkata, jumlah itu adalah hasil daripada penjualan hak pengedaran filem berkenaan di Amerika Syarikat termasuk di 10 buah negara lain.
"Vikingdom mula menjana pendapatan sebelum ia ditayangkan apabila ada beberapa pihak berminat untuk mengedarkan filem ini untuk pasaran antarabangsa.
"Malah pihak Universal Pictures juga bersetuju untuk menjadi pengedar di negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Sweden, Denmark dan Brazil," katanya ketika ditemui semasa tayangan perdana filem itu di Sunway Pyramid di sini, malam Rabu.
Filem yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia itu menelan kos sebanyak RM20 juta dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
Ia bakal ditayangkan di Amerika Syarikat pada 4 Oktober depan dan membariskan pelakon-pelakon seperti Dominic Purcell, Conan Stevens dan Natassia Malthe.
Dalam pada itu, Yusry berkata, rakyat Malaysia perlu berbangga dengan penghasilan filem berkenaan kerana ia dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga produksi tempatan walaupun membariskan pelakon luar negara.
Malah Yusry menyifatkan Vikingdom sebagai permulaan baharu terhadap industri perfileman di Malaysia.
"Apabila kami memulakan projek berkenaan kami sedar tentang semua cabaran yang harus dihadapi.
"Bagaimanapun semua pihak yang terlibat berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi menjadikan projek ini satu realiti," katanya.
Filem tersebut menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Puncak Alam, Selangor, Gua Tempurung dan Kellie’s Castle di Perak.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment