Thursday 28 February 2013

Halim Othman Perkenalkan Tarian 'Halim Shake'

Tarian Halim Shake yang diketuai oleh Halim Othman dipersembahkan di lobi Menara Star pada Rabu.
PETALING JAYA: Selepas Gangnam Style, kini tarian Harlem Shake menjadi fenomena terbaharu dunia Youtube.
Tidak terlepas terkena demam Harlem Shake, penyampai radio Suria FM, Halim Othman turut mempunyi tarian Harlem Shakenya tersendiri yang digelar Halim Shake.
Halim bersama beberapa rakan deejay (DJ) dari Red FM menghiburkan pengunjung termasuk Timbalan Pengerusi Eksekutif The Star, Datuk Vincent Lee di lobi Menara Star pada Rabu.
Menurut Halim, pada awalnya dia telah dipaksa oleh DJ Red FM, Lil Kev dan JJ yang mana telah bertanggungjawab memuat naik video asal mereka Halim Shake di Youtube yang berdurasi 1.08 minit.
"Satu hari mereka berdua telah meletakkan kamera di depan saya dan meminta saya untuk menari seperti seperti Tan Sri SM Salim dalam lagu Apa Dah Jadi, jadi saya hanya menari mengikut apa yang saya tahu sahaja," katanya.
Berikut adalah pautan kepada video Halim Shake yang dimuat naik di YouTube baru-baru ini: http://youtu.be/jz2YL8fcnNU
Halim memberitahu pergerakan tarian yang dilakukannya cukup mudah, namun apa yang sukar kerana dia tidak pandai menari.
Sementara itu, DJ Lil Kev berkata idea dan konsep asal koreografi untuk tarian Halim Shakeini adalah daripada anaknya.
Dia berpendapat Halim Shake akan lebih mudah diterima dalam budaya masyarakat di Malaysia dan lebih bersopan santun.
"Ini adalah 100 peratus Malaysia, ia mudah diterima masyarakat kita, ditambah pula Halim Othman merupakan seorang ikon radio," katanya.
Kumpulan tarian Halim Shake terdiri daripada kakitangan kumpulan radio The Star, termasuk Suria FM, Red FM, 98.8 FM dan Capital FM.
Tarian Shake Harlem, yang muncul di YouTube awal bulan ini, adalah hasil kerja TheSunnyCoastSkate iaitu sekumpulan pemain papan luncur dari Queensland Australia, yang melakukan tarian spontan apabila hujan menghalang aktiviti luar mereka.
Harlem Shake dikatakan sebagai pencabar kepada video Gangnam Style dari artis Korea Selatan, Psy, yang telah memecah rekod satu bilion tontonan di YouTube.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Murid selamat al-Quran

Rantau Panjang: Ketika kanak-kanak lain seronok bermain air, lain pula dilakukan Nurul Natasha Mohd Yasin, 11, apabila dia menyelamatkan beberapa naskhah al-Quran di dalam bilik darjah yang ditenggelami banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, di sini, semalam.
Nurul Natasya yang juga murid tahun lima sekolah berkenaan berkata, dia keluar rumah untuk melihat keadaan sekolahnya yang ditenggelami banjir sebelum teringat ada beberapa naskhah al-Quran berada di dalam bilik darjah.
Katanya, meskipun terpaksa meredah air sehingga paras pinggang dalam kawasan sekolah berkenaan, dia memberanikan diri untuk melihat keadaan bilik darjah.

“Selepas masuk ke dalam bilik darjah saya memeriksa setiap meja murid dan mendapati ada al-Quran tertinggal sebelum segera menyelamatkannya daripada ditenggelami banjir.
Foto
NURUL Natasha menyelamatkan beberapa naskhah Al-Quran di dalam bilik darjah daripada ditenggelami banjir.

“Meskipun terpaksa meredah banjir sehingga paras pinggang, saya tetap memberanikan diri untuk melihat keadaan bilik darjah, malah saya menganggap ia satu tanggungjawab sebagai umat Islam,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Penyebab Qi & Yuna Berpisah?: Nelydia Jelaskan

Kredit foto Faisol MustafaKredit foto Faisol Mustafa

Meskipun sebelum ini Nelydia Senrose pernah membuat kenyataan mengenai hubungannya dengan pelakon Qi Razali tidak lebih sebagai kawan, namun masih ada cakap-cakap yang mendakwa dialah yang menjadi penyebab jejaka itu berpisah dengan teman wanitanya, penyanyi Yuna.

Spekulasi dikukuhkan lagi dengan gosip yang timbul baru-baru ini ekoran gambar-gambar mesra mereka tersebar di ruang internet. Malah ada rakan media yang pernah terserempak dengan mereka di sebuah pusat membeli belah beberapa bulan lalu. Lantas pelakon muda yang semakin meningkat naik namanya ini dikatakan sedang asyik bercinta dengan aktor tersebut.

Bertemu dengan Nelydia sendiri di satu majlis, pelakon Setia Hujung Nyawa ini berkata dia sudah dapat menjangka akan berdepan dengan tuduhan sebegini. Walau bagaimanapun gadis berusia 19 tahun ini menafikan perhubungan Qi dan Yuna berakhir disebabkan dirinya.

“Saya bukan punca Qi dan Yuna berpisah. Saya rapat dengan Qi pun baru jer lagi. Hubungan kami sekadar kawan baik”, katanya turut mengakui mula rapat dengan Qi sejak dua bulan lalu tetapi tidak lebih dari seorang teman rapat.

Nelydia ketika ditemui di majlis sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2012), di Holiday Villa, Subang, semalam.

Penuntut Segi College dalam jurusan psikologi ni dan Qi sebelum ini pernah bergandingan dalam drama bersiri terbitan TV9, Friday I’m in Love.

Menyifatkan Qi sebagai seorang lelaki yang bijak, justeru Nelydia mengakui lelaki itu merupakan individu yang sering menjadi bahan rujukan berkenaan pelajaran di kolej.

"Kalau ada apa-apa tugasan kolej yang saya tak faham, saya banyak minta bantuan dia. Dia pun sentiasa bersedia membantu saya. Dengan usia dia nak masuk 37 tahun, Qi matang dan sentiasa bijak dalam setiap tindakannya", ujarnya yang juga menolak seandainya bertemu jodoh dengan lelaki yang jauh lebih tua darinya asalkan lelaki tersebut matang.

Tambah Nelydia lagi, walaupun dia berdepan dengan tuduhan sebegitu, dia tidak bimbang kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan. Malah menganggap ianya sebagai lumrah sebagai seorang artis.

"Saya tak takut dituduh penyebab mereka berpisah sebab saya tak buat apa-apa. Saya pun tak pernah jumpa dengan Yuna sejak cerita ni timbul. Perkara ni saya anggap lumrah sebagai seorang artis.

Lagipun saya dan Qi memang hanya sebagai kawan. Saya tak pernah tanya apa-apa pasal kehidupan dia mahupun hubungan cinta dia sebab saya tahu saya tak ada hak nak tanya apa-apa", katanya.

Sumber : Malaysiandigest.com
Reply To This Comment

Pencuri obes jatuh longkang

Pencuri obes jatuh longkang
Abd Lah (tengah) menunjukkan kesan pecah masuk pada pintu rumahnya bersama Faizal (kanan) dan Roslan (kiri).
KLEBANG - Berat badan berlebihan menjadi punca seorang pencuri gagal melarikan diri daripada dikejar penduduk selepas memecah masuk sebuah rumah di Lorong Kampung Tengah, Klebang Besar, di sini semalam.

Lebih malang, pencuri berusia 45 tahun yang dianggarkan mempunyai berat badan lebih 100 kilogram itu bukan saja keletihan, malah terperosok dalam longkang dan tidak mampu menggerakkan badannya sebaik saja sudah jatuh.

Sebelum kejadian, pemilik rumah terbabit, Abd Lah Mohamad, 59, baru sahaja pulang kira-kira 10.45 pagi, selepas menghantar tiga anaknya ke sekolah dan mencari belangkas di kawasan Pantai Lereh.

Menurut Abd Lah, sebaik sampai di rumah, dia mendapati pintu hadapan dalam keadaan terbuka dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru diletakkan di halaman.

“Saya terus mengambil kunci motosikal itu, lalu secara tiba-tiba ternampak seorang lelaki terus keluar dari rumah menghala ke arah saya untuk mendapatkan motosikalnya.

“Saya terus menendang motosikal itu sehingga rebah, sebelum lelaki terbabit cuba lari. Pada masa sama, saya minta pertolongan abang dengan seorang anak saudara untuk mengejarnya,” katanya.

 Sementara itu, anak saudara Abd Lah, Faizal Roslan, 25, berkata, dia bersama bapanya, Roslan Mohamad, 66, mengejar dan berjaya mencekup pencuri terbabit setelah lelaki itu  tidak mampu lagi bergerak apabila termasuk ke dalam longkang.

“Mungkin disebabkan badannya yang terlalu gemuk dan berat badannya dirasakan melebihi 100 kilogram jadi dia sukar untuk melepasi longkang.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis selepas tubuh badannya yang penuh air longkang dibersihkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Selepas kejadian itu, mereka kemudian menghubungi Balai Polis Batang Tiga, di sini bagi mendapatkan bantuan.

Difahamkan, hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga bilik dalam rumah berkenaan berselerak, namun tiada barang dikenal pasti hilang dipercayai kerana pencuri terbabit tidak sempat mengambilnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

"Polis masih melakukan siasatan sama ada suspek mempunyai rekod lampau atau ada terbabit dengan mana-mana sindiket tertentu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500

Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500
Amir Azizan (kanan) dan gurunya Mohd Taat menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya
Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500
Amir Azizan menunjukkan S$10, nilai sama yang diberikan kepadanya oleh wanita yang tercicir S$15,000
BATU PAHAT – Seorang pelajar tingkatan satu sanggup mengayuh basikalnya sejauh 200 meter untuk mengejar sebuah kereta dipandu seorang wanita untuk memulangkan semula beg tangan mengandungi S$15,000 (RM37,500) yang tercicir.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa, Amir Azizan Hashim, 13, mengakui tindakannya itu didorong oleh pesanan ibu tersayang supaya memulangkan kembali setiap barang yang ditemui kepada pemiliknya.

Menurutnya, beg tangan itu terjatuh di tempat letak kereta di sebuah pasar raya setelah wanita terbabit meletakkan beg tangan berkenaan di atas bumbung kereta sebelum meninggalkan lokasi, dipercayai untuk pulang ke Singapura.

“Saya tetap ingat pesanan emak, jika terjumpa barang orang kena pulangkan, kalau boleh beri pada pemiliknya. Kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 10 pagi, awal Januari lalu. Ketika itu saya sedang membeli surat khabar berhampiran sebuah pasar raya yang terletak di Taman Soga.

“Saya menaiki basikal dari rumah yang terletak berhampiran pasar raya itu sebelum ternampak seorang wanita sedang menaiki kereta jenis Nissan berwarna hitam dan beg tangannya berada di atas bumbung kereta.

“Saya percaya wanita berusia lingkungan 30-an itu tidak menyedari beg tangannya berada di atas bumbung kereta sebelum dia terus menggerakkan kenderaannya dan berlalu dari situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Amir berkata, sebaik beg tangan wanita itu terjatuh, dia segera bertindak mengambil beg tangan berkenaan dan terus memeriksa kandungannya seterusnya mendapati satu sampul surat mengandungi wang tunai Singapura, dokumen pengenalan diri dan seutas jam tangan.

“Ketika memeriksa beg berkenaan, saya mendapati terdapat satu sampul surat yang mengandungi wang tunai dollar Singapura selain pasport dan seutas jam tangan dipercayai milik wanita terbabit.

“Saya terus mengayuh basikal mengejar kereta berkenaan untuk memulangkan semula beg tangan miliknya. Alhamdulillah saya dapat mengejarnya ketika di simpang jalan seterusnya memulangkan kembali beg terbabit,” katanya.

Beliau berkata, terharu dengan keikhlasannya, wanita terbabit beberapa kali mengucapkan terima kasih dan menghulurkan sejumlah wang sebagai sagu hati kepadanya.

“Saya tidak menerima wang berkenaan kerana teringat pesanan daripada ibu dan ayah yang kerap kali menasihati saya untuk tidak menerima apa-apa pemberian daripada orang yang tidak dikenali. Wanita itu bertanya beberapa maklumat diri saya antaranya alamat sekolah sebelum dia berlalu pergi dan saya terus pulang ke rumah dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu dan ayah.

“Emak puji tindakan yang saya lakukan dan menasihati saya untuk meneruskan sikap sebegini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Dato’ Syed Esa, Mohd Taat Kasran berkata, sikap yang ditunjukkan pelajar sekolahnya yang bertindak jujur memulangkan semula wang dan beg tangan berkenaan sangat dipuji.

“Wanita terbabit menghubungi pihak sekolah beberapa hari selepas kejadian bagi memaklumkan berhubung keikhlasan Amir yang sanggup memulangkan wang miliknya sebanyak S$15,000 (RM37,500).

“Kami seluruh warga sekolah sangat berbangga dengan tindakan Amir yang diharap dicontohi pelajar lain bukan saja di sekolah ini, tetapi di sekolah lain di seluruh negara. Sebagai penghargaan, pihak sekolah beri sijil kepada Amir bagi menghargai tindakannya,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Terduduk atas arus elektrik

Klang: Sikap individu tidak bertanggungjawab mencuri penutup kotak pembekal elektrik (link box) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah (SMKTIS), Kapar, di sini, membawa padah apabila seorang pelajar lelaki maut terkena renjatan elektrik.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari semalam, mangsa, Mohd Amirul Shafiq Halim, 15, dikatakan duduk di atas kotak pembekal elektrik berkuasa 33 kilovolt (kV) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama tujuh rakan yang lain. 
Bagaimanapun, tiba-tiba dia terkena renjatan arus elektrik yang mengalir dari kotak itu sebelum terpelanting dan tidak sedarkan diri.

Saksi, M Ganisan, 55, yang berada tidak jauh dari tempat kejadian berkata, ketika kejadian dia sedang melakukan rondaan rutin di kawasan luar sekolah bagi memantau keadaan keselamatan pelajar.
Foto
KAWASAN kejadian kini dilarang masuk untuk mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar kekecohan di kalangan pelajar sebelum bergegas meninjau apa berlaku.
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Wednesday 27 February 2013

‘Pergaduhan manja’ berakhir

Kuala Lumpur: “Saya bersyukur kerana hubungan dua beranak ini kembali pulih,” kata Datin Fatimah Ismail yang menarik nafas lega sejurus menyaksikan suaminya, Datuk Yusof Haslam dan anak, Syamsul sudah berbaik semula selepas hubungan dua beranak itu dikatakan renggang sebelum ini.
Permohonan maaf diajukan Syamsul menerusi akhbar, Ahad lalu ternyata menggembirakan Fatimah dan kegembiraan itu semakin bertambah apabila suaminya menerima kenyataan maaf daripada anaknya itu.
Fatimah berkata, dia bersyukur apabila hubungan dua beranak itu kembali pulih biarpun sebelum ini kedua-dua mereka sering berbalah dan berselisih faham terutama dalam hal kerja.

“Saya tahu mereka tidak pernah berdendam,” katanya memaklumkan Syamsul sering memberitahu sangat sayangkan bapanya.
Foto

Akhbar ini sebelum ini melaporkan hubungan Yusof dan Syamsul dikatakan renggang apabila pelakon muda itu difahamkan melengah-lengahkan proses suntingan filem KL Gangster 2 sehingga menyebabkan bapanya ‘berang’.
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Bongkar aib penggali kubur

Alor Gajah: Tindakan seorang penggali kubur menyewakan sebuah rumah untuk kekasihnya selain berlagak seperti pasangan suami isteri sejak hampir setahun lalu terbongkar selepas diserbu ahli jawatankuasa (AJK) masjid bersama polis di sebuah taman perumahan di Kampung Sungai Petai, di sini, petang kelmarin.
Serbuan diketuai Imam Satu Masjid Kampung Sungai Petai, Ismail Maaruf bersama ahli jawatankuasa masjid serta sepasukan polis hasil maklumat awam pada jam 4 petang.
Harian Metro difahamkan, penggali kubur berusia 30-an itu menyewakan rumah milik arwah bapa saudaranya itu RM200 sebulan dan sering bermalam di rumah kekasihnya yang juga pelajar sebuah kolej berusia 20-an.

Sumber berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit sedang berasmara di ruang tamu rumah sewa mereka sambil menonton televisyen.
Foto
PENGGALI kubur dan pasangannya ditahan imam serta AJK Masjid Kampung Sungai Petai, Alor Gajah.

“Selepas memberi salam, pasangan yang menyedari kehadiran pasukan serbuan kelam-kabut. Penggali kubur yang ketika itu berseluar pendek mempersoalkan tindakan iman bersama jawatankuasa masjid dan polis yang melakukan serbuan di rumah berkenaan.
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Zain Saidin nafi nikah Che Ta Julai ini

Zain Saidin - Rozita
Zain Saidin - Rozita
PELAKON Oh My English, Zain Saidin menafikan bakal bernikah dengan kekasihnya, Rozita Che Wan pada Julai ini.

Laporan akhbar tempatan semalam menyebut, pelakon, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta sudah memilih tarikh untuk bernikah Julai ini dengan Zain.

Ketika dihubungi, adik kepada Shasha Saidin ini menafikan laporan itu.

“Saya tanya Che Ta, dia kata tak pernah pun kata nak kahwin Julai. Mereka (akhbar) tulis sendirilah. Saya tanya dia tentang kenyataan itu, dia kata tak ada pun (bagi kenyataan) ,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Sebelum ini, Che Ta lebih memilih untuk berdiam diri bercakap tentang kisah cintanya dengan pelakon berwajah Pan Asia itu.

Beberapa minggu lalu, mereka bercuti ke Singapura bersama keluarga Che Ta sempena cuti sekolah.

Dalam pada itu, Zain juga akui masih belum ada perbincangan tentang perkahwinan.

“Belum ada perbincangan tentang perkahwinan lagi tetapi insya-ALLAH kalau ada rezeki hujung tahunlah,” katanya.

Mengulas lanjut soal laporan akhbar itu, Zain berkata, tidak logik jika pernikahan mereka pada bulan Julai.

“Julai itu bulan puasa kan? Ada ke orang kahwin bulan puasa? Kalau fikir secara logiknya, tak kan saya nak kahwin bulan puasa. Tak nak ajak orang datang kahwin ke apa?” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian Online melaporkan, Zain serius untuk bernikah dengan Che Ta dan merancang untuk berkahwin hujung tahun ini.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Budak 10 tahun mampu bangun, berjalan selepas digilis traktor

Budak 10 tahun mampu bangun, berjalan selepas digilis traktor
Hamid(kiri) menunjukkan kesan kecederaan dialami Muhammad Syafiq berserta laporan perubatan mengenai keadaan kesihatan anaknya.
Budak 10 tahun mampu bangun, berjalan selepas digilis traktor
Keadaan Muhammad Syafiq ketika menerima rawatan susulan di wad ICU Hospital Taiping.
ALOR PONGSU - “Bagai mati hidup semula," itu adalah pengakuan kanak-kanak yang terselamat setelah sebahagian badannya digilis traktor pengangkut kelapa sawit seberat dua tan dalam kemalangan di Changkat Lobak, di sini. baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak terbabit, Muhammad Syafiq Hamid, 10 menceritakan, dia dapat bangkit dan berjalan seperti biasa mendapatkan ayahnya yang sedang memandu traktor tanpa sebarang rasa sakit.

Menurutnya, bapanya sedang memandu traktor menuju ke pusat pengumpulan hasil sawit di Changkat Lobak sewaktu kejadian pada jam 2.30 petang itu berlaku, untuk menjual hasil sawit yang dikutip di kebun.

"Saya duduk di sebelah ayah ketika itu dan terjatuh ke bahagian belakang traktor ketika sedang melihat kenderaan di belakang. Saya jatuh terlentang dan digilis tayar belakang traktor.

"Saya terkejut ketika itu dan menyangka telah mati. Tapi saya langsung tidak rasa sakit selepas separuh badan digilis lalu bangun dan berjalan seperti biasa," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Changkat Lobak, semalam.

Bapa mangsa, Hamid Dahaman, 48 berkata, sebaik sahaja menyedari anaknya digilis tayar traktor, dia segera memberhentikan kenderaan lalu bergegas turun untuk menyelamatkan Muhammad Syafiq.

Bagaimanapun, Hamid mengakui telah menerima kejutan apabila Muhammad Syafiq bukan sekadar tidak menunjukkan reaksi kesakitan, malah mampu bangun dan berjalan ke arahnya seolah-olah tiada apa berlaku.

"Saya bimbang dia mengalami kecederaan dalaman dan segera membawanya ke Hospital Selama untuk menjalani pemeriksaan. Imbasan sinar-X mendapati tulang selangka Muhammad Syafiq agak renggang dan dia dimasukkan segera ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan," katanya.

Hamid mengaku, keluarganya terkejut apabila doktor menjelaskan bahawa Muhammad Syafiq mengalami kerosakan pada sebahagian buah pinggang, limpa dan paru-paru sebelah kanan, di samping tulang bahu patah sedangkan kesihatannya seperti tidak
bermasalah jika dilihat secara luaran.

Katanya, doktor berkenaan menjelaskan, Muhammad Syafiq mampu meneruskan kehidupan walaupun banyak organ dalamannya rosak akibat kejadian itu, namun dia tidak dapat menikmati kehidupan aktif seperti kanak-kanak lain.

"Segala pergerakannya kini amat terbatas keranan kecederaan dalaman dan kejadian itu turut mengakibatkan penglihatan sebelah matanya kabur. Dia perlu memakai cermin mata.
"Kemalangan itu juga menyebabkan Muhammad Syafiq terlantar selama 16 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 10 hari di wad biasa Hospital Taiping. Namun sebalik beberapa kekurangan akibat kemalangan itu, kami sekeluarga bersyukur kerana ALLAH masih memanjangkan nyawa anak bongsu saya," katanya.

Hamid turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan dan sokongan kepada keluarganya termasuk Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat yang turut meluangkan masa untuk menziarahi Muhammad Syafiq.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Tuesday 26 February 2013

Rozita Che Wan Pilih Julai Kahwin Zain Saidin

Zain dan Rozita ketika bercuti di Universal Studios Singapura baru-baru ini. - Foto Instagram Zain Saidin. 
PETALING JAYA: Aktres Rozita Che Wan menjelaskan merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya, pelakon, Zain Saidin pada penghujung Julai depan.
Harian Metro pada Selasa melaporkan, Rozita, 42, juga memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan terlebih dahulu kerana menganggap tidak perlu memandangkan mereka sudah mengenali hati budi masing-masing.
“Insya-Allah kami akan bernikah, jika tiada halangan pada bulan berkenaan,” kata Rozita ketika dihubungi, semalam.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta mengakui kisah cintanya dengan jejaka wajah Pan Asia itu bukan lagi rahsia dan sepakat dan bersedia menamatkan kontroversi cinta yang hangat diperkatakan menerusi media dan peminat.
Dalam pada itu, Rozita berkata, hubungan itu mendapat restu daripada ibunya walaupun jarak usia mereka 13 tahun.
“Hubungan kami selama ini memang tiada masalah. Kami sudah lama mengenali satu sama lain dan dia juga rapat dengan anak dan ibu saya,” katanya.
Tambah Rozita, Zain seorang yang berani mengambil langkah mahu mengahwininya berbanding lelaki lain yang sekadar meluahkan rasa cinta.
"Dia seorang yang romantik dan paling penting berani melamar saya. Sesiapa sahaja boleh meluahkan perasaan cinta tapi tidak sepertinya yang berani mengambil langkah seterusnya," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Zain memberitahu terkejut dengan keputusan kekasihnya itu untuk mengakhiri kisah cinta mereka lebih awal.
Zain memberiahu masih belum berbincang mengenai tarikh perkahwinan mereka kerana sibuk dengan tugas masing-masing.
"Memang sebelum ini saya tidak terfikir untuk berkahwin dalam jangkamasa terdekat tetapi apa pun kami akan berbincang mengenai tarikh yang sesuai," jelasnya.
Sumber : mStar Online

Reply To This Comment

Kejutan Fakri!

Ahmad Fakri SharaniAhmad Fakri Sharani
Kuala Lumpur: 'Permainan' apakah yang sebenarnya sedang berlaku? 

Persoalan itu harus mengusik minda peminat bola sepak negara apabila dikejutkan dengan berita kepulangan semula Ahmad Fakri Sharani (gambar) dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) selepas tidak sampai dua bulan beraksi bersama kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC. Ahmad Fakri yang menandatangani kontrak enam bulan dan beraksi bersama Atletico sejak bulan lalu disahkan sudah menandatangani kontrak dua musim dengan Kelantan - sekali gus akan beraksi bersama The Red Warriors (TRW) sebaik pendaftaran kedua pemain dibuka, April ini. 

 
Faktor ejen Guimaraes? 

Jika sebelum ini Ahmad Fakri bertegas terus kekal bersama Atletico SC, yang pasti kepulangannya untuk kembali beraksi dalam Liga-M akan menimbulkan banyak persoalan dan mencipta polemik baru - pemain tempatan yang beraksi di luar negara sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. 

Ini kerana dia bukan pemain pertama yang pulang dalam tempoh singkat kerana sebelum ini peminat dikejutkan dengan kepulangan bintang muda negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor dari kelab Portugal, SC Biera Mar selepas hanya enam bulan bersama kelab divisyen satu itu. 

Menariknya, pemergian Ahmad Fakri dan Mohd Nazmi beraksi dengan kedua-dua kelab Portugal itu diuruskan oleh ejen Marco Guimaraes.


Sumber : Berita Harian
Reply To This Comment

Pelajar paling ramai manfaat Baby Hatch

 

Kuala Lumpur: Golongan pelajar dikenal pasti paling ramai memanfaatkan Pusat Perlindungan Bayi Tidak Diingini (Baby Hatch) oleh Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan Care) apabila seramai 31 bayi tidak diingini golongan itu dihantar ke pusat berkenaan.
Setiausaha Kerjanya Azra Banu berkata, pelajar terbabit terdiri daripada warga tempatan dan warga asing manakala seramai 30 bekerja dan enam masih menganggur turut menyerahkan bayi mereka ke pusat itu.

“Sejak ditubuhkan pada 29 Mei 2010 sehingga kini, 71 bayi tidak diingini di seluruh negara diserahkan kepada Baby Hatch. Daripada jumlah itu empat daripadanya diserahkan tanpa pengenalan atau dokumen serta tidak diketahui ibu atau keluarganya.
“Selain warga tempatan, 14 warga asing turut menghantar bayi mereka ke pusat itu terdiri daripada pelajar dan pekerja dari beberapa negara termasuk Filipina, Indonesia, Timur Tengah dan Afrika.

“Ibu bayi dihantar di sini kebanyakannya berumur antara 18 hingga 30 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azra berkata, Baby Hatch juga kini diwujudkan di Johor Bahru, Johor manakala di Kota Bharu, Kelantan dijangka dilancarkan selewat-lewatnya bulan depan.
“Kita juga berjaya memujuk 28 ibu agar tidak menyerahkan bayi mereka di Baby Hatch sebaliknya menjaga sendiri anak mereka dengan bantuan keluarga masing-masing selepas melalui sesi kaunseling.

“Bagaimanapun, kami tetap berharap kes pembuangan bayi berkurangan sekali gus tidak memerlukan lebih banyak Baby Hatch pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Azra, sehingga kini ramai pasangan sudah lama berkahwin dan tidak memiliki anak datang untuk menghantar permohonan bagi urusan anak angkat.

“Sehingga Januari lalu, 2,566 pasangan menghantar permohonan manakala hampir 490 pasangan pula menunggu giliran,” katanya.

**pirateman : saya pun tak tahu nak anggap baby hatch ni satu yang membawa kebaikan atau keburukan. Kebaikan : boleh elakkan pembuangan bayi tetapi keburukan : macam menggalakkan lagi perbuatan berzina dan memperoleh anak sehingga tidak mahu menjaganya. Apa pendapat korang???

Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Susulan kemalangan bas: Penumpang terpaksa melangkah tangan mayat

Susulan kemalangan bas: Penumpang terpaksa melangkah tangan mayat
Keadaan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 420.2 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi tadi dekat Bukit Tagar, Hulu Selangor. - Foto Sinar
Susulan kemalangan bas: Penumpang terpaksa melangkah tangan mayat
Keadaan dalam bas yang terlibat dalam kemalangan terbabit.
HULU SELANGOR – “Ya ALLAH.. ALLAHU AKBAR.. itu saja yang saya ungkapkan berulang kali sebaik mendengar bunyi seretan bas yang bergesel dengan besi pembahagi jalan sampailah saya lihat besi menembusi bas dan menghimpit penumpang di depan saya,” kata Sutirah Miswari, 47, menceritakan detik cemas kemalangan menimpa bas ekspres yang dinaiki awal pagi semalam.

Tiga maut dan seorang parah apabila sebuah bas ekspres yang membawa 16 penumpang terbabas dan melanggar besi pembahagi lebuh raya di Kilometer 420 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Ipoh, dekat Bukit Tagar, Hulu Selangor jam 3.10 pagi semalam.

Menurut Sutirah, sebaik bas terhenti dia terus mencari jalan keluar dan terpaksa melangkah tangan mayat salah seorang penumpang yang duduk di depannya sambil meminta tolong.

Menurutnya, dia juga terpaksa merangkak di bawah lekukan besi untuk menyelamatkan diri melalui pintu depan bas.

“Sambil mengucap saya menendang pintu bas dan terus keluar meminta pertolongan sebab saya takut bas terbakar.

“Lepas itu penumpang-penumpang lain turun menyelamatkan diri sampailah ada orang selamatkan kami semua,” katanya.

Sutirah, warga Indonesia berkata, dia bersama 16 penumpang lain dalam perjalanan dari Skudai, Johor ke Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Menurutnya, bas ekspres yang terbabit kemalangan itu merupakan bas kedua yang mereka naiki selepas ditukar di Kuala Lumpur.

“Sepatutnya, perjalanan kami ke Sungai Nibong hanya menaiki satu bas tetapi kami diarahkan menaiki bas lain ketika tiba di Kuala Lumpur sebab bas itu hanya sampai di Butterworth.

“Jadi, kami tiada pilihan dan pemandu juga bertukar orang. Kemudian, tidak sampai sejam perjalanan kami kemalangan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, bas yang dalam perjalanan daripada Skudai, Johor ke Sungai Nibong, Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan berdekatan susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Zamri Abd Rani, 42, yang berasal daripada Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang, Kedah dan Mohd Ainul Fauzi Mohd Aman, 25, daripada Simpang Renggam, Johor, manakala mangsa wanita dikenal pasti sebagai Intan Berliana Hutagalung, 34, berasal dari Bandung, Indonesia.

Komander Operasi, Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Shamsul Majidi Hassan berkata, dua penumpang bas yang maut tersepit di tempat duduk penumpang akibat terkena besi pembahagi lebuh raya yang menembusi ruang dalam bas, manakala seorang lagi tercampak keluar melalui cermin depan.

Dalam pada itu, seorang lagi penumpang, Elaina Tan, 40, berkata, sepanjang perjalanan daripada Kuala Lumpur hatinya tidak tenang kerana pemandu gantian itu dikatakan memandu laju.

Menurutnya, ketika hampir di lokasi kejadian bas terbabit dikatakan terhuyung-hayang sebelum terbabas.

“Saya tidak boleh tenang dan berdoa sepanjang perjalanan sebab pemandu bawa terlalu laju.

“Penumpang di hadapan beritahu, dia nampak pemandu bas sedang berbual dalam telefon sebelum kejadian itu,” katanya yang mahu pulang melawat mendiang neneknya di Ipoh.

Elaina seorang pekerja hotel di Johor berkata, sepanjang perjalanan daripada Skudai keadaan pemanduan selamat, namun selepas diambil alih pemandu gantian tiba-tiba hatinya tidak tenang sehinggalah insiden ngeri itu berlaku.

Budi Prastio, 29, pula berkata, kematian tiga penumpang bas itu sangat ngeri kerana tersepit dan perut terburai.

Dia yang baru sampai ke Malaysia bersyukur kerana terselamat daripada kemalangan tersebut.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Meninggal dalam solat

Kuala Terengganu: “Saya mendengar arwah menarik nafas panjang ketika di rakaat kedua sebelum dia terjatuh,” kata Azhar Nong, 48, rakan peniaga kain, Saidi Salleh, 54, yang meninggal dunia ketika menunaikan solat Asar di surau Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam.
Azhar dari Kampung Pulau Musang, di sini, berkata, sebelum kejadian, dia bersama arwah serta beberapa jemaah lain yang kebanyakannya peniaga di hentian bas berkenaan menunaikan solat Asar di surau pada jam 4.50 petang.
“Arwah duduk di tepi saf kedua dan sebaik memasuki rakaat kedua, saya yang berada di saf hadapan terdengar arwah menarik nafas panjang dan selepas itu saya tidak lagi mendengar bunyi nafas arwah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika mengambil wuduk, dia melihat arwah berada dalam keadaan tidak sihat dan hanya duduk di tempat wuduk.
Foto
JENAZAH Saidi ketika berada dalam surau di Kompleks Hentian Bas MBKT, semalam.

“Bimbang dengan keadaannya, saya cuba membantu sebelum masuk ke ruang sembahyang. Selesai sembahyang, saya melihat arwah tersandar pada dinding surau dalam keadaan lemah dan pucat. Ketika itu denyutan nadinya masih ada, tetapi seluruh badannya sejuk dan arwah disahkan meninggal dunia 10 minit selepas itu,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Monday 25 February 2013

TERKINI DARI LAHAD DATU: Terus Berjuang Atau Mati, Kata Ketua Penceroboh

TERKINI DARI LAHAD DATU: Terus Berjuang Atau Mati, Kata Ketua Penceroboh - Agbimuddin Kiram
 
Seperti yang kita sedia maklum, pada 12 Februari lalu, bot yang mengangkut lebih 100 orang termasuk sebahagian besarnya bersenjata, yang memakai pakaian celoreng tentera, mendarat di pantai Lahad Datu, Sabah.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Tentera Diraja Sultan Sulu, dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke Filipina.
Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas, dan Kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas (22 Feb) untuk meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan Manila sedang berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian mereka.
Semalam terdapat tanda-tanda positif situasi tegang ini akan berakhir apabila kerajaan Filipina telah menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kesemua mereka termasuk pengawal bersenjata, yang bertahan di Lahad Datu itu.
Kapal yang bernombor AT296, belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara rundingan dengan kumpulan berkenaan.
Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina dalam satu kenyataan berkata, pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada Kedutaan
Malaysia di Manila.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert F. del Rosario dalam satu kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah mereka dan keluarga,
“sekalipun pada masa yang sama kami sedang berusaha menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan”.
“Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri,” katanya.
Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: “Kami amat mengambil berat tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan itu, dan kami
menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah air.”
Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino, serta sukarelawan dan petugas perubatan.
TETAPI LAPORAN TERKINI yang diterima cukup meresahkan.
Pemimpin kepada kumpulan penceroboh di Lahad Datu, Raja Muda Agbimuddin Kiram berkeras untuk meneruskan tuntutan mereka ke atas Sabah walaupun tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan Malaysia agar mereka meninggalkan negara ini telahpun berakhir semalam.
“Terus berjuang atau mati,” kata Agbimuddin kepada stesen radio Filipina, Radyo Inquirer kira-kira jam 9 pagi tadi.
“Saya percaya kami di pihak yang benar dan tempat ini milik kami. Kami akan bertahan,” tambahnya.
Persoalannya sekarang ialah, APA SEBENARNYA YANG SEDANG BERLAKU SEKARANG INI?
Di saat kita seolah-olah boleh menarik nafas lega dengan kenyataan pihak berkuasa, kumpulan penceroboh pula ternyata menyatakan pendirian yang sebaliknya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein boleh dipuji kerana mengambil berat tentang permasalahan ini termasuk ‘terbang’ ke kawasan konflik walaupun tindakan itu boleh mengancam nyawanya.
Tetapi pada masa yang sama, Hishammuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar tidak boleh terus membuatkan rakyat berada dalam teka-teki.
Kita faham, kerajaan mungkin ada ‘cara’ untuk menyelesaikan perkara ini tetapi rakyat juga berhak untuk mengetahui perkembangan kes tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan tanah air yang tercinta ini.
Mungkin ada benda yang tidak boleh diperincikan kerana ia melibatkan ‘strategi’ PDRM sendiri di mana ia mungkin boleh menjejaskan proses rundingan .
Namun zaman sekarang ini rakyat boleh akses kepada maklumat dengan mudah, hanya semudah menekan tetikus di hujung jari.
Kita bimbang, akan ada selepas ini anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang akan mengambil kesempatan untuk menyampaikan maklumat yang salah, atau lebih tepat, mengapi-apikan keadaan supaya keadaan menjadi tegang dan tidak terkawal!
Jadi sebelum benda-benda itu berlaku, kita berharap Hishamuddin dan Ismail dapat berbuat sesuatu agar rakyat tidak terus tertanya-tanya atau berada dalam keadaan teka-teki.
Percayalah, jawapan  ’semuanya berada dalam keadaan terkawal’ saja tidak cukup.
Namun dalam apa keadaan sekali pun, kita percaya dan penuh yakin Hishammuddin dan Ismail mampu menangani masalah ini.
Cuma, itulah seperti mana yang dikatakan tadi, rakyat resah dan keresahan ini ternyata ada asasnya kalau  bersandar pada kenyataan ketua pencoroboh itu.
Semoga situasi di Lahad Datu ini akan selesai tanpa melibatkan pertumpahan darah, ibarat menarik rambut dalam tepung…rambut tak putus, tepung tak berselerak!
Pada Allah akhirnya kita berserah.
Sumber : mynewshub.my
Reply To This Comment