KUALA LUMPUR: Permusuhan di antara pelakon Lisdawati dan Rita Rudaini hampir 7 tahun kembali jernih apabila kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berdamai selepas ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Kerana Sarah.
Lisdawati berkata, bersempena dengan tahun baru 2013 ini, dia berazam untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa sahaja termasuklah Rita dan mahu bekerjasama dalam drama berkenaan yang masih lagi dalam penggambaran.
"Tahun 2013 ini, saya berazam untuk melalui suasana harmoni dan sekiranya terdapat persengketaan dengan sesiapa sekalipun, orang kata, buang yang keruh, ambil yang jernih.
"Begitu juga dengan dia (Rita), apa yang berlaku itu biarlah berlalu dan saya hormat dia sebagai pelakon yang lebih 'senior' daripada saya. Diharap, tiada sesiapa yang akan mengungkit perkara lama itu," katanya kepada mStar Online.
Pada tahun 2006, Rita dan Lisdawati dikatakan bermasam muka selepas berlakunya insiden tampar menampar dan tarik rambut ketika kedua-duanya melakonkan adegan terakhir drama Kau Yang Ku Sayang di kolam renang sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang.
Aksi tersebut berubah menjadi sebuah pergaduhan besar sehingga melibatkan kes polis apabila Lisdawati mendakwa Rita sengaja mencederakannya.
Sementara itu, Rita pula berkata, perkara tersebut sudah lama selesai dan tiada apa-apa isu yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.
"Saya tidak mempunyai masalah dengan dia (Lisdawati). Perhubungan kami lebih pada profesional dalam bidang kerja kami.
"Kami bertegur sapa, tetapi tak banyak berbual pun di lokasi. Cuma dengan apa yang telah berlaku, saya mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati.
"Dalam masa yang sama saya tidak mahu Fauzi ada dalam apa juga penggambaran yang saya lakukan atas sebab yang tidak dapat saya kongsi kepada umum," ujarnya.
Sumber : mStar Online
No comments:
Post a Comment