KUALA LUMPUR – Peneraju utama untuk drama slot Akasia, Setia Hujung Nyawa di TV3, Zaris Nelydia Senrose Nik Sen atau Nelly menegaskan dia amat mementingkan pelajaran dan tidak bergantung untuk menjadi pelakon semata-mata.
Gadis yang berusia 19 tahun itu ketika ini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Psikologi di Kolej Segi selepas mendapat 6A dalam peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).
Kata anak kacukan melayu siam itu, Nelly mementingkan pelajaran adalah untuk masa depannya sendiri sekiranya perjalanan seninya dalam dunia lakonan tidak membuahkan hasil.
Sekiranya itu terjadi, Nelly akan menggunakan kelulusan yang ada untuk meneruskan cita-citanya yang suka mengkaji tabiat kehidupan manusia.
“Saya belajar untuk masa depan dan sekurang-kurangnya mesti ada segulung ijazah dalam bidang berbeza. Kalau takdir menentukan bakat saya dihargai dan diperlukan sampai bila-bila, saya bersyukur.
“Bagaimanapun, andai orang tidak perlukan saya lagi, dengan kelulusan diperoleh, sekurang-kurangnya saya boleh menyertai bidang baru dan saya minati,” kata Nelly yang dipetik dari laporan myMetro, hari ini.
Menyentuh kehidupan peribadinya, Nelly mengakui dia masih lagi tidak mempunyai kekasih hati walaupun rupa parasnya menawan dan cantik.
Kata Nelly, kemungkinan faktor usianya yang masih muda menyebabkan setakat ini tiada lelaki yang menjalinkan hubungan secara serius dengan dirinya.
“Masalahnya, saya sukakan lelaki yang jauh lebih berusia dan mereka pula tidak pernah pandang serius terhadap saya. Bila bertemu dan beberapa kali keluar bersama, akhirnya hubungan itu bertukar menjadi ‘adik dan abang’.
“Saya percaya perkara itu berlaku kerana keperibadian saya yang masih keanak-anakan. Saya tidak pernah kisah mengenai soal itu memandangkan saya masih muda dan banyak perkara perlu dikejar.
“Saya perlu beri tumpuan kepada kerjaya lakonan dan pelajaran. Saya percaya cinta tidak perlu dicari kerana apabila tiba masanya, ia akan datang dengan sendiri,” terang Nelly.
Nelly sudah menceburi bidang lakonan sejak berusia 13 tahun lagi.
Namun, baru kini nama dan wajahnya dikenali oleh orang ramai.
Nelly juga merupakan sepupu kepada pelakon wanita yang kian meningkat naik, Emma Maembong.
Sumber : mynewshub.my
No comments:
Post a Comment