Sebuah kedai makan di Taman Bukit Sendayan, dekat sini, dikesan ‘menyelitkan’ karaoke dangdut berunsur ghairah sehingga awal pagi pada setiap hari bagi menarik pelanggannya.
Tinjauan Harian Metro mendapati, kedai makan yang terletak jauh dari penempatan penduduk ini umpama kelab malam terbuka dan ‘padat’ dengan pengunjung pelbagai peringkat umur.
Hampir setiap malam puluhan kenderaan dipakir di tepi jalan berkenaan yang menjadi lokasi warga emas dan pertengahan umur, lelaki dan perempuan melepaskan geram dengan berkaraoke sambil menari.
Terdapat pentas lengkap dengan sistem audio dan lampu ibarat berada dalam disko selain dua khemah dipasang memuatkan meja serta kerusi yang cukup untuk menampung 100 pengunjung dalam satu-satu masa.
Premis terbabit beroperasi seawal jam 5 petang sehingga jam 4 pagi, manakala waktu karaoke bermula jam 9 malam dan hanya bermodalkan RM5, pelanggan boleh menyanyi untuk tiga lagu atau satu lagu RM2.
Bagi mereka yang pertama kali datang pasti terkejut dengan suasana meriah ini dengan kebanyakan lagu dinyanyikan berirama dangdut selain irama 60-an dan moden.
Tinjauan mendapati, perlakuan pelanggan lelaki dan perempuan yang berkaraoke sambil menari di pentas terbuka agak kurang sopan di depan anak kecil selain klip video dipaparkan mengandungi aksi erotik penyanyi dangdut dari negara seberang.
Tanpa segan silu mereka bergelek walaupun kebanyakannya di usia senja dan lebih menjengkelkan ada pelanggan wanita yang bertudung turut menari.
Ketika ditanya, kumpulan wanita terbabit spontan menjawab mereka ibu tunggal dan tiada siapa melarang.
Didapati ramai antara mereka pelanggan tetap kerana mengenali antara satu lain, malah kehadiran wartawan buat pertama kalinya menjadi perhatian mereka.
Seorang pelanggan tetap yang mahu dikenali sebagai Nor, 50, berkata, paling kurang dalam seminggu dia berkunjung ke kedai makan itu sebanyak tiga kali.
Katanya, dia berkunjung ke situ untuk menghilangkan kebosanan selain bayaran untuk karaoke adalah murah.
“Di sini tiada bezanya dengan kelab dangdut dan saya seronok kerana ramai antara pelanggan di sini sudah menjadi kawan. “Di sini tiada jualan minuman keras, tetapi ada juga pelanggan yang minum minuman keras yang dibeli dari luar. “Pemilik premis sering mengingatkan pelanggan supaya tidak mengambil minuman keras atau dadah kerana bimbang diganggu pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, jika mahu menyanyi, pelanggan perlu datang awal jam 8 atau 9 malam dan jika lewat, tempahan sudah penuh dan hanya berpeluang menari.
Dia yang juga ibu tunggal berkata, malam Jumaat paling ramai pelanggan datang ke situ untuk berhibur selain malam minggu.
Katanya, ada kala pelanggan terpaksa berdiri kerana tempat duduk sudah penuh dan ketika Ramadan, premis itu beroperasi dan karaoke diadakan seperti biasa selepas Tarawih. “Tempat ini pernah diserbu jabatan agama satu ketika dulu, tetapi tiada tindakan, mungkin pemiliknya mengikut prosedur. Cuma pelanggan ditegur supaya berpakaian sopan,” katanya.
Pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Port Dickson ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menegah dan mengambil tindakan kerana perniagaan berkenaan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, jurucakap Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) pula berkata, pihaknya hanya mengeluarkan lesen perniagaan bagi mana-mana pusat hiburan beroperasi sehingga jam 1 pagi dan jika pemiliknya ingkar lesen perniagaan akan ditarik balik.
“Dalam kes kedai makan terbabit, pemiliknya memohon lesen jualan makanan dan hiburan. Kami akan menjalankan siasatan berkaitan dan jika terbukti berlaku perlanggaran mengikut akta tindakan akan diambil terhadap pemilik premis berkenaan,” katanya.
Sumber : myMetro
No comments:
Post a Comment