Bila bercakap soal histeria, meracau, kena rasuk dan sebagainya, memang tak boleh dipisah dengan kehidupan pelajar berasrama.
Terutama dalam asrama perempuan.
Terbaru, dengarnya kejadian sebegitu semakin menjadi-jadi di UITM, Lendu, Melaka.
Dalam sebuah laman blog, http://theruzannapages.wordpress.com, penulisnya yang juga penuntut di situ mendakwa kejadian tersebut boleh dikatakan berlaku setiap hari di situ.
” Semakin hari berlaku kejadian menakutkan di Lendu ini, setiap malam ada saja kes kecurian, kena rasuk dan pukau.
” Kita ingat bila masuk biliknya semuanya baik, kemudian kita baru perasan ada saja benda yang hilang diikuti ada nota yang bertulis : “Nantikan ketibaan saya di kolej-kolej lain.” .
” Malah ada pelajar perempuan di tingkat saya yang tiba-tiba menari, menjerit, ketawa dan berjalan mundar mandir seperti kena rasuk!,” katanya dalam blog berkenaan.
Kita tidak pasti sejauh mana ‘teruknya’ keadaan tersebut namun kita berharap pihak pentadbir di situ memandang serius kejadian ini sekiranya ia benar-benar berlaku.
Untuk rekod, histeria atau apa saja keadaan yang sepertinya berlaku bila syaitan merasuk dan menguasai tubuh manusia, kemudiannya syaitan itu akan bertindak atau mengganggu yang boleh menyebabkan mangsanya sasau (gila) atau mencetus perilaku histerikal.
Ibn Masud ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya yang bermaksud: Apabila Rasulullah bersembahyang, baginda membaca: Wahai Tuhanku aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan syaitan yang direjam, juga daripada rasukan, daripada godaan dan disihirkan.
Rasukan adalah salah satu jenis penyakit gila yang boleh menjejaskan kehidupan seseorang insan. Namun begitu apabila si mangsa pulih, keadaannya akan pulih seperti sediakala sama seperti orang yang bangkit daripada tidur atau sedar daripada mabuk.
Menurut ahli akademik, Dr. Amran Kasimin, hadis ini boleh dijadikan dalil ataupun hujah wujudnya penyakit akibat rasukan jin terhadap manusia. Rasulullah membaca doa perlindungan (yang bermaksud di atas) untuk mengelakkan daripada terkena penyakit tersebut.
Abi Al-Yasar meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berdoa dengan doa yang bermaksud: Ya Allah, Aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kerana tua, daripada ditimpa keburukan, kecelakaan, kedukaan, kebakaran serta lemas. Aku juga berlindung kepada-Mu daripada dirasuk syaitan di saat- saat menghadapi kematian. Lindungilah akan daku daripada ditikam curi (dibunuh), ketika berjihad di jalan-Mu. Dan aku berlindung dengan- Mu daripada mati dipatuk binatang bisa ? maksud hadis riwayat Abu Daud dan Am-Nasaiy.
Safiyyah binti Huyyai berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu mampu bergerak dalam tubuh anak adam melalui saluran-saluran darah Muttafaq alayh.
Ubai Ibnu Ka’ab pernah berkata: Ketika aku sedang bersama-sama Rasulullah seorang Badui telah datang menemui baginda lalu berkata:
” Wahai Nabi Allah, aku mempunyai seorang saudara yang sedang dihidapi penyakit.? Rasulullah bertanya apa sakitnya. Lelaki tadi menyatakan:
” Dia terkena sakit sasau.? Lalu baginda menyuruhnya agar membawakan saudaranya itu menemui baginda.
Pesakit dibawa menghadap dan duduk di hadapan nabi. Baginda telah berdoa memohon kesembuhan bagi pesakit tadi, lalu dengan izin Allah, sembuh.
Menurut Dr. Amran, peristiwa-peristiwa seperti ini banyak tercatat dalam hadis-hadis, membuktikan bahawa sakit seperti ini sememangnya wujud dan pernah berlaku di zaman Rasulullah juga pada zaman sahabat.
Katanya, pemahaman atau keyakinan seseorang terhadap punca penyakit itu bergantung kepada ilmu yang dimiliki dan pengalaman yang diharungi. Jelasnya, penyakit sama ada berpunca daripada gangguan fizikal atau spiritual, ia tetap mengganggu kesejahteraan seseorang.
Kemudahan teknologi moden berupaya mengatasi masalah yang berkaitan gangguan fizikal, iaitu dengan adanya hospital, klinik- klinik dan sebagainya yang dikaitkan dengan kepakaran bidang masing-masing. Sakit gangguan spiritul pula dikaitkan dengan mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional, juga mereka yang arif tentang agama.
Ujarnya, sering berlaku sakit yang berkaitan fizikal, dibawa bertemu dengan mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional dikatakan berpunca daripada gangguan, sihir, saka, penunggu dan sebagainya, yang menyebabkan kecelaruan di mana dalam keadaan tertentu usaha-usaha penyembuhan itu melalui laluan yang begitu panjang menyebabkan penyakit menjadi lebih serius dan sukar untuk diselamatkan.
” Perkara sebegini boleh juga terjadi akibat adanya masalah-masalah lama yang mengganggu kesejahteraan jiwa dan mental. Segala-galanya terus terpendam dalam jiwa, minda dan mental, lalu akhirnya mencetuskan tingkah laku histerikal.
“ Gangguan seperti ini juga sering berlaku pada waktu-waktu tertentu, ketika peperiksaan hampir tiba, ketika diadakan pendidikan jasmani, selepas latihan sukan dan sebagainya seperti yang berlaku di sekolah-sekolah.
” Manakala mereka yang terlibat pula kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita, sama ada pelajar ataupun pekerja kilang. Ini membuktikan bahawa histeria mudah berlaku di kalangan mereka yang lemah semangat ataupun tidak mempunyai kekuatan roh, yang mengalami depresi emosi dan mental,” ujar Dr. Amran.
Semoga penulis blog tersebut dan rakan-rakannya bersabar dan banyakkan beribadat agar tidak timbul lagi perkara sebegini.
Pada mereka yang nak tahu apa yang terjadi di UITM Lendu seperti yang dikataan itu, klik DI SINI.
Sumber : mynewshub.my
No comments:
Post a Comment