Siapa sangka, langkah penyanyi ND Lala menghantar anaknya, Shila Amzah ke sekolah Cina kini telah mendatangkan rezeki yang mencurah-curah kepada keluarganya.
Nyata kemahiran bertutur bahasa Mandarin memberi kelebihan kepada Shila, 23, apabila dirinya kini mengukir nama di China.
Segala-galanya bermula apabila Shila menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai, China pada 20 September tahun lalu. Hadiah menanti Shila ialah RM5 juta.
Sejak menjadi juara, pelbagai perancangan menanti Shila seperti rakaman album dan undangan menyanyi.
Antaranya, dipilih sebagai artis membuat persembahan pembukaan di konsert Eric Moo, penyanyi dan komposer kelahiran Malaysia yang mengukir nama di China.
Shila juga bakal berkolaborasi dengan Wang Leehom untuk albumnya nanti.
Pada 29 Januari ini, Shila akan ke Shanghai menjayakan satu konsert dan bakal berkongsi pentas dengan penyanyi Korea, PSY yang mencipta kejayaan besar melalui lagu Gangnam Style!
Sebagai juara Asian Wave 2012, Shila juga dicalonkan untuk Artis Wanita Terbaik dan Penghibur Dunia Terbaik di World Music Awards 2012 yang dijadualkan berlangsung 22 Disember tahun lalu di New York, Amerika tetapi ditunda 8 April depan.
Semua kejayaan ini bukan muncul di depan mata Shila dalam sekelip mata kerana perjuangannya dalam seni bermula sejak usia 10 tahun.
Bapanya gigih berjuang untuk ketengahkan bakat anaknya hingga sanggup keluar belanja sendiri untuk buat album.
Kejayaan Shila seharusnya menjadi kebanggaan semua kerana mampu membina jambatan hingga ke China.
Mungkin juga Shila mampu menjadi penghubung kepada masyarakat Cina di negara kita untuk menghargai bakat anak seni kelahiran Malaysia, sekali gus menjalin semangat muhibah masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Apa-apa pun semoga kejayaan Shila tidak pudar sekelip mata dengan kontroversi yang boleh membunuh kerjaya seninya.
Sumber : mynewshub.my
No comments:
Post a Comment