Tuesday 30 July 2013

Farid Kamil Letak Syarat Jika Ibu Mertua Mahu Jumpa Cucu

Farid Kamil.
KUALA LUMPUR: "Kalau ingin jumpa cucu, dia perlu jumpa saya terlebih dahulu" kata pelakon dan pengarah Farid Kamil ketika mengulas tentang hubungannya dengan ibu mertua, Norsiah Ramli.
Farid, 32, berkata beberapa perkara perlu diselesaikan antara dia dan ibu mertuanya sebelum membenarkan wanita itu bertemu dengan cucu dan anaknya, Diana Danielle.
"Saya risau perkara tidak diingini berlaku, saya tidak berdendam tetapi sekadar melindungi isteri dan anak saya. Saya dapat merasakan ibu mertua saya akan melakukan sesuatu yang tidak diingini kepada mereka.
"Sebelum ini juga banyak cerita negatif tentang kami yang keluar daripada mulut ibu mertua yang menyebabkan saya lebih berhati-hati," katanya.
Farid ditemui pada majlis sidang media drama Jodoh Itu Milik Kita di sini, pada Isnin.
Tambahnya lagi, Diana turut berasa kecewa dengan sikap ibunya yang tidak merestui perkahwinan tersebut.
"Sepanjang Diana berada di Australia saya tidak pernah dengar tentang ibunya telefon atau menghubungi untuk bertanya khabar.
"Apa yang saya lihat Diana sendiri berasa sangat kecewa dengan sikap ibunya yang tidak suka kami berkahwin," ujarnya.
Gambar fail Norsiah (kiri) bersama Farid dan Diana pada majlis pernikahan pasangan itu pada tahun lalu.
Sebelum ini Farid pernah menyatakan perasaan marah dan kecewa terhadap ibu mertuanya melalui laman sosial twitter peribadinya.
Farid Kamil dan Diana Danielle selamat diijab kabul pada 3 November 2012 di Hotel Flamingo, Ampang.
Dalam pada itu, bercerita tentang kelahiran anak sulungnya pada 2 Julai lalu, Farid berkata dia tidak dapat mengambarkan perasaannya bergelar bapa.
"Saya sukar untuk mengambarkan perasaan saya yang gembira, bangga, sedih yang bercampur baur ketika melihat bayi lelaki itu.
"Buat masa ini kami belum memberi nama dan belum pun mendaftarkan kelahiran bayi ini lagi kerana tidak digalakkan untuk membuat proses tersebut di sana," katanya.
Farid berkata, proses tersebut akan dilakukan di Malaysia selepas mereka pulang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.
Sementara itu, Farid berkata isterinya berada dalam keadaan sihat selepas bersalin dan masih berada dalam pantang.
"Diana sihat cuma selepas bersalin dia lebih emosi dan bersikap "mother blues" iaitu terlalu melindungi anaknya.
"Saya sendiri tidak dibenarkan mengambil bayi itu terlalu lama dan sentiasa takut orang ambil anaknya," katanya.
Sementara itu, Norsiah yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan, enggan mengulas lanjut perkara tersebut.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Saturday 27 July 2013

Kesan barah payudara sebelum terlambat


Kesan barah payudara sebelum terlambat
Dr Tang ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian.
SH: Apa itu kanser payudara?
Kanser payudara merupakan antara penyakit merbahaya yang menyerang wanita di Malaysia. Pengesanan di peringkat awal perlu dilakukan agar rawatan sewajarnya dapat diberikan. Ia boleh dilakukan melalui kesedaran wanita itu sendiri dengan melakukan pemeriksaan payudara setiap bulan. Jika gagal berbuat demikian, kemungkinan besar akan menjadi mangsa penyakit ini. Ikuti temu bual Pakar Bedah Hospital Pakar KPJ Seremban, Kol (B) Dr Tang Ming Kin bersama wartawan Sinar Harian, Sarinah Mat Kasim dan jurufoto, Syamilah Zulkifli mengenai penyakit kanser payudara yang menghantui kalangan wanita.

Dr Tang: Sebelum kita bercerita panjang, kita fahami dulu apa maksud barah. Barah merupakan antara kumpulan penyakit yang terjadi daripada tindakan sel yang luar biasa daripada asalnya.

Pada kebiasaannya, pembahagian sel ini akan berjalan dengan kadar terkawal serta dihasilkan mengikut keperluan tubuh seseorang individu. Namun, apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ianya akan menghasilkan lebihan tisu yang dikenali sebagai ketumbuhan sebelum merebak ke tempat lain.

Kanser payudara pula adalah ketumbuhan malignan (tumor jenis barah) yang terjadi daripada tindakan sel yang berpunca daripada bahagian payudara. Ianya berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran seperti kelenjar limfa (bawah ketiak). Sel-sel barah ini juga mampu membebaskan dirinya daripada ketumbuhan asal sekali gus memasuki saluran darah serta sistem limfa dan boleh masuk ke bahagian lain, seperti di otak, paru-paru, dan tulang.


SH: Bagaimanakah kita mahu mengetahui simptom awal kanser payudara?

Dr Tang: Penyakit ini tidak mempunyai simptom yang ketara kecuali bengkak, namun tidak sakit.
Kawasan yang mempunyai masalah ketumbuhan itu secara dasarnya tidak akan dapat diketahui sehinggalah individu itu sendiri membuat saringan kesihatan. Seseorang itu hanya akan rasa bengkak di kawasan payudara tetapi tidak sakit. Disebabkan itu, ramai wanita yang tidak mengambil peduli dengan perubahan yang berlaku, sehinggalah benjolan tersebut bertukar kepada tahap yang kronik. Apabila sudah terlalu sakit, barulah mereka berjumpa dengan doktor dan mendapatkan rawatan, namun pada masa itu, ia sudah terlambat, mungkin cara rawatannya juga akan lebih susah.

Namun, terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kanser ini antaranya faktor usia, biasanya wanita yang berusia 40 tahun ke atas, mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mengidap kanser payudara, mereka yang mempunyai kanser pada satu payudara (risiko sebelah lagi akan terkena), datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas 50 tahun), tidak pernah melahirkan anak dan melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.


SH: Dari segi statistik, berapa ramai wanita yang menghidap penyakit ini?


Dr Tang: Menurut statistik pada 2002 dan 2003, sebanyak 31 peratus wanita diserang kanser ini berbanding penyakit lain. Dianggarkan sekurang-kurangnya 1 /19 peratus seseorang wanita itu akan mendapat kanser payudara dalam hayat mereka. Manakala hampir separuh daripada wanita yang di diagnosis menghidap kanser payudara mendapat berita mengenai hal ini pada usia kurang daripada 50 tahun.


SH : Bagaimana langkah (cara mengesan) untuk mengelakkan daripada terkena penyakit tersebut?

Dr Tang: Penyakit ini boleh dielakkan sekiranya wanita itu memainkan peranannya dengan baik setiap bulan. Melalui pemeriksaan sendiri, kita dapat mengawal penyakit tersebut dari awal sebelum ianya merebak ke tempat lain.

Memandangkan kanser payudara merupakan penyumbang tertinggi kematian terhadap wanita, kaedah penyaringan (screening) merupakan perkara utama yang perlu dilakukan oleh setiap wanita. Kaedah penyaringan yang disarankan termasuklah pemeriksaan sendiri payudara (breast self-examination) dan mammografi. Hanya mammografi terbukti mengurangkan kematian akibat barah payudara.

Pada tahap ini mammografi masih merupakan pilihan terbaik bagi penyaringan awal barah payudara. Ia merupakan piawai emas bagi kaedah pengimejan lain seperti ultrasound, pengimbas MRI dan pengimbas CT yang kurang berkesan disebabkan resolusi ruang (spatial) yang lebih rendah. Pengimbas CT secara sendirian hampir tidak berguna bagi penyaringan barah kerana pengimbas MRI memberikan resolusi dan kualiti lebih baik, tetapi dengan kos yang lebih tinggi. Pada kebiasaannya, penggunaan mammogram ini dicadangkan untuk wanita yang berusia 40 tahun ke atas.

Rawatan bagi penyakit ini bergantung kepada keadaan kanser tersebut, sama ada ianya berada pada tahap awal, pertengahan atau tahap kronik. Jika kita dapat mengesan ketumbuhan itu dari awal, maka proses untuk menjalankan rawatan adalah lebih mudah, di mana kita akan membuang biji dan ketulan di kawasan itu sahaja, namun jika ianya sudah teruk maka kita terpaksa menjalankan pembedahan untuk membuang semua payudara selain membuat pemeriksaan dan pembedahan di bahagian kelanjar limfa, bagi memastikan kanser itu tidak merebak.

Setelah semua pembedahan dilakukan, kita akan susuli dengan rawatan lain iaitu kimoterapi dan juga radioterapi, selain membuat pembedahan plastik bagi mendapatkan bentuk asal payudara.


SH: Akhir sekali, apa nasihat doktor terhadap wanita yang menghidap penyakit tersebut dan juga kepada semua wanita di negara ini?

Dr Tang: Kepada wanita yang menghidap kanser payudara ini, saya menasihatkan supaya kuatkan semangat dalam mengharungi apa jua kesakitan yang mendatang. Menghidap penyakit ini tidak bermakna hidup mereka telah musnah. Ada banyak rawatan dan perubatan yang mampu menyelamatkan keadaan. Oleh sebab itulah, saya menegaskan supaya jalani ujian saringan awal dan lakukan pemeriksaan sendiri dengan kerap bagi mencegah penyakit kanser ini. Peranan wanita itu sendiri yang akan mencorakkan masa depan hidup mereka.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

'Undang-undang Islam dicabar'


'Undang-undang Islam dicabar'

Anna Lim (kanan) ketika mengadakan pertemuan bersama Che Mat, kelmarin
KUALA LUMPUR - “Satu demi satu undang-undang Islam dicabar hari ini. Orang Islam sewenang-wenangnya dicabar. Saya amat sedih dan kecewa kerana ada orang Islam sendiri yang mencabar. Cabar sesama Islam, cabar pihak berkuasa."

Demikian keluhan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dalam reaksinya terhadap pertikaian keputusan Majlis Fatwa yang mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Menurutnya, keputusan Majlis Fatwa tidak boleh dipertikaikan, justeru sebarang kenyataan yang hendak dibuat perlu ambil kira keputusan dibuat mufti dan perlu dihormati.

“Saya bimbang isu cabar mencabar ini tidak kira sama ada antara bukan Islam dengan orang Islam, atau sesama Islam sendiri akhirnya akan mewujudkan suasana yang  mana orang ramai tidak lagi menghormati undang-undang,”katanya mengulas isu empat peserta Islam dilarang menyertai pertandingan Miss Malaysia World 2013 2 Ogos ini berikutan keputusan Majlis Fatwa yang menegah penglibatan wanita Islam dalam acara seumpama itu.

Malangnya, ada dalam kalangan wanita itu yang dilaporkan mempertikaikan larangan tersebut yang sekali gus boleh dianggap menghina undang-undang Islam.

Meskipun akhbar kelmarin sudah menyiarkan kenyataan mereka yang terbabit memohon maaf selain menjelaskan mereka tidak bermaksud menghina agama, Che Mat berkata, siasatan terhadap mereka sudah dibuka mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menyifatkan kenyataan itu sebagai menghina Islam.

Individu yang disabitkan dengan kesalahan mengikut akta itu boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

“Jika mereka terus ambil bahagian dalam pertandingan ini, mereka dianggap melanggar Seksyen 9 akta sama, sekali gus menghina pihak berkuasa, mengingkari, melanggar dan menghina perintah Yang di-Pertuan Agong.

"Mereka yang persenda fatwa, yang menyertai pertandingan kedua-duanya diambil tindakan,”katanya.

Che Mat berkata, dalam tempoh dua hari sejak kelmarin, ada antara empat wanita terbabit hadir ke pejabat Jawi untuk lengkapkan proses mengambil keterangan dan siasatan.

"Mereka dipanggil ke pejabat Ketua Penguatkuasa Jawi sebelum dibawa kepada Pendakwa Syarie. Siasatan dijangka siap sebelum Aidilfitri dan keputusan tindakan akan dibuat selepas Aidilfitri," katanya.

Che Mat bagaimanapun enggan mendedahkan siapa daripada empat wanita itu yang sudah hadir.

Ditanya mengenai permohonan maaf mereka terbabit sudah disiarkan akhbar, Che Mat berkata, pihaknya sedang meneliti tindakan lanjut selepas berunding dengan penguatkuasa.

"Mereka mahu jumpa dan bincang untuk permohonan maaf dan sebagainya, tetapi tindakan dan keputusan belum dibuat,” katanya.

Ditanya lagi sama ada keempat-empat bekas peserta pertandingan ratu cantik itu akan dipanggil untuk sesi kaunseling supaya tidak timbul salah faham mengenai undang-undang Islam, Che Mat berkata, perkara itu hanya akan diputuskan selepas siasatan selesai.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Thursday 25 July 2013

Arwah Umi Kalthum Tinggalkan Nota Bersyarat Lima

Gambar fail wajah Umi Kalthum yang dirakamkan pada 2011. 
KUALA LUMPUR: Sekeping nota tulisan Allahyarham Umi Kalthum yang menyatakan lima syarat ditemui ketika ahli keluarga itu dihimpit rasa duka akibat kematian pelakon veteran tersebut pada Rabu.
Nota yang diletakkan di atas meja solek, rumah salah seorang anak Allahyarham hasil perkahwinan pertamanya antara lain menyenaraikan barang keperluan yang disimpan dan perlu digunakan sekiranya dia meninggal dunia.
Cucu dari suami pertama Allahyarham iaitu Amir Noor Muhamad , 32, berkata, dia menemui nota tersebut ketika masuk ke bilik untuk mencari kain kapan yang disimpan Allahyarham sebagai wasiat.
“Saya terkejut apabila saya masuk ke bilik, saya terjumpa sekeping nota yang arwah letakkan di atas meja mekap.
"Dia seolah-olah sudah tahu hendak pergi buat selama-lamanya,” jelas Amir Noor kepada mStar Online di sini pada Rabu.
Allahyarham Umi Kalthum meninggal dunia pada usia 81 tahun dalam tidur kira-kira pukul 4 pagi di rumah anak hasil perkahwinan pertamanya dengan individu yang dikenali sebagai Jaafar di Ukay Prima di sini pada Rabu.
Beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu serta seorang cicit hasil dua perkahwinannya termasuklah dengan pelakon Datuk S Roomai Noor.
Gambar kenangan Amir Noor bersama neneknya dalam satu majlis berbuka puasa pada 21 Julai lalu. 
S Roomai Noor meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah pada 16 Mac 1996 akibat paru-paru berair.
Selain aktres Noorkumalasari, Allahyarham Umi Kalthum turut memiliki seorang anak tiri iaitu penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan terdahulu S Roomai Noor dengan pelakon Siput Sarawak.
Dalam pada itu Amir Noor berkata, lima perkara yang dicatatkan oleh neneknya itu ialah kelengkapan bagi menguruskan jenazahnya iaitu; kain batik untuk menutup dan memandikan jenazah, dua helai kain ihram termasuk milik S Roomai Noor sebagai kain kapan dan selendang putih menutup muka.
Turut ditulis ialah sarung bantal bagi kegunaan melapik kepala jenazah dan dua helai kain putih yang perlu diikat pada batu dan diletakkan di simpang jalan sebagai tanda ada orang meninggal dunia.
Kesemua kelengkapan jenazah itu disimpan rapi dalam sebuah almari dan digunakan sebagai memenuhi impiannya.
Allahyarham juga turut berpesan agar mengebumikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang di sini iaitu berdekatan dengan kubur arwah ibunya.
Inilah nota tulisan Allahyarham Umi Kalthum yang ditemui di meja solek. Foto: fauziahsamad.com 
Arwah juga kata Amir Noor pernah melahirkan hasrat untuk meninggal dunia di Mekah ataupun pada bulan Ramadan.
“Alhamdulillahlah... hajat nenek untuk meninggal dunia pada bulan Ramadan seperti yang diimpikan telah dimakbulkan Allah,” katanya.
Dalam pada itu rakan seangkatan Allahyarham iaitu Datuk Maria Menando, 81, berkata, dia amat terkejut dengan berita kematian itu kerana Umi Kalthum masih dilihat cergas walaupun ketika usianya sudah lanjut.
Katanya, kali terakhir mereka berjumpa ketika menziarahi jenazah Allahyarham Latifah Omar yang meninggal dunia pada 9 Jun lalu.
“Umi seorang rakan yang sangat baik dari segi tutur kata dan tingkah lakunya. Selama mengenalinya, saya amat senang berkawan dengan dia,” kata Maria.
Rakan seangkatan; pelakon Salmah Ahmad (kiri) dan Maria Menando. Foto ihsan: fauziahsamad.com 
Pelakon Salmah Ahmad, 76, pula berkata, Allahyarham ada berpesan kepadanya agar menjaga kesihatan sebaik mungkin selain mengadu sakit dada.
“Dua hari lepas dia ada telefon saya. Dia nak ajak saya bercuti ke Jakarta. Saya kata tak ada masalah. Kemudian dia bertahu, dadanya sakit sehingga kadang-kadang nak tarik nafas pun susah.
“Kerana masalah itu dia banyak kali supaya saya menjaga kesihatan dengan baik,” katanya yang pernah berlakon dengan Allahyarham dalam filem Yatim Mustapha pada tahun 1961.
Sepanjang hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Watak jahat iaitu Putih yang dipegangnya dalam Bawang Putih Bawang Merah pada tahun 1959 pernah menyebabkan dia dibenci peminat kerana sering mendera adik tirinya iaitu Merah lakonan Latifah Omar.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate selepas solat Zuhur pada Rabu.
Turut menziarahi Allahyarham ialah Datuk Aziz Sattar, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Aspalela Abdullah, Zalifah Ibrahim, Hayati Tasrip dan Mariani.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Wednesday 24 July 2013

Farah AF nafi mencuri

BAKAL muncul dengan lagu Sehati Sejiwa yang dijadikan runut bunyi drama Cinderella, Farah menegaskan ia merupakan permulaan yang baik buat dirinya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.


SEBUT sahaja Farah Breep Breep atau Farah AF pastinya semua orang mengenali dirinya. Bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kedua itu kini kembali aktif dalam bidang nyanyian setelah sekian lama menyepi.
Dia bakal muncul dengan lagu Sehati Sejiwa yang diberi nafas baharu. Lagu itu dijadikan lagu runut bunyi untuk drama Cinderella lakonan Fizo Omar dan Nelydia Senrose.
Farah, 28, yang sebelum ini cukup sinonim sebagai hos terutama menerusi program Nasi Lemak Kopi O dan Rasa Halal Orient berkata: “Pembabitan saya dengan lagu runut untuk drama Cinderella yang berjudul Sehati Sejiwa ini merupakan suatu permulaan yang baik buat saya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.”
Baru sahaja muncul kembali, Farah tidak semena-mena dikaitkan dengan gosip ‘panas’ apabila dia ditohmah sebagai individu yang terlibat dengan kes mencuri di set penggambaran sebuah program.
Kes tersebut melibatkan banyak barang yang hilang seperti baju dan duit.
Farah didakwa tidak memulangkan semula baju yang dipakainya untuk mengacara dan dikatakan ada satu pihak yang cuba untuk menguji kejujuran Farah dengan meletakkan kertas-kertas yang dicetak saling tak ubah seperti wang kertas ke dalam poket baju yang dipinjamkan kepadanya.
Apabila baju itu dipulangkan, kertas yang konon-kononnya duit itu hilang begitu sahaja.
Kosmo! berkesempatan menemui Farah pada sesi rakaman suara di Studio Camwood, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai gosip tersebut.
Namun, penjelasan yang diberikan oleh pemilik nama sebenar Farah Diana Anuar itu ternyata berbeza dengan gosip yang diuar-uarkan selama ini.
Siapa yang betul dan siapa yang salah sebenarnya?
Kosmo!: Ada gosip baru muncul tentang hos tangan panjang. Desas-desus mendakwa hos itu ialah Farah. Boleh Farah jelaskan tentang dakwaan tersebut?
FARAH: Sebenarnya, kejadian tersebut berlaku pada hari ketiga Ramadan. Tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak pernah lakukan perbuatan terkutuk sebegitu pada bulan Ramadan ini. Ceritanya macam ini, setelah selesai mengacara, saya ke bilik persalinan untuk menukar baju dan di situ terdapat banyak baju. Ketika saya nak pakai tudung, saya ternampak duit yang sudah terkeluar dari satu poket baju. Saya tak tahu mengapa saya terlalu baik hati untuk mengambil dan berniat untuk memulangkan semula duit tersebut kepada pihak yang sepatutnya.
FARAH mengakui dirinya hampir pengsan apabila dituduh mencuri.


Pihak manakah yang Farah maksudkan?
Kebetulan, ayah saya merupakan bekas pengawal keselamatan di TV3. Jadi, saya fikir untuk menyerahkan duit tersebut kepada ayah saya. Ini kerana ayah saya kenal dengan ramai pengawal di situ dan tahu ke mana duit itu sepatutnya dibawa.
Apakah tindakan Farah untuk memperbetulkan keadaan pada ketika itu?
Sejujurnya, saya langsung tidak diberi langsung peluang untuk memperbetulkan keadaan tetapi saya dicerca dengan pelbagai tohmahan sehingga saya digelar pencuri, penjenayah dan pendatang. Tiada seorang pun yang bersama dengan (menyokong) saya. Saya cuba untuk hubungi ayah dan suami saya, namun telefon saya habis bateri ketika itu. Jika saya berkata yang benar pun, tidak akan ada yang percaya. Saya hampir pengsan apabila semua orang menyalahkan saya.
Namun, isu ini bukan kali pertama yang mengatakan Farah sebagai seorang yang panjang tangan, tetapi sudah ada kes yang mengatakan Farah juga sebenarnya mencuri iaitu tidak memulangkan semula busana yang dipakai semasa mengacara. Boleh Farah jelaskan?
Sepanjang karier saya, tidak pernah terjadi perkara sebegitu. Semua baju yang saya pakai, saya pulangkan semula. Jadi mana isu yang mengatakan saya tidak pulangkan semula baju tersebut. Selama saya bekerja sebagai duta Power Root dan pengacara, tidak pernah sesekali timbul isu ini, dan jika benar saya lakukannya, sudah lama saya diberhentikan atas tindakan tersebut.
Bagaimanakah akhirnya penyelesaian isu duit tersebut?
Sebenarnya, isu duit tersebut sudah selesai. Tuan empunya duit tersebut sangat bersahaja. Hanya orang di sekeliling yang melebih-lebih.
Tidakkah rasa keterlaluan apabila orang mempunyai prasangka buruk tentang diri Farah?
Sebenarnya, kita tidak boleh lari daripada ketidakpuasan hati orang lain. Saya amat terkilan apabila saya dituduh atas perkara yang saya tidak lakukan itu. Ini merupakan sesuatu yang dirancang untuk menjatuhkan saya!
Apakah ini merupakan satu dugaan buat Farah?
Sememangnya ini merupakan satu dugaan pada bulan puasa, dan saya reda dengan segala yang terjadi. Saya serik untuk lakukan kebaikan, apabila apa yang kita buat telah disalahertikan. Sepatutnya, pada bulan baik ini, buatlah benda yang baik dan jangan hanya menuduh benda yang tidak berasas kerana saya mahu berada lama dalam dunia seni ini.
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Siasat isu murid makan dekat tandas

 

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu tindakan tegas diambil terhadap pengurusan sebuah sekolah di Sungai Buloh, dekat sini, sekiranya dakwaan pelajar bukan Islam sekolah itu diminta makan dan minum dekat tandas berasas.

“Saya sudah mengarahkan Kementerian Pendidikan menyiasat isu murid bukan Islam yang disuruh makan dekat tandas. Tindakan tegas akan diambil, jika ada asas,” katanya yang juga Menteri Pendidikan yang dipetik dalam laman Twitternya, semalam. 
Beberapa laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog semalam memaparkan beberapa gambar menunjukkan murid bukan Islam yang didakwa terpaksa makan dan minum dalam tandas di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh. 

Naik taraf kantin

Seorang ibu murid sekolah itu ketika dihubungi BH mendakwa, murid sekolah terbabit diminta makan dan minum dekat bilik air berikutan kantin sekolah sedang dinaik taraf.

Katanya, mereka hairan kenapa murid sekolah terbabit diminta makan dekat bilik yang masih berbau hanyir, biarpun sudah dibersihkan.

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah mengarahkan murid bukan Islam makan dan minum dekat bilik air, sedangkan sepatutnya pihak sekolah boleh menyediakan khemah sementara,” katanya. 
Katanya, pihak sekolah tidak sepatutnya memindah kawasan makan dekat bilik air dan sekiranya kantin berkenaan ditutup untuk proses naik taraf, satu kawasan yang lebih sesuai perlu digunakan sebagai ruang makan.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim berkata, murid di sekolah berkenaan terpaksa makan dan minum di bilik persalinan sejak Mac lalu sebagai tambahan ruang kantin yang ketika ini gagal menampung murid yang ramai iaitu 1,375 orang.

Katanya, berikutan itu pihak sekolah menaik taraf kantin bermula 17 Julai lalu sehingga semalam. Dakwaan pihak tertentu kononnya tapak berkenaan tandas adalah tidak benar, sebaliknya ia bilik persalinan yang bersih serta sudah diubah suai menjadi tempat makan.

“Saya kesal kerana isu ini dibangkitkan pihak luar yang tidak tahu perkara sebenar, tetapi bertindak membuat tuduhan melulu yang menjejaskan reputasi sekolah. Saya sudah mengarahkan pihak kantin untuk beroperasi semula seperti biasa esok (hari ini) bagi mengelak isu ini berpanjangan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.


Sumber : Berita Harian
Reply To This Comment

Haiwan pelik ditemui


Haiwan pelik ditemui
Ismail memegang haiwan pelik yang ditemuinya di atas daun nipah di kawasan hutan berdekatan Kampung Alor Tuman
MARANG - Rupanya seperti seekor udang galah, namun ia juga kelihatan seperti seekor ketam kerana mempunyai sepit dan apabila diperhatikan dengan lebih terperinci, ekornya pula kelihatan seperti kala jengking.

Haiwan pelik berwarna jingga itu ditemui seorang pengusaha nira nipah liar, Ismail Jusoh, 49, dari Kampung Alor Tuman di sini, di kawasan hutan ketika mencari pokok nipah berdekatan kampung berkenaan, kelmarin.

Menurut Ismail, dia menemui haiwan itu di atas daun pokok nipah lalu memberanikan diri memegangnya, namun terkejut apabila melihat rupa bentuknya yang unik.

“Saya terkejut melihat haiwan itu berkaki lapan. Bahagian hadapan bentuknya seperti ketam manakala bahagian belakang seperti udang dan seakan-akan ekor kala jengking,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, dia akhirnya mengambil keputusan untuk membawa pulang haiwan itu ke rumahnya dan berhasrat memelihara haiwan tersebut.

Kini, ia disimpan dalam sebuah takungan berisi air.

“Saya belum lagi menghubungi mana-mana pihak berkaitan bagi memaklumkan mengenai penemuan spesies pelik itu termasuk pihak Jabatan Perikanan bagi mengenal pasti spesies sebenar haiwan tersebut. Tapi saya akan menyimpannya terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, menurut maklumat yang diperoleh dari sebuah laman web, haiwan itu dinamakan sebagai ‘ngoang’ di Sarawak manakala dipanggil ‘jabot’ di Johor, namun ia amat jarang ditemui kerana berkemungkinan semakin pupus.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Pelakon Umi Kalthum Meninggal Dunia Dalam Tidur

Umi Kalthum meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah salah seorang anaknya di Taman Melawati dekat sini pagi Rabu. Foto Ihsan Berita Harian.
PETALING JAYA: Seniwati veteran iaitu Datin Umi Kalthum, 81, meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah salah seorang anaknya di Taman Melawati dekat sini pagi Rabu.
Anak Allahyarham, pelakon Noorkumalasari berkata, ketika kakak sulungnya hendak mengejutkan Allahyarham untuk bersahur kira-kira pukul 4 pagi, Umi Kalthum sudah tidak bergerak.
"Ketika kakak saya bersiap untuk bersahur, kakak pergi kejutkan ibu di dalam bilik dan mendapati dia sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pagi Rabu.
Noorkumalasari berkata, Allahyarham tidak menghidap apa-apa penyakit kritikal dan beliau masih cergas walaupun sudah mencecah usia 81 tahun.
Malah ketika bertemu dengannya kira-kira dua hari lalu, Allahyarham tidak menunjukkan perubahan sebaliknya aktif berbual seperti biasa.
Orang ramai memenuhi rumah salah seorang anak Umi Kalthum untuk menziarahi jenazahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
"Semasa saya berjumpa dengannya, saya bawakan dia sambal bilis dan kami sempat berborak sambil gelak ketawa.
"Tiada apa-apa perubahan terhadap dia sehinggalah dia meninggal dunia pada hari ini (Rabu)," katanya.
Menurut Noorkumalasari, Allahyarham juga tidak meninggalkan apa-apa pesan tetapi selepas kematian suami iaitu pelakon Datuk S Roomai Noor kira-kira 17 tahun lalu di Mekah, Allahyarham kerap berkunjung ke Tanah Suci itu seolah-olah mahu melepaskan rindu kepada suami.
Kali terakhir Allahyarham ke sana adalah pada April lalu. Beliau dan S Roomai Noor juga telah mengerjakan ibadah Haji pada tahun 1976 dan 1982.
Semasa hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Noorkumalasari
Watak jahatnya sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah yang digandingkan dengan Latifah Omar benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton.
Beliau juga pernah dipilih sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di Asia pada zaman kegemilangannya oleh sebuah majalah di Australia.
Hasil dua perkahwinan iaitu bersama Jaafar untuk perkahwinan pertama dan S Roomai Noor bagi perkahwinan kedua, beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu dan seorang cicit.
Seorang lagi anak Allahyarham ialah penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan pertama S Roomai Noor dengan seniwati Siput Sarawak.
Jenazah dimandikan dan dikapankan di masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, Hulu Klang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, dekat sini selepas solat Zuhur.
Antara rakan artis yang melawat Allahyarham ialah Datuk Maria Menando, Datin Rosnani Jamil, Salmah Ahmad, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Sattar, Zalifah Ibrahim dan Aspalela Abdullah.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Tuesday 23 July 2013

Norman Hakim Tidak Terkejut Abby Nikah Lelaki Muda

Norman Hakim 
PETALING JAYA: Bekas suami kepada Abby Abadi iaitu Norman Hakim tidak terkejut dengan berita pernikahan wanita itu dengan sorang lelaki muda kerana sudah menghidu hubungan mereka lebih awal.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 37, berkata, disebabkan mengenali bekas isterinya itu yang penuh dengan kejutan, berita pernikahan tersebut diterimanya dengan baik.
"Sebenarnya saya dan isteri (Memey Suhaiza) pernah berjumpa dengan suami Abby sekarang sebelum mereka berkahwin dan kami seperti dapat mengagak jalinan perhubungan mereka yang nampak mesra.
"Tetapi Abby tak cakap apa-apa pun. Saya dan Memey hanya dengar sahaja berita ini dan tahu-tahu dia dah kahwin. Saya tidak terkejut dengan keputusannya memandangkan dia sering memberi kejutan dalam apa-apa perkara sekalipun.
"Kami terima pegangannya iaitu Allah didahulukan. Sebab itu mereka berkahwin dahulu, baharulah dia selesaikan hal duniawi pula. Kami hanya doakan yang terbaik," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Selasa.
Abby, 36 yang juga bekas anggota kumpulan Elite telah berkahwin dengan pemuda 12 tahun lebih tua daripadanya iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, pada 9 Julai lalu iaitu sehari sebelum menjelangnya bulan Ramadan.
Abby bersama suaminya, Farhan. 
Mereka dikatakan bertentang mata di sebuah pasar raya sebelum membuat keputusan untuk bernikah kira-kira dua minggu perkenalan.
Bagaimanapun Abby mahu merahsiakan lokasi pernikahan mereka atas sebab-sebab tertentu.
Tambah Norman, dia berharap agar perkahwinan itu juga tidak akan menimbulkan sebarang persoalan negatif kerana Abby mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja demi kebaikan dirinya dan keluarga.
Dalam pada itu, bintang drama Tanah Merah itu juga berharap agar Farhan dapat membimbing Abby serta tiga orang anaknya (hasil perkahwinan Norman dengan Abby) iaitu Mohamed Danish Hakim,10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5, dengan baik.
"Saya berasa lega dan syukur akhirnya Abby memiliki seorang suami selepas lima tahun sendirian bersama anak-anak. Ini semua hidayah Allah.
"Cuma saya harap Farhan dapat membimbing anak-anak ke jalan yang lebih baik. Moga mereka dapat membesarkan lagi keluarga ini," ujarnya.
Abby sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Norman pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008.
Tidak lama selepas itu, Norman mendirikan rumah tangga dengan pelakon Memey Suhaiza pada 24 September 2011.
 Sumber : mStar Online
Reply To This Comment