Sunday 13 January 2013

Memey Tercuit Dengan Gelagat Norman Menjelang Kelahiran Anak

Memey dan Norman tidak sabar menanti kelahiran anak pertama mereka pada Februari depan. - Foto oleh IBRAHIM MOHTAR

KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza mengakui tercuit hati dengan gelagat dan debaran yang dialami suaminya aktor Norman Hakim menjelang kelahiran bayi sulung mereka dijangka pada 20 Februari depan.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 27, berkata, sikap kalut Norman yang terlalu gelisah mengenai persiapan kelahiran anak lelaki mereka itu melebihi kebimbangannya sendiri yang pertama kali bakal bersalin.
“Saya okey sahaja. Tidak terfikir atau bayangkan apa-apa pun tapi abang (Norman) yang nampak lebih bimbang.
“Mungkin kerana pengalamannya bergelar bapa sebanyak tiga kali sebelum ini membuatkan dia bimbang untuk sambut kelahiran anak kami nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Ditanya mengenai persiapan terakhir menjelang kelahiran itu, Memey berkata, segala persiapan pakaian dan pemilihan beberapa nama sudah disenarai pendekkan.
“Kami sudah ada dua atau tiga nama pilihan cuma belum putuskan yang mana satu sahaja.
“Abang juga sudah selidik banyak info di Internet dan buku-buku mengenai kelahiran anak kami,” katanya.
Dalam pada itu, Norman berkata, perasaan panik menjelang kelahiran itu adalah perkara lazim yang dihadapinya sejak anak pertama lagi.
“Dari anak pertama lagi saya memang berdebar dan panik. Saya rasa pengalaman menyambut kelahiran anak-anak yang membuatkan saya begitu.
“Sebab itu saya berasa tidak tenang dan takut untuk menunggu kelahiran Memey nanti kerana saya perlu bersedia,” katanya yang merancang untuk menjemput keluarga Memey menemani aktres itu pada hujung Januari ini.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Norman dan Abby Abadi dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4.
Pasangan itu bercerai pada 18 Disember 2008.
Sumber : mStar Online

No comments:

Post a Comment