Sunday 31 March 2013

Tahi lembu jadi pewangi



PEWANGI tahi lembu akan menambah lagi kepelbagaian produk pewangi di pasaran.



BAYANGKAN, sisa buangan daripada lembu, boleh menjadi pewangi udara. Secara logiknya, mana mungkin najis haiwan herbivor ini boleh menjadikan udara di sekeliling kita menjadi nyaman dan segar.
Biasanya, tahi lembu yang berbau busuk ini lebih banyak digunakan sebagai baja organik oleh petani-petani di negara ini.
Bagi negara India pula, mereka menggunakan tahi lembu sebagai bahan bakar. Tahi lembu juga dijadikan ketulan mampat yang digunakan untuk membina rumah.
Namun, kajian yang dilakukan oleh dua orang pelajar daripada Sekolah Tinggi Indonesia, Dwi Nailul Izzah dan Rintya Aprianti Miki berjaya menghasilkan pewangi udara daripada tahi lembu.
Dua pelajar ini akan mewakili Indonesia ke pertandingan The International Environment Project Olympiad (INEPO) yang akan berlangsung pada Mei ini di Istanbul, Turki.
Mereka merupakan peserta pertandingan Projek Sains Olympiad Indonesia yang berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan disertai oleh hampir 1,000 orang peserta di seluruh Indonesia.
Syarat untuk menyertai pertandingan ini ialah, para peserta perlu menggunakan bahan yang mudah didapati di semua negara dan tidak bermusim.
Jadi, kedua-dua pelajar itu telah memilih tahi lembu sebagai bahan asas penyelidikan mereka.
Pewangi yang dicipta oleh dua pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Muhammadiyah ini sangat mesra alam dan berbau seperti herba.
Menurut Nailul, haruman yang dihasilkan mereka mempunyai bau semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan.
"Haruman ini mempunyai bau tumbuhan tulen yang menjadi makanan lembu dan bukan kerana bantuan bahan kimia untuk menjadikannya wangi," ujarnya.
Nailul dan Rintya melakukan kajian dari aspek pemasaran untuk mengetahui potensi produk yang mereka hasilkan itu boleh dipasarkan.

SEBAHAGIAN besar penduduk India membina rumah menggunakan najis haiwan ini. - Gambar hiasan


Proses
Rintya berkata pewangi tahi lembu ini sangat berpotensi untuk dipasarkan kerana kosnya adalah sangat murah, iaitu RM6.70 untuk setiap pek 225 mililiter.
“Selain harganya yang murah, pewangi ini juga tidak mengandungi bahan kimia seperti benzo acetat yang berbahaya untuk manusia,” jelas Rintya.
Proses untuk menghasilkan pewangi ini dimulakan dengan mengumpul tahi lembu untuk proses penapaian. Tahi lembu berkenaan diambil dari ladang lembu yang terletak di Rempit Kabupaten, Jawa Timur.
Tahi lembu yang dikumpulkan akan ditapai selama tiga hari. Air yang terhasil daripada proses penapaian ini akan diambil dan dicampurkan dengan air kelapa.
Air yang sudah bercampur berkenaan akan diekstrak melalui proses penyulingan secara berperingkat selama tujuh hari.
Proses tersebut dilakukan untuk membuang bahan kotor yang terdapat dalam sisa buangan lembu ini.
Hasil daripada proses ini, air tersebut berbau seperti rumput segar.
Nailul memberitahu bahawa mereka akan mendaftarkan ciptaan mereka ini di bawah Hak Harta Intelek (IPR) kerana tiada lagi produk yang sama didaftarkan.
“Jadi, kita ada peluang yang besar untuk mendapatkan hak cipta,” jelas Nailul.
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Kelibat roh pengganas di Kampung Tanduo

 








 LAHAD DATU - Ketahanan mental anggota keselamatan yang bertugas di Kampung Tanduo di sini terus diuji apabila mereka dipercayai sering terlihat kelibat tiga lelaki sedang berkeliaran di kawasan tersebut.
Sumber memaklumkan, kelibat tiga lelaki itu dipercayai roh pengganas Sulu yang ditembak mati dalam pertempuran 1 Mac lalu.
Katanya, kelibat lelaki itu hanya dapat dilihat pada waktu Maghrib.
"Perkara ini tidak logik tetapi inilah yang didakwa dialami anggota keselamatan.
"Mereka lihat tiga lelaki berkeliaran dengan seorang daripadanya memakai serban putih," dakwa sumber itu di sini semalam.
Selepas beberapa saat, kelibat tiga lelaki itu akan hilang.
"Di kampung tersebut ada tiga lubang kubur yang menempatkan ramai mayat pengganas.
"Kebanyakannya mempunyai tangkal di pinggang yang kononnya bertujuan menjadikan mereka kebal," tambahnya.
 Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Misteri pemuda kayak

Misteri pemuda kayak
Mayat Mohd Hafiedz dibawa ke bilik mayat HSNZ , malam kelmarin.
Misteri pemuda kayak
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengimamkan solat jenazah di Masjid Kampung Kolam, Kuala Ibai, pagi semalam.
Misteri pemuda kayak
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan kata-kata semangat kepada Mohd@ Harun.
KUALA TERENGGANU - “Sehingga ke saat ini, saya masih lagi tertanya-tanya siapakah pemuda bersama kayaknya yang membantu menaikkan arwah abang, adik dan anak saudara saya ke persisir pantai.

“Tidak cukup dengan itu, pemuda berusia lingkungan 20-an itu turut menyelamatkan saya dan adik-beradik lain dengan menghulurkan pendayung kayaknya serta membaling jaket keselamatan kepada salah seorang daripada kami dan selepas semuanya selamat, pemuda itu hilang,” demikian cerita Mohd Iqbal Mohd @ Harun, 45, kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam, Kuala Ibai, di sini, semalam.

Mohd Iqbal adalah salah seorang mangsa tragedi lemas di Pantai Chendering (belakang Sekolah Kebangsaan Chendering), di sini, kelmarin, yang meragut nyawa abang sulungnya, Saifuddin, 49, adiknya, Mohd Hafiedz, 34, dan anak saudaranya, Mohd Adam Daniel Mohd Hafiedz, 7.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu juga, seorang lagi adik dan iparnya, Burhanuddin Helmi, 43, dan Ahmad Idzaham Tayyib, 41, yang turut lemas, berjaya diselamatkan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Menurutnya, dia bersama enam adik-beradiknya dengan membawa keluarga masing-masing iaitu seramai lebih 25 orang datang ke pantai berkenaan untuk berkelah sempena cuti sekolah.

Jelasnya, sebelum kejadian, mereka sedang bermain bola pantai sebelum dikejutkan dengan berita daripada orang awam di situ yang memaklumkan ada ‘budak’ lemas.

“Ketika itu, saya langsung tidak tahu ‘budak’ yang dimaksudkan itu adalah anak saudara saya sendiri iaitu Mohd Adam Daniel, jadi kami beramai-ramai terus bergegas untuk membantu, namun dalam usaha membantu itulah baru kami tahu ‘budak’ itu adalah darah daging sendiri.

“Sejurus mengetahui ‘budak’ itu adalah anaknya, adik  Mohd Hafiedz nekad terjun menyelamatkan mangsa diikuti oleh abang, Saifuddin, bagaimanapun mereka gagal disebabkan keadaan ombak yang agak kuat,” katanya.
Menurutnya, dia bersama adik-beradik lain turut berusaha menyelamatkan ketiga-tiga mangsa, namun mereka turut sama-sama hampir lemas sebelum diselamatkan oleh ‘pemuda kayak’ tersebut.

Jelasnya lagi, semasa ketiga-tiga mangsa dinaikkan ke darat, mereka dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan.
Mohd Iqbal dan ketiga-tiga arwah adalah anak dan cucu kepada Ketua Keselamatan Pas Terengganu, Mohd@ Harun Jusoh, bekas wakil rakyat Pas, yang juga pernah menjadi Adun Bandar pada pilihan raya umum  1990.

Arwah Mohd Hafiedz, anak kelapannya adalah Setiausaha Kerja Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Burok yang baru bertugas sejak hampir dua bulan lalu dan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas kawasan Kuala Terengganu.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Nyaris disembelih Jeneral Musa

Nyaris disembelih Jeneral Musa
Ajmain
 Nyaris disembelih Jeneral Musa
Rumah penduduk yang digeledah pengganas Kiram.
LAHAD DATU – Tiada apa yang diharapkan Ajmain Mahmud, 35, selain mahu terus hidup tatkala dia hampir-hampir disembelih ketua pengganas Kiram yang dikenali sebagai Jeneral Musa dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu di sini, 6 Mac lalu.

Menurut Ajmain, ketika itu dia sendiri tidak yakin akan dapat terus bernyawa ketika peluang bagi dirinya untuk melepaskan diri dirasa sudah teramat tipis sementara Jeneral Musa pula begitu marahkannya hingga sudah bersiap sedia untuk menyembelihnya hidup-hidup.

"Dia ketika itu sudah mengacu barong (parang Sulu) ke leher saya untuk sembelih saya hidup-hidup," kata Ajmain, anak Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang.

Ditanya mengapa ketua pengganas Kiram itu begitu marahkannya, Ajmain berkata, puncanya kerana Jeneral Musa menyangka dia yang melaporkan kedudukan pengganas kepada pihak keselamatan.

"Kononnya kerana laporan sayalah, mereka (pengganas) dijejak dan diserang pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan 2 Mac di Kampung Simunul, Semporna hingga menyebabkan beberapa pengikutnya mati dan ditangkap," katanya.

Menurut Ajmain, ketika itu Jeneral Musa diiringi kira-kira 50 pengikutnya yang mengarahkan dia dan penduduk lain berkumpul di satu tempat.

"Ketika itu kira-kira jam 9 pagi, saya berasa sangat takut," katanya.

Ajmain berkata, selain diacu parang, dia juga ditempeleng beberapa kali oleh Jeneral Musa.

“Saya hanya mampu berdoa, tiba-tiba ada seorang dari mereka menghalang Jeneral Musa dari membunuh saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pengganas Kiram turut membuat dua sekatan bagi menghalang penduduk Kampung Tanjung Batu keluar dari kawasan terbabit.

“Kami berjaya melepaskan diri apabila pengganas benarkan kami keluar. Ada juga berjaya keluar apabila pengganas beri wang untuk membeli barang-barang makanan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Saturday 30 March 2013

Situasi Lahad Datu: Penduduk titis air mata lihat kesan pertempuran

LAHAD DATU - Kesan tembakan boleh dilihat dengan mata kasar di setiap rumah dilalui petugas media yang berpeluang melihat sendiri kesan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan pengganas Sulu.
 
Ada kesan tembakan daripada  senjata ringan seperti M-16 dan ada juga kesan  tembakan senjata berat  seperti mesingan berat (GPMG) sehingga terdapat kesan lubang besar pada rumah penduduk dan kenderaan.

Semalam, buat pertama kalinya petugas media dibenar masuk ke kawasan pertempuran bersama pasukan keselamatan, Pejabat Daerah Lahad Datu, Jabatan Kerja Raya serta 30 ketua keluarga penduduk Kampung Tanjung Batu kira-kira jam 9.30 pagi, selepas disytiharkan selamat.
 
Sebaik tiba di Kampung Tanjung Batu, hati mula terasa sedih dan terkejut melihat kesan pertempuran yang amat dahsyat seperti kita melihat cerita-cerita perang di televisyen.
 
Sebak juga rasanya apabila melihat ada dalam kalangan ketua keluarga menggelengkan kepala dan ada menitiskan air mata apabila melihat sendiri kediaman mereka didiami sejak kecil musnah begitu sahaja.
 
Harapan mereka hanyalah mahu kembali aman seperti sedia kala.


Sumber : Sinar Harian


Situasi Lahad Datu: Penduduk titis air mata lihat kesan pertempuran

Salah sebuah rumah penduduk Kampung Tanjung Batu musnah terbakar akibat pertempuran hampir sebulan antara kumpulan militan Kiram dan pasukan keselamatan dalam Op Daulat.
Situasi Lahad Datu: Penduduk titis air mata lihat kesan pertempuran
Anggota tentera merakam gambar sebuah rumah penduduk Kampung Tanjung Batu yang hanya tinggal rangka.
Situasi Lahad Datu: Penduduk titis air mata lihat kesan pertempuran
Sebahagian kemusnahan tempat tinggal penduduk yang dapat dilihat di Kampung Tanjung Batu.
Situasi Lahad Datu: Penduduk titis air mata lihat kesan pertempuran
Kesan-kesan tembakan pada rumah penduduk jelas kelihatan.


Reply To This Comment

Mengaku Islam, tidak tahu mengucap

MAYAT seorang pengganas yang mati ditembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu.


SEMPORNA – Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam.
Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan di daerah ini dan Lahad Datu sepanjang operasi itu.
“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.
“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.
“Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan.
Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh menjadikan mereka kebal.

MAYAT pengganas Sulu yang di kumpulkan di Hospital Lahad Datu baru-baru ini.


Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat, anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.
Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25 tahun bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 15 Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu jihad.
“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak sedih dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya itu selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.
Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di daerah ini bersama anaknya.
Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.
Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu terbunuh dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala jumlah yang ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Bertudung penuh atas kerelaan sendiri

DATUK SITI NURHALIZA mula memakai tudung secara sempurna pada sambutan ulang tahunnya yang ke-34 pada 11 Januari lalu.


Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu.
Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada tahun ini.
Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu.
Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.
Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri.
"Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan.
"Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu," jelasnya.

Siti bersama cenderamata potret dirinya yang diberikan pihak pusat taman tema sebagai tanda kenangan.


Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap dirinya.
"Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima.
Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai berfesyen, meskipun memakai tudung.
"Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian tudung," ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang paling gembira.
"Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai," jelasnya.

SITI melayan para peminatnya yang berpeluang bercuti bersamanya di sebuah taman tema di Johor, baru-baru ini.


Datuk K semakin pulih
Bercerita lebih lanjut mengenai keadaan terkini kesihatan suaminya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu, Siti memberitahu Datuk K kini sudah beransur pulih.
Bagaimanapun, ketika ini suaminya itu masih lagi mendapat rawatan susulan seperti menjalani fisioterapi untuk menyembuhkan kecederaan bahu dan tangan yang dialaminya itu.
"Saya sangat bersyukur dengan keadaan kesihatan suami saya sekarang yang dilihat semakin pulih, malah kalau ada kelapangan dia juga akan pergi ke pejabat.
"Selain itu, saya sangat mengagumi ketabahan yang dilaluinya untuk pulih. Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamed menziarahi suami saya, beliau ada memberitahu bahawa menjalani fisioterapi memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi," ujarnya.
Ujarnya, Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Queenstown, New Zealand pada akhir tahun lalu ketika menunggang motor berkuasa tinggi dijangka pulih sepenuhnya pada April ini.
SITI gembira kerana tahap kesihatan suaminya, Datuk K semakin memberangsangkan.


Album baharu
Setelah kali terakhir melahirkan album Melayu iaitu Tahajud Cinta pada tahun 2009, Siti memberitahu, dia bakal muncul dengan album baharu pada tahun ini.
Menurutnya, ketika ini dia masih lagi dalam proses pemilihan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut dan akan mula memasuki studio rakaman pada bulan Mei ini.
"Untuk album baharu ini saya akan kembali semula dengan konsep pop memandangkan dua buah album saya sebelum itu berkonsepkan irama tradisional dan kerohanian.
"Setakat ini beberapa orang komposer seperti Aubrey Suwito dan Adi 6ixth Sense sudah menyerahkan lagu ciptaan mereka. Namun begitu, saya masih lagi mempertimbangkan sama ada mahu menghasilkan mini album atau album penuh," jelasnya tentang perkembangan terkininya sekarang.
Ujar Siti, untuk album terbaharunya itu juga bakal memuatkan dua buah lagu baharu hasil ciptaannya sendiri sebagai hadiah kepada para peminatnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasratnya yang mahu kembali membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun hadapan, Siti sekadar menyatakan, ia masih dalam peringkat perancangan awal dan berharap ia dapat direalisasikan.
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Hanya tinggal kepala

Hanya tinggal kepala 

Sekumpulan penjenayah dikesan mencuri dan menyembelih lembu sebelum meninggalkan organ dalaman termasuk kepala haiwan berkenaan di tepi jalan menghala Sepang dalam kejadian di Tanah Merah, kelmarin.
Pemilik lembu berkenaan, M Yogeswaran, 28, berkata, dia terkejut sebaik menyedari dua daripada 12 lembu peliharaannya hilang selepas meragut rumput kira-kira tiga kilometer dari kandang.

Menurutnya, kebiasaannya semua lembu peliharaannya akan balik ke kandang apabila kekenyangan.
“Bagaimanapun saya terkejut melihat ia tiada di kandang lalu keluar mencari dan sebaik tiba di tepi jalan menghala Sepang, saya terkejut melihat usus, perut serta kepala lembu bertaburan di tepi jalan,” katanya. Menurutnya, seekor lembu jantan yang hilang itu seberat 800 kilogram dan dibeli dua minggu lalu dengan harga RM4,500 manakala seekor lagi 450 kilogram berharga RM2,500.

“Pagi tadi (semalam) saya turut menemui semula 10 lembu kira-kira 10 kilometer dari tempat ‘penyembelihan’ itu,” katanya. “Sebelum ini hampir 16 lembu saya dicuri. Saya mengesyaki dua lembu itu diberi suntikan pelali sebelum disembelih dan kerja itu dilakukan antara lapan dan 10 orang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun mengesahkan menerima laporan kes itu.
 Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

'Pakcik' Harry Potter Meninggal Dunia

Richard Griffiths 
RICHARD GRIFFITHS yang memegang watak sebagai pakcik Harry Potter dalam siri filem berkenaan telah meninggal dunia.
Mendiang yang berusia 65 tahun, disahkan meninggal dunia selepas mengalami komplikasi jantung ekoran pembedahan yang dilakukan ke atasnya di Hospital University Coventry dan Warwickshire.
Richard diberikan watak sebagai Vernon Dursley, iaitu pakcik Harry yang tidak berhati perut dan seringkali membulinya dengan mengurung dia di bawah tangga.
Beliau bukan sahaja seorang pelakon British yang popular malah turut menempa nama dalam bidang teater dan juga komedi.
Daniel Radcliffe, yang memegang watak Harry Potter tidak dapat menyembunyikan rasa sedih di atas pemergian pelakon veteran itu.
Menurut Radcliffe, sikap Richard yang periang, humor serta mesra telah banyak membantu ramai pelakon baru sepertinya berasa selesa di belakang pentas dan di set pengambaran.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Friday 29 March 2013

Pasaraya nafi dakwaan jual daging babi segar



Pasaraya nafi dakwaan jual daging babi segar
Pemilik laman sosial memaparkan imej yang didakwa daging babi.
 
SELAYANG - NSK Selayang menafikan ada daging khinzir dijual di premis berkenaan seperti mana dakwaan pemilik akaun sebuah laman sosial menerusi gambar yang sebarkan.

Wakil Bahagian Sumber Manusia NSK Selayang, Siti Afilah Che Min berkata, tiada daging babi segar dijual di premis berkenaan sebalik ia terdapat dalam produk tin sahaja.


Menurutnya, imej daging dalam troli yang dipaparkan dalam laman sosial terbabit adalah kambing sejuk beku dari New Zealand.


“Sejurus mendapat maklumat di laman sosial, semakan mendapati daging kambing itu disalut plastik sehingga dilihat seperti daging babi dan menimbulkan kekeliruan.


“Kita turut menerima banyak aduan berhubung perkara itu dan menegaskan NSK Selayang tidak menjual produk daging babi segar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Beliau berharap penjelasan itu akan dapat menepis segala kekeliruan yang timbul sekali gus pengguna tidak ragu untuk terus membeli daging di NSK Selayang.


Difahamkan, gambar memaparkan imej dua ketulan daging didakwa babi mula tersebar di laman sosial, bermula semalam.


Sumber mendakwa, daging itu diletakkan dalam troli tanpa berbalut sementara menunggu untuk dipotong menjadi kepingan kecil.


Sumber berkenaan turut bimbang sekiranya daging babi itu dijadikan kepingan kecil menggunakan mesin pemotong sama dengan daging lain di pasaraya berkenaan.


Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Rahsia lelaki pakai kopiah

Alor Setar: Seorang warga emas yang berlagak alim dengan memakai kopiah bagi menyembunyikan perbuatan jahat, akhirnya terbongkar apabila ditahan ketika mencuri sebuah kereta di tempat meletak kenderaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, Isnin lalu.

Dalam tangkapan jam 12 tengah hari, suspek berusia 58 tahun dari Jitra dan bekerja sambilan di sebuah syarikat menjual kereta di pusat bandar ini, menggunakan modus operandi mencuri kereta model lama sebelum menjual rim aloi dan aksesori termasuk radio kepada pembelinya.
Reply To This Comment

Orang ‘Imam Tua’ tumpas

Lahad Datu: Seorang lagi pengganas paling dikehendaki berjaya ditembak mati selepas lelaki berusia 60-an itu cuba menetak seorang anggota pasukan keselamatan dalam operasi di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, lelaki terbabit yang bersenjatakan barong (pedang Suluk) menyerang dan menetak anggota keselamatan yang menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah di perkampungan atas air itu. Namun, anggota keselamatan terbabit terselamat dan hanya cedera ringan kerana tetakan pengganas itu mengenai baju kalis peluru dipakainya.

Pengganas yang mati itu dikenal pasti sebagai pengawal dan pembantu kepada ‘Imam Tua’ iaitu seorang daripada pengganas yang ditembak mati selepas menyerang hendap sepasukan anggota keselamatan di Kampung Sri Jaya pada 2 Mac lalu, menyebabkan enam anggota polis terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, dalam kejadian pagi semalam, pengganas terbabit meluru keluar dari sebuah rumah di kampung itu dan terus menetak di depan dan belakang badan anggota pasukan keselamatan itu.

FotoANGGOTA Pasukan Gerakan Am bersiap sedia di Kampung Simunul, Semporna.

“Biarpun ditetak berkali-kali, anggota keselamatan dapat melepaskan tembakan menyebabkan pengganas itu terbunuh, manakala anggota kita tidak mengalami kecederaan serius,” katanya pada sidang media Op Daulat di Felda Residence Sahabat, di sini, semalam.


Sumber : Harian Metro
Reply To This Comment

Thursday 28 March 2013

Ahli Fizik Masuk Islam Kaji Matahari Terbit Dari Barat

Pusat Islam Kyiv
 Perkembangan Islam di Ukraine yang pesat menyaksikan hampir setiap dua minggu terdapat rakyat asal Ukraine samada lelaki atau wanita memeluk agama Islam di Pusat Islam Kyiv. Tetapi kejadian berikut ada kelainan apabila pusat tersebut didatangi oleh saintis Ukraine bernama Dimitry Boliakov. Beliau seorang saintis muda yang tekun dalam kajian bidang fiziknya. Beliau memasuki masjid di pusat tersebut ditemani bersama seorang ahli yang aktif di pusat tersebut.
Selepas Imam menyampaikan kuliah biasanya di masjid tersebut dan kemudiannya diikuti dengan majlis lafaz syahadah oleh saudara Dimitry. Apakah kelainan perisytiharan syahadah kali ini berbanding dengan yang lain sebelumnya. Ketika inilah Dimitry mula menjelaskan perjalanannya menuju keimanan terhadap Islam. Dia menyatakan kemasukannya didalam Islam ialah hasil dari kajian sains terutamanya dalam fizik yang menjadi pengkhususannya. Sidang jemaah dengan penuh khusyuk dan tanda tanya bagaimana kajian fizik yang beliau jalankan dapat membawanya memeluk Islam.
Majlis Lafaz Syahadah Saudara Dimitry
 Dimitry mula menerangkan bahawa ia menjalankan kajiannya bersama sepasukan saintis yang berwibawa dalam bidang kajian Vacuum Physics dibawah kelolaan Prof Nikolay Kosinikov yang merupakan pelopor dalam bidang tersebut. Dia menyatakan mereka membuat ujikaji terhadap sebuah globe bagi mengesahkan teori terbaru yang menjelaskan tentang putaran bumi dipaksinya, dan mereka berjaya mengukuhkan teori itu.
Akan tetapi Dimitry mengetahui terdapat riwayat dalam sebuah hadis dari nabi saw yang diketahui umat Islam, bahkan termasuk dalam asas akidah mereka. Hadis ini mengukuhkan lagi tentang kajian yang telah dibuatnya. Dimitri merasa yakin bahwa pengetahuan seperti ini, yang terdapat lebih dari 1.400 tahun yang lalu hanya mungkin didapati dari Tuhan yang mencipta alam ini sendiri.
Teori yang dikemukan oleh Prof. Kosinov merupakan teori yang paling baru dalam menjelaskan fenomena perputaran bumi pada paksinya. Kumpulan pengkaji ini menyediakan sebuah sampel berupa globe yang diisi penuh dengan cairan dari logam, kemudiannya mengenakannya dengan medan magnet yang terhasil dari electrode akibat caj dua elektronik. Iaitu proses aliran arus letrik DC melalui electrode yang menghasilkan medan magnet kemudiaanya menyebabkan globe diisi cairan logam itu berputar pada paksinya. Fenomena ini dinamakan “electo-magno-dynamic phenomenon”. Gerak ini pada asanya menjadi aktivitas perputaran bumi pada paksinya.
Realitinya di alam ini, daya matahari merupakan “kekuatan penggerak” yang melahirkan medan magnet yang mendorong bumi untuk berputar pada paksinya. Kemudian gerak putaran bumi ini samada cepat atau lambatnya seiring dengan daya kekuatan daya matahari. Atas dasar ini pula bergantung kedudukan arah kutub utara dan juga kearah manakah kedudukan tersebut.
Telah didapati bahawa kutub magnet bumi hingga tahun 1970 bergerak dengan kecepatan tidak lebih dari 10 km dalam setahun, akan tetapi pada tahun-tahun terakhir ini kecepatan tersebut bertambah hingga 40 km dalam setahun.
Bahkan pada tahun 2001 kutub magnet bumi bergeser dari tempatnya hingga mencapai jarak 200 km dalam sekali gerak. Ini berarti bumi dengan pengaruh daya magnet tersebut mengakibatkan dua kutub magnet bergantian tempat. Artinya bahwa “gerak” perputaran bumi akan mengarah pada arah yang berlawanan. Ketika itu matahari akan terbit (keluar) dari Barat.
Ilmu pengetahuan dan maklumat seperti ini tidak didapati Dimitry dalam buku-buku atau didengar dari manapun, akan tetapi ia memperoleh kesimpulan tersebut dari hasil kajian dan uikaji makmal yang dijalankan. Ketika dia meneliti berbagai-bagai kitab agama lain, ia tidak mendapatkan satupun petunjuk kepada maklumat tersebut selain dari Islam.
Ia mendapati maklumat tersebut dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah saw bersabda,” “Tidak akan terjadi kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya, apabila ia telah terbit dari barat dan semua manusia melihat hal itu maka semua mereka akan beriman, dan itulah waktu yang tidak ada gunanya iman seseorang yang belum pernah beriman sebelum itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah. Dan riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah)
Matahari terbit dari Barat akan terjadi selama satu hari saja, kemudian tertutuplah pintu taubat. Setelah itu, gerakanmatahari pun akan kembali seperti sebelumnya terbit dari timur sampai terjadinya kiamat. Saintis NASA juga mengesahkan fenomena ini seperti dalam artikel dibawah.
Dari Ibn ‘Abbas, “Maka Ubai bin Ka’ab berkata: “Maka bagaimana jadinya matahari dan manusia setelah itu?” Rasulullah menjawab: “Matahari akan tetap menyinarkan cahayanya dan akan terbit sebagaimana terbit sebelumnya, dan orang-orang akan menghadapi (tugas-tugas) dunia mereka, apabila kuda seorang laki-laki melahirkan anaknya, maka ia tidak akan dapat menunggang kuda tersebut sampai terjadinya kiamat.” (Fathul Baari, Kitaburriqaq, Juz 11, Thulu’issyamsi Min Maghribiha). 
Dipetik daripada : Harian Metro Online

Reply To This Comment