Kubur digali semula, keluarga syaki unsur jenayah
Jenazah Allahyarham Fazil Abdullah yang digali semula dibawa keluar dari Tanah Perkuburan Islam Kampung Jijan, Nilai semalam.
NILAI – Kubur seorang lelaki di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jijan, di sini digali semula petang semalam selepas keluarga mangsa mengesyaki kematian mangsa bulan lalu ada unsur jenayah.

Allahyarham Fazil Abdullah, 37, sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat dirempuh sebuah kereta di Kampung Lembah Paya, Salak, Sepang, antara jam 9 dan 10 malam pada 23 Disember lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia sehari selepas kejadian itu.

Bagaimanapun, salah seorang saudara mangsa dikatakan terlihat kesan kecederaan pada tubuh mangsa sewaktu memandi jenazah sehingga menimbulkan kemusykilan, namun mereka dikatakan tidak tahu berbuat apa-apa selain membuat laporan polis beberapa hari selepas itu.

Berikutan itu, semalam, selepas mendapat perintah mahkamah, kubur Allahyarham Fazil digali semula oleh ahli keluarga serta penduduk kampung kira-kira 3 petang, dengan dipantau Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia dan Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Nor Azamir Alias.

Kakak mangsa, Azizah Abdullah, 45, berkata, dia sekeluarga mengesyaki ada unsur jenayah terhadap kematian adiknya itu berikutan kecederaan dialami.

“Kami sekeluarga tidak tahu secara terperinci tentang kemalangan itu berlaku. Tetapi, ada saudara melihat kesan tetakan pada tangan kiri dan dadanya, selain kesan lebam di beberapa bahagian badan ketika memandikan jenazah.

“Jenazah adik tidak dibedah siasat, bagaimanapun dikebumikan pada 25 Disember lalu kerana kami sekeluarga kurang pasti apa yang perlu dilakukan ketika itu," katanya ketika ditemui pemberita ketika kerja penggalian di tanah perkuburan berkenaan, semalam.

Azizah berkata, selepas dikebumikan, ahli keluarga mereka membuat laporan polis kerana mahu bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

"Sebelum ini, lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua kancil yang merempuh adik saya membuat laporan polis mengatakan mangsa secara tiba-tiba terjatuh di atas bonet depan keretanya.

“Kami yakin ada perkara lain yang berlaku sebelum Fazil dilanggar kereta itu. Sebab itu, kami mahu pihak polis menyiasat,” katanya.

Mayat Allahyarham dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam untuk dibedah siasat dan kes dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan penggalian semula itu.

Menurutnya, proses penggalian dilakukan mengikut prosedur menerusi kebenaran mahkamah.
Sumber : Sinar Harian