Saturday, 19 January 2013

Diana sedia bergelar isteri

DIANA hadir bersama Halim untuk sesi fotografi.
SEKITAR hujung bulan September tahun lalu, pelakon Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, secara diam-diam telah melangsungkan pertunangan dengan seorang pensyarah Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Merbok, Kedah, Mohd. Habib Bullah A.Rahman.
Menegaskan sebelum ini bahawa bercinta dan bertunang bukan perkara wajib untuk dihebahkan, terkini Diana mengakui bahawa dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab seorang isteri.
“Saya sudah lama bersedia untuk berkahwin cuma belum sampai waktunya. Insya-Allah kalau tiada aral melintang kami akan melangsungkan perkahwinan pertengahan tahun ini selepas saya pulang daripada mengerjakan ibadat umrah di Mekah,” katanya yang ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita mengenai persiapan menjelang hari bahagianya itu kelak, kata Diana, dia dan bakal suami hanya mahukan sebuah majlis yang ringkas dan bersederhana mengikut kemampuan saja.
“Semahunya saya ingin sebuah majlis yang sederhana dan tidak menyusahkan banyak pihak terutama keluarga kami, asalkan majlis itu berlangsung dengan gembira,” tambahnya yang mengimpikan majlis perkahwinan dalam taman.
Majlis pernikahan pelakon filem Strawberi Cinta itu bakal ditaja oleh sebuah syarikat perancang perkahwinan yang terlibat sama dalam acara Jom Kahwin! Galeri Walimatul Urus Malaysia di Wangsa Walk yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Februari nanti.
Diana juga bakal menjadi duta untuk program tiga hari anjuran Terra Juta Event yang menyediakan platform bersifat One Stop Centre untuk bakal pengantin membuat pilihan dan persediaan perkahwinan.
Filem buka aurat
Selain itu, pelakon kelahiran Birmingham, England itu juga sedang sibuk mengacarakan program SIS (Semangat Intelek Swadaya) di saluran TV9 dan untuk tugasannya itu dia bakal ke Jepun pada bulan Februari serta Switzerland bulan berikutnya.
Mengubat kerinduan peminatnya, sebuah telefilem berjudul Kerana Dia bakal disiarkan pada 1 Februari ini di saluran TV Al-Hijrah serta cerekarama Musang Tak Berjanggut menyusul selepas itu menghiasi slot Cerekarama TV3.
DIANA bakal terbang ke Jepun pada Februari ini sebelum ke Switzerland pada bulan Mac untuk tugasannya sebagai pengacara program SIS.


Bagaimanapun, Diana meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sesetengah stesen TV yang kerap menayangkan filem-filem lakonannya sebelum bertudung yang difikirkannya mengaibkan.
“Saya menyarankan supaya stesen TV menghentikan tayangan filem-filem lama saya serta beberapa pelakon lain yang sudah berhijab sekarang. Fikirkan juga kebajikan kami yang sudah berubah.
“Ramai juga peminat yang mengadu mengenai kekerapan tayangan filem-filem lama saya sebelum saya berhijrah. Memang itu kesalahan saya tapi kalau boleh tayangkan filem-filem lain yang masih banyak dalam pasaran kita,” katanya yang bakal merujuk Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berhubung perkara itu.
Umrah dengan peminat
Sementara itu, Diana menerusi Kembara Ilmu Group akan bekerjasama dengan Mantop Travel & Tours Sdn. Bhd. untuk melaksanakan program travelog umrah bersama peminat pada pertengahan bulan April ini.
Program selama 15 hari 13 malam itu akan melawat beberapa tempat menarik di Kaherah, Iskandariah, Madinah dan Mekah sebelum mengerjakan ibadah umrah kemudiannya.
“Ramai yang mencadangkan untuk mengadakan program seumpama ini dan setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Sudah separuh tiket terjual dalam kalangan peminat saya sendiri kebanyakannya,” kongsi Diana.
Kata pengarah Mantop Travel & Tours Sdn. Bhd., Halim Hafidz, program tersebut menyediakan modul khusus lebih tersusun dan efektif yang jarang dilakukan agensi pelancongan lain untuk program umrah itu.
“Program ini akan dipenuhi dengan aktiviti berkualiti ke arah penyucian jiwa bukannya semata-mata melancong. Bulan April adalah waktu paling ideal untuk ke Mekah kerana cuaca ketika itu tidak terlalu ekstrem dan sesuai dengan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Bayaran sebanyak RM6,789 dikenakan untuk setiap peserta mengikuti program travelog umrah bersama Diana Amir. Maklumat lanjut hubungi pengarah Kembara Ilmu Group, Khairul Nizam Amat Zaini (013-222 3373).
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment