Monday 31 December 2012

Datuk K Jalani Fisioterapi, Perlu Banyak Berehat

Siti memberitahu keadaan suaminya semakin pulih dan sedang menjalani rawtan fisioterapi di sebuah hospital di Kuala Lumpur. 
PETALING JAYA: Usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang mengalami patah bahu akibat kemalangan motosikal di Queenstown, New Zealand pada 13 Disember lalu perlu menjalani rawatan fisioterapi bagi memulihkan kesihatannya.
Isterinya, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berkata, akibat kejadian itu beliau akan memberikan tumpuan untuk menjaga suaminya itu sepanjang tempoh rawatan tersebut.
"Siti dan suami telah pun selamat pulang ke tanah air sejak 29 Disember lalu setelah lebih dua minggu berada di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand.
"Syukur ke hadrat Ilahi kerana kondisi suami kembali pulih dan beliau sedang mendapatkan rawatan fisioterapi kerana kecederaan tersebut.
“Kami berharap agar dapat diberikan ruang dan masa untuk menghadapi situasi ini sehingga Datuk K pulih," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada petang Isnin.
Dalam pada itu, Siti turut memohon maaf kepada pihak media kerana tidak dapat memenuhi permintaan mereka yang mahu mendapatkan kenyataan mengenai perkembangan terbaharu suaminya itu.
Menurut Siti, Datuk K yang masih menjalani beberapa rawatan susulan pada masa ini dinasihatkan oleh pihak doktor agar berehat dan mengehadkan kehadiran tetamu yang mahu melawat.
"Siti dan keluarga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan doa semua pihak untuk Datuk K dan berharap agar kenyataan ini dapat menjelaskan keadaan beliau buat masa ini," katanya.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Saksi: 'Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis'

Saksi: 'Pemandu maut tersepit, dengar kanak-kanak menangis'
Lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing semalam.

 KOTA TINGGI - “Sebelum kejadian itu berlaku saya terdengar suara perempuan menjerit sebelum bunyi dentuman yang kuat ekoran kemalangan melibatkan dua kenderaan."

Demikian menurut saksi kemalangan maut Mohd Nazirul Azilini, 16, yang berlaku di Kilometer 24 Jalan Johor Bahru–Mersing berhampiran Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) yang mana turut mengorbankan tiga nyawa kira kira jam 12 tengah hari semalam.

Menurut Mohd Nazirul, menjadi rutin sejak mula cuti persekolahan dia menolong bapa saudaranya menjual lemang di situ, namun dia tidak sangka akan menyaksikan kejadian ngeri itu.

“Ketika itu saya sedang menghidupkan api, namun sebaik sahaja mendengar dentuman kuat saya terus bergegas melihat tempat kejadian yang kira kira 100 meter dari tempat kami berniaga.

“Saya melihat dengan jelas di mana pemandu kereta Proton Iswara itu tersepit di tempat duduk pemandu. Manakala saya turut terdengar tangisan salah seorang kanak kanak yang duduk di bahagian belakang kereta itu.

“Keadaan kereta yang remuk ekoran kemalangan itu menyebabkan saya tidak dapat lihat mangsa lain yang berada dalam kereta itu," katanya.

Dia menambah: “Keadaan pemandu dan sebahagian penumpang kereta tersebut masing masing sudah tidak bermaya akibat mengalami kecederaan yang teruk sehingga terdapat darah yang banyak mengalir di celah pintu kereta."

“Turut kelihatan pemandu kereta Mercedes Benz yang turut mengalami kecederaan. Bagaimanapun saya tidak dapat menolong mangsa kerana harus kembali ke pondok lemang.

“Namun saya melihat orang ramai yang berhenti di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang maut ialah pemandu Proton Iswara, Ating Dasa, 25, serta dua anak saudaranya, Brigeson Megong, 10, dan Laire Tifany Gasah, 7.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan berkata, kejadian Ating meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anak saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultanah Ismail.

“Kereta Proton Iswara itu dinaiki lima orang termasuk dua anak mangsa. Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) berikutan suaminya seorang anggota tentera.
“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan mereka terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

“Ekoran kejadian itu turut menyebabkan dua anak mangsa berusia antara dua dan empat tahun termasuk pemandu Mercedes Benz terbabit parah," katanya lagi.
Sumber : Sinar Harian

Reply To This Comment

Wang hantaran: Sepatutnya makin rendah mengikut status perempuan

Ustaz Mohd Yaakub berkata, jika mengikut logik, makin tinggi pendapatan seorang wanita maka makin rendah nilai wang hantaran sepatutnya diberikan kerana wanita tersebut sudah memiliki kekuatan ekonomi sendiri.

Secara logik juga, jika dia memiliki jawatan dan pendapatan tinggi, pengantin perempuan mampu membiayai sendiri segala kos majlis perkahwinan maka dia tidak memerlukan wang hantaran yang tinggi. Ini jika dinilai secara logik kerana mengikut adat orang Melayu wang hantaran itu akan digunakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan.

“Dari segi agama pula, wang hantaran adalah perkara bersangkutan adat semata-mata. Islam tidak menentang adat dan budaya selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip asas yang ada dalam ajaran Islam serta mendatangkan kebaikan kepada umat Islam. Oleh itu ada baiknya juga sekiranya dalam isu penetapan jumlah wang hantaran fokus utama adalah kemampuan bakal pengantin lelaki untuk membayarnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara kebaikan seorang wanita ialah mudah lamarannya, mudah mas kahwinnya dan mudah rahimnya (yakni mudah melahirkan anak).” (Riwayat Imam Ahmad).

Sekiranya jumlah mas kahwin yang diwajibkan oleh syarak turut dianjurkan untuk dipermudahkan, inikan pula wang hantaran yang hanya sekadar adat sahaja.

Mohd Yaakub berkata, jangan pula dek kerana nak membayar wang hantaran yang tinggi bakal pengantin lelaki terpaksa bergolok bergadai bahkan berhutang keliling pinggang. Setelah berkahwin terpaksa pula hidup dalam keadaan kewangan yang sempit yang akhirnya isteri juga akan menanggung akibatnya.

“Nilai maruah seorang wanita atau isteri tidak terletak kepada nilai wang hantaran tinggi. Nilai seseorang wanita juga tidak wajar dilihat dari segi pendidikan, jawatan mahupun kemasyhuran."

Semua manusia tidak mengira keturunan, kedudukan, jantina mahupun bangsa adalah sama sahaja di sisi ALLAH SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan seseorang. Makin tinggi nilai takwa seseorang semakin mulia seseorang itu di sisi ALLAH SWT.

“Apa guna status, kedudukan dan status sekiranya seseorang wanita itu tidak mampu menjadi hamba ALLAH yang baik mahupun isteri yang boleh membahagiakan suaminya,” kata Mohd Yaakub.
Reply To This Comment

Mahalnya wang hantaran!

Muka depan Sinar Harian edisi Selangor/Wilayah Persekutuan hari ini.
Muka depan Sinar Harian edisi Selangor/Wilayah Persekutuan hari ini.
Wang hantaran. Sekadar gambar hiasan
Wang hantaran. Sekadar gambar hiasan














































RAMAI pasangan gagal meneruskan perkahwinan hingga bercerai-berai kerana menghadapi tekanan emosi. Antaranya, akibat masalah tidak cukup wang belanja selepas hidup berpasangan atau setelah mempunyai cahaya mata.

Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, kes sedemikian banyak berlaku kepada pasangan yang membuat pinjaman peribadi dengan bank atau institusi kewangan. Bahkan ada yang berhutang dengan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long) bagi menyediakan wang hantaran dan kos kenduri.

“Ramai datang ke klinik kaunseling saya mengadu tertekan sebab terpaksa membayar hutang ketika melangsungkan majlis perkahwinan. Sedangkan perbelanjaan harian berubah bila dah hidup berdua dan beranak-pinak.

“Peringkat awal semua nampak manis. Cinta masih baru. Tak nampak kesan. Lepas berbulan atau setahun dua, pasangan itu akan rasa kesannya. Gaji tidak seberapa tapi hutang yang beribu kena bayar setiap bulan. Bayangkan kalau individu baru tamat universiti  berkahwin secara berhutang,” ujar beliau.

Hushim menambah, sedia maklum pasangan baru tamat pengajian jika makan gaji tidak akan terus menerus menerima gaji lumayan. Selepas berkahwin banyak belanja hendak guna seperti duit sewa rumah, bil air dan elektrik, peralatan serta makan minum. Perbelanjaan makin bertambah setelah pasangan mendapat anak.

“Tapi gaji suami atau isteri dipotong setiap bulan sebab nak bayar hutang. Mungkin juga tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau sesetengah tu tolak hutang belajar.

"Secara psikologi bila tak cukup duit, biasanya pasangan saling mempertikai dan mengaitkannya dengan hutang wang hantaran dan belanja kahwin dulu,” jelas Hushim.

Tambahnya, akibat pertengkaran tidak berkesudahan, emosi pasangan terganggu serta tertekan. Mereka mula memikirkan semula diri pasangan hingga ada beranggapan tidak mengenali pasangan yang sudah dinikahi. Dalam erti kata lain ungkit mengungkit.

“Bila bertengkar, macam-macam perkataan disebut. Terkeluar sifat sebenar pasangan. Bergaduh setiap masa. Ketika inilah mereka terlupa soal cinta. Dah tak kenal cinta. Cinta jadi retorik semata-mata. Daripada cinta terbalik jadi benci.

“Masalah akan lebih teruk dan tidak berkesudahan kalau ada yang masuk campur keluarga kedua-dua pihak. Tapi tidak mampu menyelesaikan konflik. Kepada pasangan yang gagal mencapai persefahaman kebiasaannya mengambil keputusan bercerai.

“Ada kes seorang pensyarah buat kenduri kahwin besar-besaran. Tapi bercerai selepas 15 hari. Bila lalui kaunseling,  puncanya sebab bertengkar dan ungkit mengungkit wang hantaran serta belanja kenduri.
“Waktu bersanding hanya ingat yang indah-indah. Tapi lepas selesai majlis, baru sedar terlalu banyak guna duit. Lalu saling menyalahkan sesama sendiri dan mula fikir tak sefahaman. Akhirnya bercerai,” akhiri  beliau.

Reply To This Comment

Bayi mangsa bapa ayam

LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa.
LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa.
KUALA LUMPUR: Tangan kanannya patah manakala seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan berbirat. Itu penderitaan seorang bayi perempuan berusia setahun dipercayai akibat didera seorang bapa ayam di Lorong Haji Taib, di sini, sejak dua minggu lalu.

Mangsa dikatakan dipukul menggunakan penyangkut baju selain dipijak lelaki berusia lewat 30-an itu kerana kegagalan ibunya berusia 34 tahun untuk melacur seperti diarahkan. Malah, ibunya turut dipercayai dipukul lelaki berkenaan.

Kejadian menimpa bayi itu disedari bekas pengasuhnya selepas melawat mangsa di rumah berkenaan, jam 9 malam kelmarin.

Pengasuh itu yang mahu dikenali sebagai Ran, 35, berkata, selepas melihat kecederaan bayi itu, dia meminta supaya mangsa diserahkan kepadanya untuk dihantar ke hospital, namun bapa ayam itu tidak membenarkan sebaliknya menghalaunya.

Menurut Ran, dia merakamkan beberapa gambar menunjukkan kecederaan mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sumber : myMetro

Reply To This Comment

KENANGAN 2012: Kematian Tinggalkan Seribu Kenangan

PETALING JAYA: Bak kata pepatah, harimau pergi meninggalkan belangnya, manusia pergi meninggalkan nama yang akan dikenang sehingga ke akhir hayat.
Kematian lapan anak seni tanah air pada 2012 meninggalkan karya yang akan menjadi tatapan kita dan generasi akan datang.
Jumlah kematian itu mungkin tidak seramai tahun lalu tetapi kehilangan mereka begitu dirasai dan meninggalkan seribu kenangan yang tidak akan luput sampai bila-bila.
Apa yang diharapkan, segala kebaikan dan jasa baik insan-insan terpilih ini akan mengiringi mereka di alam sana. Al-Fatihah.
Kita imbas kematian artis pada tahun ini.
Berita kematian Izwan kerana jangkitan kuman pada 20 Januari lalu mengejutkan seluruh industri hiburan.
Izwan Pilus
Meninggan dunia : 20 Januari 2012 (32 tahun)
Kematian penyanyi lagu Kembali Senyum ini amat mengejutkan industri hiburan. Ketika 2012 baru membuka tirainya, kita dikejutkan dengan berita kematian Izwan pada 20 Januari lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan terkena virus kencing tikus yang serius.
Sebulan sebelum pemergiannya, Allahyarham bersama adiknya, penyanyi Aril (Akademi Fantasia 7) pernah dimasukkan ke Hospital Pusrawi dekat sini akibat demam panas yang berpanjangan.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampungnya di Jalan Taman Nyalas 2, Taman Nyalas Permai, Jasin, Melaka dan dikebumikan di sana pada pagi 21 Januari lalu.
Latif Ibrahim
Meninggal: 20 Februari 2012 (60 tahun)
Penyanyi dan pelakon veteran Abdul Latif Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Latif Ibrahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung.
Penyakit jantung yang dihadapi sejak 12 tahun lalu semakin serius pada tahun lepas sehingga memaksa Allahyarham dikejarkan ke IJN sebanyak tiga kali akibat serangan yang sama.
Allahyarham yang juga abang kepada penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim cukup disayangi kerana keletah dan sikap yang lucu dan menggemari makanan.
Kematian penyanyi lagu Nora itu menimbulkan perasaan terkilan kepada keluarga kerana beliau menghembuskan nafas terakhir tiga hari sebelum sambutan hari lahir ke-60, selain tidak sempat mengerjakan umrah bersama seluruh keluarga.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat dekat sini pada 21 Februari lalu.
Latif meninggal dunia tiga hari sebelum ulang tahun kelahiran ke-60.
Ismail Haron
Meninggal: 9 April 2012 (66 tahun)
Penyanyi veteran yang mendapat jolokan Tom Jones Singapura ini meninggal dunia dalam tidur di rumah kakaknya di Jurong West, Singapura kira-kira pukul 2 petang, 9 April lalu.
Allahyarham tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama adik-beradiknya sejak pulang dari Brisbane, Australia pada tahun 2003 selepas 28 tahun berada di negara itu.
Beliau merupakan anak keempat daripada 12 beradik.
Jenazah penyanyi lagu Delailah ini dikebumikan di Pusara Abadi 2, Jalan Bahar, Jurong, Singapura pada pukul 10 pagi 10 April lalu.
Bob Kuman
Meninggal: 3 Mei 2012 (41 tahun)
Pemilik nama sebenar Husni Mohd Rawi ini disahkan meninggal dunia pada petang 3 Mei lalu akibat komplikasi jantung, darah tinggi dan paru-paru berair di kediamannya di Kota Damansara, di sini.
Pelawak ini menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Norma Ibrahim dan beberapa kenalan rapat.
Kesihatan Allahyarham dilaporkan mula terganggu selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama pada 2010.
Terdahulu, Bob pada 21 April lalu kesal apabila ada pihak menyebarkan fitnah mengatakan dia telah meninggal dunia sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat.
Sam D’lloyd
Meninggal: 9 Jun 2012 (64 tahun)
Vokalis kumpulan terkenal era tahun 70-an iaitu D’lloyd, Syamsuar Hasyim atau lebih dikenali sebagai Sam menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi, 9 Jun lalu akibat penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dihadapinya sebelum ini.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Kusir, Jakarta.
Ketika hayatnya, Allahyarham dan D’lloyd begitu ‘digilai’ bukan sahaja di Indonesia malah Malaysia, Singapura dan Brunei.
Alunan suara mendayu Allahyarham dalam lagu-lagu antaranya Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana dan Semalam di Malaysia akan terus dikenang selamanya.
Sam meninggal dunia akibat penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dihadapinya sebelum ini.
Osman Kering
Meninggal: 29 Jun 2012 (58 tahun)
Pelakon dan pelawak veteran ini meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, 29 Jun lalu akibat kegagalan fungsi otak.
Terdahulu, Allahyarham mengalami batuk berdarah di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 11 Jun lalu.
Terdahulu, terdapat khabar angin berita kematian Allahyarham tetapi pelakon itu hanya dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana berada dalam keadaan kritikal dan bergantung pada alat bantuan pernafasan di hospital berkenaan.
Allahyarham yang berasal dari Bachok, Kelantan mula menceburi bidang lakonan secara serius selepas dinobatkan naib juara pertandingan Bakat TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1979.
Pada awal pembabitannya, Allahyarham menggunakan nama Osman Kassim tetapi kurang dikenali ramai.
Nama jolokan Osman Kering yang diberikan secara spontan oleh pelawak Mek Habsah ketika mereka mengadakan persembahan pentas pada pertengahan 1980-an, terus melekat dan membawa tuah kepadanya sehingga kekal digunakan ke akhir hayatnya.
Osman meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak.
Datuk Ismail Hutson
Meninggal: 21 Julai 2012 (73 tahun)
Datuk Ismail Hutson atau nama sebenarnya Ismail Omar menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.13 pagi 21 Julai lalu akibat komplikasi penyakit jantung di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya.
Ismail dimasukkan ke Unit Rawatan Kritikal (CCU) pusat perubatan itu sejak Selasa lalu selepas 10 hari mengalami demam panas yang teruk.
Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Artis Veteran meninggalkan dua balu, Hafidzah Khasbullah dan Zaiton Osman serta tujuh orang anak.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, Seksyen 9 dekat sini pada hari yang sama.
Berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang lakonan, filem terakhirnya adalah Mr Cinderella pada 2003.
Raja Hamidah
Meninggal: 12 September 2012 (80 tahun)
Seniwati veteran ini menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Klang Gate Baru, dekat sini pada pukul 7.05 malam 12 September lalu, selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat kesan penyakit kanser dihidapinya.
Anak seni yang mesra disapa Mak Lenggang ini disemadikan di Tanah Perkuburan Klang Gate Hulu Kelang pada 13 September lalu.
Balu kepada seniman serta pengarah filem 1940-an hingga 1980-an, Allahyarham Salleh Ghani itu menceburi bidang lakonan pada 1948 melalui filem Kampung Sentosa arahan B Reaves E Elliot terbitan Sound Master Of New York Ins.
Selain berlakon, Raja Hamidah juga pernah menjadi penari dan penyanyi latar di Shaw Brothers serta pemimpin kumpulan muzik Seni Wanita.
Hasil perkahwinannya dengan Salleh Ghani pada 1955, pasangan itu dikurniakan 12 anak termasuklah pengarang di akhbar Harian Metro, Adam Salleh serta 24 cucu.
Jenazah J. Kamisah dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura pada 21 November lalu.
J. Kamisah
Meninggal: 21 November 2012 (64 tahun)
Penyanyi era 60-an ini meninggal dunia kira-kira pada pukul 1.20 pagi, 21 November lalu kerana komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung.
Menurut anak angkatnya Rahimah Rahim, 41, Allahyarham yang juga bekas anggota kugiran The Wisma, menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Bukit Panjang, Singapura.
Allahyarham yang popular menerusi lagu Jelingan Manja meninggalkan suami, Mohd Kadar Sultan dan tiga anak yang berusia di antara 36 hingga 43 tahun.
Jenazahnya dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura sebelum solat Zuhur pada hari yang sama.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Sunday 30 December 2012

KENANGAN 2012: Pencapaian Merosot Wajar Diperbaiki

PETALING JAYA: Saban tahun, dunia seni tempatan sering diwarnai dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang mampu menjadi kebanggaan.
Namun sepanjang 2012, tidak banyak pencapaian yang benar-benar memberi impak terhadap dunia seni selain daripada penyanyi Shila Amzah yang berjaya meraih pelbagai trofi tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Walaupun pencapaian agak merosot, ia haruslah dijadikan panduan agar 2013 mampu memberi sinar baru bagi memulihkan semula segala kelemahan yang telah berlaku.
Berikut adalah antara pencapaian yang harus dibanggakan.
1. Shila Amzah harumkan nama di luar negara
Kejayaan anak kepada penyanyi ND Lala ini sangat luar biasa. Penyanyi berusia 22 tahun itu telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Asian Wave Berlangsung di Shanghai, China, sekali gus menjadi juara menewaskan penyanyi-penyanyi hebat dari pelbagai negara lain yang berlangsung pada 20 September 2012 lalu.
Kemudian, lagu ciptaannya Patah Seribu turut diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) yang berlangsung pada 17 November lalu.
Shila mencipta sejarah untuk dirinya sendiri apabila kali pertama menerima pengiktirafan di negara sendiri selepas menjadi juara dalam Asian Wave 2012.
Selain itu, Shila turut disenaraikan sebagai calon di kategori Artis Wanita Terbaik Dunia (World's Best Female Artist) dan Penghibur Terbaik Dunia untuk Tahun 2012 (World's Best Entertainer Of The Year) di World Music Awards.
Anugerah berprestij yang akan diadakan di Miami, Florida, Amerika Syarikat turut mencalonkan nama-nama besar dunia seperti Adele, Taylor Swift, Madonna, Rihanna dan Kelly Clarkson.
2. M.Nasir ungguli kutipan royalti
Sejak mula diadakan pada tahun 1995, penulis lirik, komposer, dan penyanyi tersohor dalam industri muzik tempatan, Datuk M. Nasir masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) buat kali ke-13 berturut-turut.
Ini memperlihatkan sepanjang 2012, M.Nasir mendapat kutipan royalti tertinggi menerusi karya-karya ciptaannya.
Ternyata lagu-lagu penyanyi yang dipanggil 'Sifu' ini masih lagi menyengat halwa telinga pendengar.
3. Bunohan dicalonkan dalam Academy Awards
Filem arahan Dain Said yang diterajui Faizal Hussein dan Zahiril Adzim ini telah dicalonkan untuk kategori “Best Foreign Language Film” dalam Academy Awards ke 85 yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Bunohan tersenarai bersama 70 buah filem lain dari pelbagai negara seluruh dunia untuk merebut anugerah berprestij tersebut Februari 2013 nanti.
Biarpun belum pasti tentang nasibnya, tetapi pencalonan ini adalah satu kebanggaan terhadap negara.
Filem ini turut meraih kemenangan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2012 (ASK2012).
4. Yuna muncul di stesen TV Amerika Syarikat
Bukan senang untuk artis Malaysia dijemput untuk membuat persembahan di salah satu rancangan paling popular di Amerika Syarikat (AS).
Yuna, penyanyi kelahiran Perak ini telah membuat persembahan pertamanya di stesen televisyen nasional negara itu dalam rancangan Conan O’Brien dengan membawakan lagu single pertamanya Live Your Life pada 2 April lalu.
Antara selebriti yang pernah muncul dalam rancangan kendalian Conan O’Brien ini termasuklah Jeniffer Garner, Shaquille O’Neal, Marisa Miller, Lindsay Lohan dan juga Tom Hanks.
Selain itu, penyanyi itu turut membuat persembahan di rancangan popular AS CBS This Morning: Saturday menerusi lagu Lullabies.
5. Kemenangan berganda Khabir Bhatia
Drama terbitan Filmscape Sdn Bhd berjudul Di Telapak Kaki Bonda, diangkat sebagai Drama Terbaik ASK 2012 pada 9 November lalu.
Diterajui oleh pelakon hebat seperti Diana Danielle, Sherry Merlis, Munif Isa dan Izreen Azmindar, karya arahan Khabir Bhatia itu menewaskan drama lain seperti Ku Petik Dosa, Parut Ashikin, Parit Jawa, Pelarian dan Maharku Untukmu.
Kemenangan berganda turut diraih drama ini apabila Kabir turut menerima trofi Pengarah Terbaik Drama dan dua kategori lain iaitu Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi oleh Sherry Merlis dan Lakon TV Terbaik.
6. Salam Muzik buat kejutan AIM19
Penyanyi berkumpulan Salam Musik membuatkan ramai yang terkejut apabila mereka meraih kemenangan bagi Album Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19).
Terpaksa akur apabila lagu-lagu mereka lebih dikenali berbanding anggota kumpulan itu sendiri, kumpulan yang dianggotai seramai sembilan orang itu sebenarnya popular dengan lagu Alamak, Cerita Kedai Kopi dan Alamak.
Kumpulan itu terdiri daripada Tahlal Sahnan, Eyza Bahra, M.Irhas (Payung), Bulya, Firdaus Aziz (Djambul), Ferdaus Nadzir (Ferdy). Ammmar Habir dan Kamal Razali.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Gajet popular sepanjang 2012

Nokia Lumia 900Nokia Lumia 900
Nokia Lumia 900

Dinobatkan sebagai Telefon Pintar Terbaik pada Pertunjukan Elektronik Pengguna 2012 (CES 2012) di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS). Menerusi model telefon pintar Lumia 900, kemunculan telefon mudah alih terkini Nokia Inc di pasaran mampu menyaingi produk Apple iPhone dan Samsung Galaxy. 
Lumia 900, yang beroperasi menerusi sistem Windows Phone 7.5 diperkenalkan pada paparan 4.3 inci dengan disokong ciri teknologi skrin sesentuh AMOLED 800 x 480 skrin. 

Malah, penampilan telefon pintar Nokia Lumia 900 turut diperkemaskan dengan warna pelbagai termasuk putih, hitam dan Cyan.

iPhone 5


Model telefon pintar paling nipis dan ringan pernah dihasilkan ini direka bentuk semula sepenuhnya untuk menampilkan paparan Retina sepanjang empat inci.
Ia dilengkapkan dengan cip A6 Apple untuk prestasi lebih pantas dengan jangka hayat bateri di pertingkatkan. 
Peralatan itu dilengkapi iOS6, sistem operasi mudah alih tercanggih dengan 200 ciri-ciri baru seperti Shared Photo Streams dan Facebook Integration.

Samsung Galaxy SII


Samsung menjadi pembuat telefon pintar utama dunia tahunan selepas merekodkan jualan kukuh melalui barisan Galaxy dan edisi Galaxy S II telah diperkenalkan akhir April lalu.

Syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan berjaya menjual lebih 40 juta unit telefon pintar Galaxy sejak model itu diperkenalkan pada Jun 2010.

Galaxy Note II

Galaxy Note II yang dikuasakan dengan perisian Android Google, dilengkapi dengan prosesor empat teras 1.6 GHz yang berupaya melancarkan pelbagai aplikasi serentak yang lebih pantas berbanding prosesor sebelum ini. 

Berukuran 15.1 sentimeter x 8 sentimeter x 9.4 milimeter dan menampilkan skrin sesentuh 5.5 inci, yang membolehkan pengguna memisahkan skrin kepada dua bahagian bagi melancarkan dua program serentak. 

Gajet ini adalah lebih besar daripada telefon pintar siri Galaxy S yang didatangkan dengan ‘pen S’ bagi menulis nota atau melukis pada skrin. 



Mungkin menjadi gajet yang paling polarisasi untuk teknologi 2012 adalah tablet Microsoft Surface. Surface dihasilkan dalam dua versi iaitu Windows RT iaitu sistem yang menggunakan rekaan berasaskan cip sama seperti produk tablet lain di pasaran dan sistem operasi Windows 8 Pro, bertujuan menandingi komputer notebook ringan di pasaran.

Kindle Fire

Kindle Fire adalah kemasukan terbaru siri tablet yang memberikan pengalaman yang menarik dari spektrum tablet Amazon. Sejak dilancarkan, Amazon telah membawa pasaran Kindle Fire HD, melalui paparan-resolusi tinggi, tambahan audio, pelbagai saiz model dan aplikasi menarik.

Nexus 7

Tablet Nexus 7 tablet, tablet Android berkuasa yang ditawarkan oleh Google, adalah salah satu penambahan tablet dalam pasaran.

Ia diterima agak baik diterima terutama di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah. Setakat ini ramai yang menantikan kehadiran Nexus 7 kerana ia dikatakan mempunyai kelajuan yang sangat luar biasa.

Samsung Galaxy S3

Telefon pintar yang didatangkan dengan paparan skrin 4.8 inci super AMOLED ini dibekal dengan kekuatan dari mobile processor yang dikembangkan sendiri Samsung, quad-core Exynos 1,4GHz.


Bukan hanya dari sisi prosesor saja, rekaan telefon pintar terbaru Samsung ini pun patut dipuji kerana rekaannya sangat menepati kehendak pengguna.

Mempunyai ketebalan 8.6 milimeter dan berat sekitar 133 gram, Samsung Galaxy S3 hadir dengan warna warna putih dan biru. Pilihan untuk golongan bekerja kerana ia mempunyai akses yang lengkap untuk semua. 

iPad mini

Sejak diperkenalkan, rangkaian keluarga iPad muncul dalam saiz paparan 9.7 inci saja dan menyedari keperluan pengguna ketika ini yang mementingkan keselesaan dengan mudah, iPad Mini didatangkan dengan saiz lebih kompak 7.9 inci.
Menariknya, ia dijual dengan harga yang murah berbanding dengan iPad lain. Tidak mustahil jika ia terus menjadi pilihan kerana harga dan saiznya yang kompak.

 
iPad 3

Walaupun kemunculan iPad 4 sudah diumumkan, dan dilancarkan pada November lalu, iPad 3 masih mendapat permintaan tinggi sebagai paling dicari untuk alat berteknologi di seluruh dunia pada tahun 2012, menurut Google.

Ini bukanlah lagi kejutan, kerana ia adalah tablet pertama membawa paparan kualiti visual Retina untuk tablet. Tidak mustahil jika ia menjadi pilihan semua sebagai gajet paling dicari dan popular 2012.

Reply To This Comment