Thursday 23 January 2014

Beberapa Bandar Dan Daerah Alami Cuaca Sejuk

 PETALING JAYA: Banyak bandar dan daerah di Malaysia mengalami cuaca sejuk ekoran angin sejuk monsun Timur Laut.
Bandar-bandar seperti Subang Jaya, Kota Kinabalu, Sandakan, Kota Bharu, Kuantan dan Petaling Jaya mengalami suhu di bawah 25°C, menyamai Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Suhu minimum dicatatkan sejak Tahun Baru dan ia dijangka berterusan untuk beberapa minggu akan datang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) melaporkan pada hari Khamis bahawa dari 1 hingga 22 Januari, suhu yang paling rendah dicatatkan di Kuantan iaitu 21.0°C, Kota Kinabalu 22.1°C, Petaling Jaya 23.6°C, Kota Bharu 23°C, Kuching 22.0°C manakala daerah di utara seperti Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis masing-masing mencatatkan suhu 22.4°C dan 23.3°C.
"Berdasarkan maklumat kami, dalam semua bulan, Januari akan sentiasa mencatatkan suhu yang paling rendah setiap tahun."
Menurut JMM, penurunan suhu adalah disebabkan oleh angin sejuk dari monsun Timur Laut dan ini bukan kali pertama fenomena ini telah berlaku.
"Suhu turun naik dari semasa ke semasa dan semasa monsun Timur Laut, rekod minimum seperti itu adalah biasa dan telah berlaku banyak kali sepanjang musim ini."
"Suhu dingin biasanya direkodkan di Pantai Timur dan kawasan utara Semenanjung Malaysia kerana angin monsun Timur Laut yang cukup kuat.
"Angin bertiup dari Tanah Besar China, yang sedang mengalami salji sekarang.
"Selain itu, cuaca yang baik dan tidak mendung di Malaysia minggu ini telah membantu mengurangkan suhu di awal pagi dan waktu malam.
"Atmosfera tanpa awan adalah sama dengan keadaan di mana tidak ada selimut untuk membuatkan kita berasa panas. Selimut adalah awan dan badan kita adalah bumi," kata JMM.
JMM juga menafikan khabar angin bahawa salji turun di Indonesia kerana adalah mustahil untuk sebuah negara tropika mengalami fenomena itu.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Tuesday 21 January 2014

Zizan Razak Nafi Bercumbuan Dengan Emma Maembong

Zizan menafikan berkelakuan tidak senonoh dengan Emma Maembong seperti didakwa dalam sebuah ruangan gosip pada Ahad lalu. 
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menafikan dia dan aktres Emma Maembong bercumbuan dan bersikap tidak senonoh di dalam kapal terbang ketika penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Zizan atau nama sebenarnya, Razizan Razak, 30, berkata, gosip yang ditimbulkan itu tidak masuk akal kerana pemergian mereka ke negara itu turut disertai oleh pengurus dan beberapa krew penggambaran.
"Pemergian ke Amerika Syarikat bukan kami berdua sahaja tetapi pengurus dan beberapa krew turut ikut. Takkan saya hendak buat perkara macam itu di hadapan mereka semua.
"Isu yang ditimbulkan sebenarnya tiada apa-apa pun dan saya tidak terkejut pun kerana itu adalah lumrah dunia artis," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Pemergian Zizan dan Emma ke Amerika turut ditemani oleh rakan-rakan dan krew penggambaran. Foto Instagram Zizan Razak. 
Zizan mengulas laporan sebuah ruangan gosip akhbar mingguan pada Ahad lalu yang melaporkan dia dan Emma tanpa segan silu bercumbuan di atas kapal terbang tanpa menghiraukan penumpang lain yang melihat aksi mereka.
Anggota kumpulan Jozan itu ketika dihubungi mStar Online pada pagi Isnin lalu pada mulanya enggan mengulas mengenai isu tersebut kerana tidak mengetahui cerita sebenar dan baharu sahaja pulang ke Malaysia.
Dalam pada itu, Zizan berkata, dia tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak sehingga timbulnya gosip tidak berasas itu kerana ia hanya spekulasi.
Zizan ketika bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Las Vegas. 
Malah kata Zizan, dia tidak berkecil hati dengan laporan akhbar tersebut kerana menganggap pihak media hanya menjalankan tugas mereka.
"Gosip itu tidak akan timbul sekiranya tiada pihak yang cerita kepada pihak media dan wartawan hanya menjalankan tugas mereka.
"Saya juga tidak berani hendak tunding jari kepada mana-mana pihak kerana nama pun gosip dan pada saya ia kedengaran kelakar," ujarnya.
Emma Maembong. 
Sementara itu, ditanya mengenai reaksi Emma mengenai gosip berkenaan, Zizan berkata, dia belum sempat untuk bercakap dengan pelakon itu dan tidak berhak untuk memberi kenyataan bagi pihaknya.
Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, percutiannya ke Amerika amat menyeronokkan kerana dia dapat mempelajari pelbagai perkara baharu sepanjang berada di sana.
Jelas Zizan, kehidupan masyarakat di negara itu yang sentiasa pantas cukup mengagumkannya selain pemandangan indah meninggalkan pengalaman manis buatnya.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Nelydia Senrose Anggap Isu Cemburu Kekasih Hanya Salah Faham

Nelydia tidak mahu isu cemburu diperbesarkan lagi. 
SHAH ALAM: Aktres Nelydia Senrose menganggap isu cemburu kekasihnya iaitu pengacara, Qi Razali terhadap pelakon Sharnaaz Ahmad hanya salah faham dan sudah pun diselesaikan dengan cara baik.
Nelydia, 20, berkata, isu tersebut juga tidak menjejaskan hubungannya dengan pelakon itu yang kini kedua-dua mereka sedang menjalani penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
"Saya percaya itu bukan satu isu yang besar kerana semuanya sudah kami selesaikan.
"Setakat ini hubungan kami baik dan boleh menjalani penggambaran bersama dengan memberi komitmen yang tinggi terhadap drama ini," katanya kepada mStar Online.
Sharnaaz Ahmad
Nelydia ditemui pada majlis pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta bertemu peminat di Plaza Alam Sentral, di sini, Ahad.
Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan hubungannya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad selepas kontroversi kekasihnya, Qi Razali cemburu dengan gambar mesra meraka ketika penggambaran drama tersebut.
Tambah Nelydia, dia hanya berurusan dengan pelakon tersebut berkaitan dengan urusan kerja semata-mata.
Sementara itu, mengulas tentang drama tersebut, Nelydia berkata, dia memberi tumpuan sepenuhnya terhadap penggambaran 40 episod itu.
"Saya beri seratus peratus fokus terhadap drama ini dan tidak ada mengambil mana-mana tawaran lain.
"Buat masa ini saya tidak tahu bila penggambaran tamat, namun apa yang penting penonton dapat merasai apa yang ingin disampaikan dalam drama ini," katanya.
Qi Razali 
Tambah Nelydia, dia menganggap drama ini berbeza daripada drama-drama adaptasi novel lain yang hanya tertumpu kepada kisah cinta semata-mata.
Katanya, ia banyak menyelitkan unsur-unsur pengajaran yang sesuai buat remaja dan institusi kekeluargaan.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Saturday 9 November 2013

Jangan polemik isu kubur

  • Jangan polemik isu kuburKeadaan tanah perkuburan Islam Batu Badak awal pagi, semalam.
SEGAMAT – Isu mengenai jasad ditemui berada dalam keadaan elok semasa kerja-kerja penggalian dan pemindahan kubur yang terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak tidak seharusnya dipolemikkan.

Malah ia tidak seharusnya menjadi alat politik kepada masyarakat di luar sana.

Kontraktor dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor (Maij) untuk menjalankan kerja pemindahan kubur berkenaan, Jamaluddin Sapuan, berkata, mereka yang tidak tahu perkara sebenar di tanah perkuburan Islam Batu Badak, di sini, tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan.

“Saya tahu isu kubur ini sudah tersebar luas di luar sana terutamanya di Facebook. Apa yang mendukacitakan, apabila mereka bercakap seolah-olah mereka ini lebih arif tentang pekerjaan ini.

“Tanpa disedari, komen-komen mereka ini telah menggores hati waris-waris jenazah yang dikebumikan di sini. Saya sudah 22 tahun terlibat dalam kerja sebegini tambahan pula pekerjaan saya sebagai Penyelia Tanah Perkuburan Islam Daerah Kota Tinggi membuatkan saya dekat dan arif tentang situasi yang berlaku di sini dan disebabkan itu Maij telah memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan kerja ini,” katanya, di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, isu itu harus dihentikan serta-merta kerana dibimbangi akan menjejaskan kerja-kerja pemindahan memandangkan terdapat 350 buah kubur yang harus dipindahkan melibatkan tiga buah kawasan perkuburan Islam.

Katanya, beliau telah mendapat kebenaran daripada Mufti Johor untuk memindahkan kubur tersebut, namun mengakui memang terdapat beberapa jasad yang mana kain kapannya masih dalam keadaan elok di tanah perkuburan berkenaan.

“Sejak hari pertama penggalian sehingga kelmarin, terdapat 12 jasad yang dikeluarkan dan keadaan kain kapannya masih berada di dalam keadaan baik cuma sedikit kotor dan lusuh.
Selepas dikeluarkan, kami terus menyarungkan dengan kain kapan yang baharu sebelum dimasukkan ke dalam keranda untuk ditanam di tanah perkuburan yang baharu di Kampung Alai.

“Lagipun jasad yang kain kapannya masih elok ini baru berusia di antara tujuh dan 11 tahun dan boleh dikategorikan sebagai baharu lagi. Apa yang dikatakan jasad yang sempurna apabila jasadnya tetap sama tidak berubah seperti hari pertama dikebumikan. Tetapi di sini, cuma keadaan kain kapannya sahaja yang elok dan sedikit bahagian anggota badan yang tidak terusik,” katanya.

Jamaluddin juga tidak menafikan bahawa pernah berhadapan dengan keadaan jasad yang langsung tidak terusik meskipun sudah 30 tahun dikebumikan.

“Bagi saya keadaan seperti ini yang boleh diangkat menjadi iktibar dan pedoman kepada mereka yang hidup,” katanya.

Misteri bau harum?

Pada hari pertama kerja-kerja memindahkan kubur dilakukan, terdapat bau harum dan wangi di sekitar kawasan kubur berkenaan yang dirasai semua pihak.

Jamaluddin berkata, perkara itu biasa bagi dirinya dan menganggap bau berkenaan sebagai salah satu tanda kebesaran ALLAH SWT untuk ditunjukkan kepada umat akhir zaman.

“Kalau betul wangian tersebut datang daripada kawasan kubur ini, kita amat beruntung kerana dapat menghidu wangian syurga.

Tetapi ketika itu terlalu ramai pengunjung dan waris yang hadir. Saya bimbang wangian tersebut datang daripada minyak wangi mereka.

“Walau apa pun, saya harap semua dapat ambil iktibar dan pedoman daripada isu ini kerana bukan semua di antara kita yang beruntung berhadapan dengan situasi seperti ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang waris kepada dua jasad yang tidak terusik, Rahmah Mohd Zain, 77, berkata, ia merupakan kali pertama dirinya berhadapan dengan situasi seperti ini dan bersyukur dapat melihat kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT di depan mata.

“Dahulu saya tinggal berhampiran kubur ini selama 32 tahun. Di sini, terdapat empat buah kubur waris saya iaitu kubur atuk, emak, kakak ipar dan adik lelaki saya. Tetapi kubur kakak ipar (Senyum Salleh) dan adik lelaki saya (Harun Mohd Zain) sahaja yang masih elok kain kapannya.

“Adik saya meninggal dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya di Chaah ketika berumur 68 tahun. Saya sempat menyentuh kain kapannya dan terasa ada lagi dagingnya,” katanya.

Rahmah yang merupakan guru agama turut menafikan bahawa gambar dua jasad yang tersiar di media sosial didakwa sebagai suami isteri adalah tidak benar, sebaliknya tiada sebarang perhubungan.

“Salah satu jasad yang masih elok itu ialah Ahmad Raof dan seorang lagi dikenali sebagai Mehran. Sewaktu hayatnya, Ahmad Raof ini memang merupakan seorang yang alim dan sering ke surau lama yang terletak bersebelahan kubur ini.

“Arwah Mehran pula merupakan seorang yang tidak pernah meninggalkan solat dan sering mengajar mengaji tanpa mengharapkan sebarang upah. Mungkin itu adalah sebab mengapa jasadnya tetap terpelihara,” katanya.

Rahmah juga berharap supaya gambar jenazah ini tidak disebarkan sesuka hati tanpa kebenaran keluarga waris sebagai menghormati permintaan mereka.

Pada masa sama, kawasan perkuburan Islam Batu Badak didatangi oleh ramai pengunjung yang mahu menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan.

Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Tuesday 29 October 2013

'Fizo cinta pertama saya'

  • Fizo Omar
"FIZO adalah cinta pertama saya dan sebelum ini saya tidak pernah bercinta kerana begitu dijaga oleh keluarga," akui bakal isteri Fizo Omar, Mawar Abdul Karim,24, kepada media.

Sebelum itu, pelakon kacak, Fizo Omar atau sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, melamar bakal isterinya dalam suasana penuh romantis di Cathay Cinneplex, e@Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Mengakui agak terkejut dengan majlis itu Mawar berkata, Fizo mengajaknya menonton wayang sebelum menghadiri sidang media yang dikatakan akan diadakan pada sebelah petang.

Bagaimanapun, dia dapat merasakan sesuatu akan berlaku apabila muncul babak lakonan Fizo bersama pelakon cilik, Mia Sara di layar dan turut melibatkan ibunya juga.

"Fizo kata petang nanti (semalam) ada sidang media untuk umumkan tarikh perkahwinan kami dan dia ajak saya menonton wayang terlebih dahulu.

"Memang pelik dan terdetik juga, 'biar betul dia ni', tapi saya ikutkan sahaja. Malah selepas masuk dalam pawagam dan dia minta izin untuk ke tandas, saya masih tidak rasa apa-apa sehinggalah muncul video tersebut baharu saya rasa sesuatu," katanya.

Berkongsi kejutan yang dibuat untuk Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia jugalah yang mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu.

Katanya, ia adalah sebagai satu tanda ingatan mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Saya pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar.

"Malah,  ia juga berkisar mengenai perjalanan hidup kami dan lega rasanya apabila rancangan ini menjadi kerana bimbang juga jika ‘terkantoi’,” katanya.
Fizo berkata, dia yakin Mawar akan berkata 'ya' dan perkara itu turut diakui oleh Mawar sendiri :

"Sudah tentu saya kata ‘ya’ kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya,” jelasnya.


Kahwin dua minggu lagi

Dalam pada itu, Fizo juga turut mengumumkan akan mengikat tali pertunangan pada 9 November depan diikuti dengan majlis pernikahan mereka pada keesokan harinya, iaitu pada 10 November depan.

Kedua-dua majlis itu akan diadakan di kediaman Mawar di Country Heights, Kajang dan disiarkan secara langsung di TV9 menerusi ‘Nasi Lemak Kopi O’.

"Kedua-dua majlis akan disiarkan secara langsung menerusi rancangan Nasi lemak Kopi O di TV9. Malah pada majlis pertunangan itu nanti akan ada sedikit kejutan manakala majlis pernikahan akan berjalan seperti biasa," katanya.

Fizo berkata, mereka mengambil keputusan bertunang terlebih dahulu atas permintaan keluarga yang ingin mengikut adat Melayu.

Tambahnya, selepas majlis pertunangan pada sebelah pagi, akan diadakan majlis khatam Al-Quran dan berinai pada sebelah malam yang akan dihadiri sanak saudara Mawar sahaja.

“Saya dan Mawar sebenarnya tidak mahu bertunang dan terus bernikah tetapi atas menghormati permintaan keluarga kami bersetuju tambahan pula ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga bakal isteri saya,” katanya.


Bisnes 'burgedung'

Sementara itu, Fizo berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang berjalan walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai komitmen.

“Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan tetap berjalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fizo berkata, beberapa perancangan perniagaan sudah dibuat selepas mereka berkahwin nanti.

"Selepas berkahwin, kami akan terlibat dengan perniagaan 'burgedung' (ketawa), campuran perniagaan burger dan tudung.

"Seperti sedia maklum saya kini menguruskan perniagaan burger yang sudah mempunyai 50 cawangan di Kuala Lumpur dan Kelantan. Saya merancang meluaskan perniagaan ini ke Johor selepas berkahwin.

"Jadi saya sarankan pada Mawar  buka ibu pejabat di Johor dan Kelantan selepas ini kerana hanya di dua negeri itu sahaja tiada ibu pejabat Fareeda. Jadi bila saya ke Johor melihat perniagaan saya, Mawar juga boleh jenguk syarikat dia.

"Sebab itulah saya pilih Mawar kerana kami sama-sama minat dalam  perniagaan. Bagaimanapun selepas berkahwin, saya tetap akan aktif dengan dunia seni kerana itu minat utama saya," katanya.

Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment