Zain Saidin - Rozita
Zain Saidin - Rozita
SETELAH meluahkan rasa cintanya kepada Rozita Che Wan menerusi akaun sosial Twitter baru-baru ini, Zain Saidin akhirnya mengakui berhasrat menyunting aktres itu sebagai suri hidupnya.

Zain berkata, jika ada rezeki dan jodoh, dia dan Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini. "Saya sudah berbincang dengan Che Ta berkaitan perkara ini dan dia menyerahkan segalanya kepada saya.

"Jadi saya perlu membuat persiapan dengan menyimpan wang yang cukup untuk majlis perbelanjaan perkahwinan kerana saya adalah lelaki.

"Bagaimanapun, semuanya terletak kepada rezeki, jika ada rezeki, kami akan berkahwin mengikut perancangan," katanya kepada Sinar Harian Online, kelmarin.

Jejaka kacukan Melayu-Inggeris ini berkata, dia berharap pengakuannya ini akan menutup segala cerita negatif berkaitan Che Ta, termasuk mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

"Saya dan Che Ta memang serius. Jadi saya harap, tidak ada lagi cerita mengarut mengaitkan dia dengan lelaki itu dan ini, kerana dia dan saya memang serius sekarang," katanya.

Bukan cerita murahan

Zain yang terkenal dengan watak Cikgu Henry Middleton dalam program Oh My English menafikan segala pengakuan yang dibuatnya ini adalah untuk mencari publisiti murahan.

Malah, dia turut menegaskan segala yang dimaklumkan ini adalah perkara serius.

"Buat apa saya nak main-main. Kalau saya sudah maklumkan kepada wartawan, maknanya itulah yang saya mahu dan saya serius dengan perkara yang saya cakapkan.

"Untuk apa saya mahu mainkan perasaan peminat atau sesiapa sahaja. Lagipun jika saya senyap, orang akan berkata juga. Jadi baik saya berterus terang. Sama ada orang lain boleh terima atau tidak, itu terpulang," katanya.

Menyentuh mengenai perhubungannya dengan dua anak bujang Che Ta, Zain berkata, sejak awal lagi, dia dan anak-anak Che Ta tidak mempunyai sebarang masalah.

"Saya dan anak keduanya berkongsi minat yang sama dalam permainan bola sepak. Malah, dari awal lagi, tidak sukar mendekati kedua-dua anaknya kerana mereka peramah seperti ibu mereka," jelas jejaka berusia 29 tahun ini.

Tidak bimbang populariti jatuh

Ditanya tidak bimbangkah andai popularitinya akan jatuh selepas berkahwin, Zain berpendapat, tiada guna jika dia dilimpahi populariti namun tidak mempunyai kehidupan yang sempurna.

"Inilah kehidupan dan perkahwinan itu salah satu matlamat hidup. Jadi, kalau saya terpaksa hilang populariti untuk kahwin, tak apalah. Bagi saya perkahwinan ini jauh lebih penting daripada populariti,” jelasnya.

Zain berkata, biarpun populariti itu penting buat seorang selebriti, namun dia percaya, rezeki itu datangnya dari ALLAH SWT.

“Populariti penting untuk kerjaya saya sebagai seorang pelakon tetapi saya tak boleh mengaturkan kehidupan saya mengikut populariti.

“Saya percaya kalau berkahwin, Insya-ALLAH , ALLAH SWT akan buka lebih banyak pintu rezeki. Kalau bukan dari segi lakonan, mungkin dari segi lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Sementara itu, Rozita yang dihubungi melalui sistem pesanan ringkas (SMS), enggan beri sebarang komen berkaitan hal itu.
Sumber : Sinar Harian