PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin mendedahkan dia mendapat ilham untuk menamakan anak perempuannya Amarra Sofea Rose bersempena mengambil pangkal nama ibunya dan ibu mertuanya.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 37, berkata, nama Rose pada bayi perempuan yang dilahirkan isterinya pelakon Eira Syazira pada 11 Januari lalu itu diinspirasikan daripada nama ibunya, Roshidah dan ibu Eira iaitu Rohani.
“Nama Sofea Rose sudah lama saya pilih. Hanya perkataan Amarra yang kami tambah baru-baru ini.
“Sejak Eira mengandung, hubungan saya dengan kedua-dua ibu bertambah rapat. Secara kebetulan, pangkal nama ibu saya dan ibu mertua bermula dengan perkataan ‘Ro’.
“Saya pilih nama Rose sebagai tanda penghargaan buat mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Isnin.
Eira selamat melahirkan bayi seberat 4.2 kilogram itu menerusi pembedahan “Caesarean” pada kira-kira pukul 8.50 pagi di hospital Columbia Asia, Puchong, 11 Januari lalu.
Aktor filem Apa Celop Toqq.. itu berkata, dia masih berasa pelik untuk menyesuaikan diri dengan pengalaman baharu sebagai bapa.
“Saya masih pelik dan terpinga-pinga sebab tidak pernah alami pengalaman ini. Susah hendak terangkan tetapi siapa yang sudah bergelar bapa akan tahu perasaan saya sekarang.
“Bayangkan, kegembiraan yang luar biasa ini menyebabkan saya menitiskan air mata tanpa disedari setiap kali melihat wajah anak.
“Eira pun saya lihat terlalu susah hendak berenggang dengan anak kami,” katanya yang masih belum bersedia berkongsi gambar puteri sulung mereka untuk tatapan umum.
Azad berkata, bayi berkulit cerah yang mempunyai fizikal yang tinggi itu berada dalam keadaan sihat dan tidak banyak ragam.
“Walaupun isteri dan anak baru dibenarkan keluar dari hospital pada hari ini (Isnin) kerana keadaan Eira lemah akibat pembedahan, saya bersyukur kedua-duanya sihat dan selamat.
“Anak saya sudah pandai membuka matanya dan dia tidak banyak kerenah atau kuat menangis,” katanya.
Terbaharu, Azad sedang terlibat dalam penggambaran filem Sejoli arahan Osman Ali di samping Maya Karin, Bront Palarae, Remy Ishak, Izara Aishah dan Dira Abu Zahar.
“Kebetulan sekarang saya memang tiada babak untuk Sejoli dan akan sambung penggambaran pada esok (Rabu).
“Saya akan bekerja seperti biasa kerana Eira berpantang di rumah ibunya,” katanya yang turut mengacarakan program Mimpi Ke Bintang untuk TV2.
Azad dan Eira bernikah pada 16 September 2011 di kediaman keluarga aktres itu di Putrajaya.
Sumber : mStar Online
No comments:
Post a Comment