Ayam miliki 10 jari kaki
Ayam miliki 10 jari kaki
KUALA PILAH – Pelik dan unik. Itulah yang dapat digambarkan kepada seekor ayam berusia sebulan yang mempunyai 10 jari kaki.

Pemilik ayam tersebut, Maimon Mohd Zain, 45, berkata, pada awalnya, dia tidak sedar terdapat keganjilan pada kaki ayam betina itu.

“Namun, akibat sering membelai ayam berkenaan, barulah saya perasan ia memiliki lebih dari empat jari pada kedua-dua kakinya.

“Lebihan jari kakinya berada di bahagian belakang dan jika diamati memang tidak perasan sangat. Ayam betina ini memang sangat jinak, ke mana saya pergi, memang akan ikut dan seolah-olah memahami saya tuannya,” katanya ditemui di rumahnya dekat  Kampung Kabong, Inas, di sini.

Maimon berkata, anak ayam itu dibeli daripada peniaga di Senaling dengan harga RM2.70 seekor.

“Kini saya sudah ada 50 ekor ayam dan lebih 10 ekor ternakan itik. Saya memang minat kepada bidang ternakan,” katanya.

Maimon berkata, dia juga memiliki seekor itik nila yang unik kerana menetas 18 biji telur secara serentak.

“Jarang hendak jumpa, seekor itik menetas dalam jumlah telur yang banyak. Saya memang terkejut apabila lihat 18 biji telur pada masa yang sama.

“Mungkin ini rezeki saya, syukur kepada ALLAH kerana menambah pendapatan saya dan setiap kejadian ada hikmah-Nya,” katanya.
Sumber : Sinar Harian