PENYANYI yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku ini nampaknya tidak dapat membebaskan dirinya daripada dilanda kontroversi bersiri.
Selepas isu dirinya digelarkan sebagai anak derhaka oleh bapanya sendiri, Abdul Latif Ismail seperti yang tersiar dalam sebuah akhbar baru-baru ini, timbul pula pelbagai tanggapan negatif kepada penyanyi kelahiran YouTube ini.
Terkini, Najwa Latif, 17, terpalit lagi dengan isu bahawa dia sudah pandai meletakkan harga tertentu untuk membuat persembahan di mana-mana majlis.
Selain itu, dia juga dikatakan tidak lagi mahu membuat persembahan yang mempunyai bajet kecil di samping meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum menerima tawaran yang memerlukan dia membuat persembahan. Turut menjadi isu apabila Najwa juga dikatakan kini sudah mempunyai teman lelaki.
Ketika ditemui selepas membuat persembahan pada Festival Pengantin Malaysia di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Najwa menjelaskan mengenai beberapa kontroversi terbaharu mengenai dirinya itu.
Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Najwa sekarang sudah letak harga untuk setiap persembahan anda?
NAJWA: Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah buat begitu.
Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku?
Saya pun tidak tahu macam mana orang boleh cakap begitu, sebab memang saya tidak pernah buat macam itu.
Berapakah nilai Najwa untuk membuat persembahan sebenarnya?
Saya tidak pernah letak sebarang harga setakat ini. Saya bukan jenis macam itu, sesiapa yang hendak jemput saya menyanyi, saya ikut bajet mereka. Kami sedia berunding, bajet RM500 pun saya ambil.
Adakah selama ini, Najwa tidak pernah meletakkan sebarang harga seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi lain?
Ya, sesiapa yang mahu jemput saya, mereka boleh bincang, saya tiada masalah. Saya akan membuat persembahan ikut bajet mereka, jadi tidak timbul isu saya letak harga.
Mengenai kontroversi lain pula, adakah benar dakwaan bapa Najwa dalam sebuah program hiburan baru-baru ini bahawa anda menipu tidak mahu ke sekolah sebaliknya pergi tengok wayang sehingga awal pagi?
Tahun 2013 saya mahu buka buku baharu hendak lupakan perkara lepas, ini hal keluarga, saya tidak mahu cerita apa-apa.
Namun disebabkan Najwa seorang penyanyi yang sudah mencipta nama, ia telah menjejaskan nama baik anda, bolehkah jelaskan sedikit?
Apa yang boleh saya cakapkan, dakwaan itu tidak benar.
Selepas kontroversi tersebut, apakah penerimaan Najwa apabila ada peminat yang melabelkan anda seorang yang jahat?
Pada saya jahat adalah subjektif, biarlah apa orang nak cakap, cukup apabila ibu dan ayah saya tahu apa yang berlaku.
Bagaimana pula dengan gosip yang mendakwa Najwa kini sudah mempunyai teman lelaki sekarang?
Saya ramai kawan lelaki tetapi tiada yang istimewa. Saya lebih suka berkawan dengan semua orang, lagi pun ibu saya tidak galakkan lagi sebab umur saya masih muda lagi.
Adakah tahun 2013 akan ada album atau single baharu Najwa?
Saya sedang mengumpul bahan untuk album baharu. Lagu-lagu saya nanti akan berbentuk lebih matang berbanding lagu sebelum ini tetapi imej Najwa Latif masih ada.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment