|
PENYERANG muda negara, Ahmad Fakri Saarani menafikan khabar angin bahawa dia bakal mengikuti jejak langkah rakan sepasukannya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor pulang semula ke Malaysia dalam tempoh terdekat.
Fakri, 23, yang menyertai kelab Divisyen Tiga Portugal, Atletico S.C. selama enam bulan sejak bulan lalu memberitahu, spekulasi yang ketika ini tersebar meluas di laman sosial ternyata tidak berasas.
Ia rentetan daripada tindakan Nazmi Faiz , 19, yang juga 'rakan seperguruannya' di Portugal yang sah meninggalkan S.C. Beira Mar setelah menandatangani kontrak bersama Selangor PKNS kelmarin.
Disebabkan itu, nama Fakri juga disebut-sebut bakal kembali ke tanah air apabila dia dikatakan menyertai skuad Terengganu ketika pendaftaran pemain Liga Malaysia dibuka semula pada April depan.
"Ingin saya tegaskan di sini, khabar angin yang mengatakan saya bakal kembali beraksi di Malaysia tidak benar sama sekali.
"Saya teruja menimba ilmu di Portugal dan akan kekal di sini," katanya menerusi Twitter peribadinya semalam.
Untuk rekod, Fakri sebelum ini pernah ditawarkan kontrak yang sama oleh Atletico S.C. melalui ejennya, Marco Guimares pada Ogos lalu tetapi terpaksa ditolak kerana terlibat dengan komitmen Piala Malaysia dan kempen Piala Suzuki AFF.
Difahamkan, Fakri juga pernah mendapat tawaran daripada sebuah kelab Divisyen Satu di Portugal, namun dia lebih cenderung menyertai Atletico S.C. kerana dikatakan memiliki peluang lebih cerah untuk diturunkan pengendali kelab itu, Paolo Simao.
Pengurus peribadi Fakri, Faisal Zakariah dilapor berkata, pemain kelahiran Kelantan itu hanya akan kembali ke tanah air ketika saingan liga domestik Portugal berakhir Mei depan.
"Fakri boleh pulang ke Malaysia sementara menunggu musim baharu bermula dan apabila bermulanya musim baharu nanti, Fakri akan kembali ke sana," kata Faisal.
Mengulas lanjut, Fakri memberitahu, ketika ini dia sedang giat menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Atletico S.C. dan berazam memburu tempat dalam kesebelasan utama.
"Alhamdulillah, saya berjaya membuat hantaran buat rakan-rakan sepasukan, cuma belum ada rezeki buat saya untuk menjaringkan gol," kata Fakri.
Kelmarin, Nazmi Faiz mengejutkan ramai pihak apabila menyertai Selangor PKNS biarpun kontraknya bersama Beira Mar sepatutnya berakhir tiga tahun lagi.
Begitupun, ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar kelmarin, Nazmi Faiz tetap bersikap 'kunci mulut' dan enggan mengulas lanjut punca utama dia meninggalkan kelab Portugal yang disertainya pada Mei 2011 itu.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment