Wednesday, 13 February 2013

Tiga pemain kekang Ronaldo

pix_topright 
Manchester: Michael Carrick percaya Manchester United mungkin memerlukan tiga pemain untuk mengawal pergerakan Cristiano Ronaldo.
Carrick berkata, penyerang Real Madrid berusia 28 tahun itu pasti memainkan peranan besar pada pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi di Bernabeu.

Carrick mendedahkan Red Devils kini bekerja keras untuk mengekang bekas rakan sekelab itu yang juga antara pemain terbaik di dunia.
“Setiap pemain masih mengingati Ronaldo. Apa yang dilakukannya bersama Real sangat hebat dan dia perlu dikekang.

“Saya rasa kami memerlukan dua atau tiga pemain. Dia terlalu bagus ketika beraksi untuk Real.” Carrick menganggap bekas rakan sepasukannya itu tidak bernasib baik kerana beraksi di era sama dengan bintang Barcelona, Lionel Messi yang menyaksikan aksinya agak tenggelam.

“Dia begitu hebat kerana dapat menjaringkan banyak gol dengan cepat.
“Kerana Messi, Ronaldo gagal mendapat pujian selayaknya kerana Messi sudah mendominasi segala-galanya.

“Tetapi ia tidak dapat menafikan sumbangan besarnya di Real. Ronaldo adalah seorang pemain yang istimewa,” kata pemain tengah England berusia 31 tahun itu.
Bagaimanapun, jika Carrick agak bimbang dengan kelincahan Ronaldo pada perlawanan pertama pusingan kedua itu, rakan sepasukan, Rio Ferdinand yakin bintang Portugal itu tidak mungkin berjaya mempengaruhi corak permainan.

Ferdinand berkata, memori beraksi di United pasti masih diingati Ronaldo.

“Ia pasti perlawanan yang agak beremosi untuk Ronaldo serta memori yang hebat untuknya.

“Dia mempunyai penyokong setia dan pastinya Ronaldo serta penyokongnya saling menghormati satu sama lain,” katanya. - Agensi
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment