Wednesday, 20 February 2013

Lin Dan buat hal!

Kuala Lumpur: Lin Dan terus mencabul peraturan ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila tidak menyertai Siri Super Perdana Seluruh England pada 5-10 Mac sekali gus menyaksikan perebutan kejuaraan kali ini terarah kepada pemain nombor satu dan dua dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long (China).
Mengikut peraturan BWF, semua pemain berada dalam ranking 10 teratas dunia wajib menyertai semua lima kejohanan berstatus Siri Super Perdana.

“Tapi, Persatuan Badminton China (CBA) langsung tidak menyenaraikan nama Lin Dan untuk kejohanan ini,” kata Pengurus Pemasaran Siri Super BWF, S Selvam.
Beliau mengesahkan, juara bertahan itu akan didenda AS$5,000 (RM15,512) kerana gagal menyertai kejohanan diwajibkan ke atas setiap pemain kelompok 10 terbaik dunia itu.

“Untuk Seluruh England, kami mengambil kira ranking dunia terakhir pemain pada November 2012 dan dia ketika itu berada di ranking kelapan dunia.

“Jika penganjur (England) membuat aduan dan mahu Lin Dan hadir, kami (BWF) akan menghantar surat kepada CBA, meminta pemain itu menghadirkan diri dan meminta surat tunjuk sebab mengapa dia tidak mengambil bahagian,” kata Selvam.
Foto
Lin Dan
Berdasarkan ranking semasa, Lin Dan kini berada di kedudukan ke-14 dunia.

Chong Wei pula enggan memandang isu lain selain fokus kepada permainannya pada kejohanan itu.
“Tidak kira siapa juga lawan kerana tanpa Lin Dan, status sebagai nombor satu dunia sentiasa menjadi buruan pemain lain yang mahu menewaskan saya,” kata Chong Wei, juara 2010 dan 2011 serta naib juara tahun lalu.

Pemain utama negara itu membuka saingan menentang pemain Hong Kong, Wong Wing Ki pada pusingan pertama dan diramal mudah ke final, dengan pemain seperti Wang Zhengming (China), Nguyen Tien Minh (Vietnam), Du Pengyu (China), Hu Yun (Hong Kong) serta Sho Sasaki (Jepun) dan Taufik Hidayat (Indonesia) berada dalam laluannya memburu kejuaraan ketiga di England.

Chen Long yang layak ke suku akhir tahun lalu pula meniti laluan lebih getir berbanding Chong Wei.

Selepas berdepan pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada pusingan pertama, Kenichi Tago (Jepun) dijangka menjadi lawan di suku akhir dengan kemungkinan pemain yang kembali meningkat prestasi, Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) ataupun Chen Jin (China) menjadi lawan separuh akhir.
Sumber : Harian Metro

2 comments:

  1. Lin Dan ni memang mcm2...ntah apa lagi plan dia ngan geng2 dia...slalu mcm ni. Mentang2 hebat...over la plak kdg2.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tula psal..konon2 power sgt smpai memilih nk msuk tnding ke x..

      Delete