Friday 22 February 2013

Shila Amzah Cipta Masih Aku Cinta Cuma 30 Minit!

Shila Amzah Cipta Masih Aku Cinta Cuma 30 Minit!
 
KUALA LUMPUR, 22 FEBRUARI 2013: Dikurniakan bakat besar dalam bidang muzik, Shila Amzah bukan sekadar jaguh dalam bidang seni suara dan nyanyian. Juara untuk pertandingan Asian Wave 2012 ini juga turut memiliki kebolehan menulis lirik dan mencipta lagu.

Dalam pada kisah percintaannya yang masih lagi menjadi bualan di pojok-pojok gosip media massa terutamanya, Shila atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah, 22 tampil dengan sebuah lagu baru yang diciptanya baru-baru ini.

Anak sulung kepada penyanyi ND Lala ini berkongsi idea asal bagaimana terciptanya lagu Masih Aku Cinta yang dikatakan merujuk kepada kisah cintanya bersama Sharnaaz Ahmad. Menurut Shila, mencipta lagu juga salah satu daripada medium untuknya berkongsi perasaanterhadap apa yang dialaminya ketika ini.

"Apa yang boleh saya cakap mengenai single tersebut dihasilkan secara kebetulan. Dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam masa yang singkat serta isu-isu berbangkit, saya cuba untuk berkongsi perasaan saya dengan peminat melalui lagu yang saya cipta.

"Pada ketika itu saya sudah lama tidak bermain gitar, namun hati terpanggil untuk menulis lirik serta menggubah melodi yang sesuai untuk lirik yang baru ditulis itu.

"Bagi mereka yang mengikuti perkembangan muzik saya, mereka tahu saya sering menggunakan Sound Cloud untuk berkongsi lagu-lagu yang saya cipta. Dalam masa 30 minit saya dapat menghasilkan keseluruhan lagu ini dan memuatkan ia di akaun Sound Cloud saya.

"Saya tak sangka pula ia mendapat sambutan baik daripada peminat dan berita tentang lagu ini telah sampai ke pihak radio yang turut meminta saya merakamkan lagu tersebut,"ujar Shila ketika dihubungi pihak portal Murai baru-baru ini.

Mungkin ramai sudah tahu mengenai perkembangan Shila kini yang sering berulang-alik daripada Kuala Lumpur ke Shanghai memenuhi komitmen sebagai artis untuk Shanghai Media Group. Namun di atas permintaan ramai, Shila bakal memasuki studio rakaman untuk album terbarunya tidak lama lagi.

"Material untuk album terbaru Shila pada asalnya sudah cukup. Tetapi disebabkan penerimaan yang begitu positif terhadap Masih Aku Cinta dan sebuah lagi single iaitu Cinta Hati, berkemungkinan kedu-duanya akan dimuatkan ke dalam album terbaru saya.

"Jika tiada halangan, saya akan mula memasuki studio bermula 4 Mac depan. Album ini bakal mengandungi6 lagu baru. Saya terpaksa menggugurkan dahulu 2 lagu asal untuk album ini untuk memberi laluan kepada dua single yang saya sebutkan tadi,"tambahnya lagi kepada murai.com.my.

Dilanda dengan pelbagai ujian serta kontroversi yang melibatkan nama Shila Amzah, gadis itu tetap kuat meneruskan impiannya kedua ibu bapanya yang tidak putus-putus menyokong karier anak gadis mereka itu.

Shila kini mahu memberikan fokus dan keutamaan kepada karier yang sedang mendapat perhatian dan sambutan baik oleh masyarakat di luar sana.

Sumber : murai.com

No comments:

Post a Comment