Friday, 8 February 2013

Mahu perbaiki diri

pix_topright 
Hijrah buat Diana Amir sudahpun dilakukannya sejak enam bulan lalu namun pada tahap ini dia akui perlu mempertahankan penghijrahan itu.
Pelakon Tujuh Petala Cinta ini berkata, dia perlu melalui pelbagai proses pembelajaran untuk lebih mendalami Islam dan sentiasa muhasabah diri.
Penghijrahan sebenarnya memerlukan kekuatan dan kesabaran. Malah kadang-­kadang terpaksa menempuh dugaan cukup hebat daripada Allah SWT.

“Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Saya sebagai manusia biasa sentiasa berhati-hati kerana saya takut melakukan kesalahan. Dulu kalau saya buat salah, saya buat tak tahu saja tetapi sekarang, saya akan cepat-cepat mohon keampunan Allah.
Foto
Diana bersama Ustaz Halim ajak peminat ke Tanah Suci.

“Cabaran buat saya bukan sekadar bertukar penampilan namun segala tindakan, perbuatan dan amalan kita setiap hari perlulah mencerminkan perubahan. Segala ilmu yang saya pelajari perlu diamalkan. Dugaan untuk menuju ke arah kebaikan itu amat besar dan saya perlu memandang ke depan tanpa terlalu memikirkan kisah silam. Biarlah ia berlalu menjadi sebuah kenangan dan pengajaran,” katanya.

Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim berkata, dia tidak mahu ambil kira apa orang cakap mengenainya, sebaliknya lebih memikirkan penerimaan Allah terhadap dirinya.

“Orang boleh berkata apa saja. Kalau kita terlalu memikirkannya pasti hidup ini akan jadi huru-hara kerana hakim sebenar yang akan menilai buruk baiknya diri kita adalah Pencipta kita.

“Ramai rakan artis turut berhijrah yang membuatkan saya tambah gembira kerana kami bersama-sama dapat berganding bahu mencari keredaan mengikut ajaran Islam,” katanya.

Akan muncul pada karnival Jom Kahwin di Wangsa Walk pada 15 Jun ini, Diana menemui sinar baru dalam hidupnya selepas mengerjakan umrah pada Jun tahun lalu dan pada April ini, Diana menerusi agensi pelancongan yang ditubuhkannya bersama rakan kongsi, Khairunizam Zaini (Nizam), Kembara Addin, ingin mengajak peminat ke Tanah Suci.

Pakej umrah mereka selama 15 hari 13 malam itu turut berkunjung ke Mesir. Agensinya bekerjasama dengan Ustaz Halim Hafidz ia­itu Pengarah Mantop Travel And Tours Sdn Bhd.

“Tanyalah pada sesiapa pun, selepas kali pertama mengerjakan umrah mesti terasa nak pergi lagi. Kali ini saya bekerjasama dengan Ustaz Halim yang sudah beberapa kali mengerjakan haji dan umrah untuk memberi pengisian yang lebih mantap kepada jemaah umrah yang akan bersama-sama dengan saya nanti.

“Pergi ke sana bukan sekadar untuk mengerjakan yang fardu saja tetapi sebaik-baiknya hendaklah diiringi dengan perkara sunat. Apa yang saya rasa tak lengkap ketika pemergian kali pertama, saya berazam akan memperbaikinya. Bukan senang untuk mendapat undangan daripada Allah pergi ke ‘rumahnya’ jadi apabila ada peluang ke sana, eloklah kita melakukan yang terbaik untuk-Nya,” kata Diana.


Melawat tempat suci, bersejarah

Ustaz Halim yang hadir sama di Balai Berita, Bangsar bersama Diana berkata, dia akan bertindak selaku pembimbing (mutawif) kepada jemaah umrah yang menyertainya nanti. Rombongan akan pergi ke Iskandariah dan Kaherah, Mesir terlebih dulu untuk melawat tempat bersejarah di sana.

“Pada setiap persinggahan akan saya ceritakan sejarahnya agar jemaah dapat menghayati perjuangan pejuang Islam dan sahabat ­Rasu­lullah SAW dalam usaha mereka menegakkan syiar Islam. 

Asalnya nak bawa jemaah ke Turki, tetapi untuk menghayati perjuangan Islam yang sebenar ke Mesir lebih bermakna,” katanya.

Di sekitar Kaherah, jemaah akan dibawa melawat tinggalan Piramid, Khan Khalili (tapak jualan cenderamata), Masjid Al-Azhar, Masjid Saidina Hussain, Masjid Amru Al-As, Makam Imam Syafie, Kubu Salahuddin Al-Ayyubi dan Muzium Tahrir.

Ketika di Iskandariah pula, lawatan diteruskan ke Istana Raja Farouk, Makam Nabi Daniel, Kubu Salahuddin Al-Ayyubi Iskandariah dan bersiar-siar di sekitar pantai Iskandariah yang cantik itu.

“Menariknya di Iskandariah, berhadapan makam Nabi Daniel adalah makam seorang yang amat soleh dan disayangi Allah iaitu makam Luqmanul Hakim. Dia bukanlah nabi, tetapi seorang hamba yang berkulit hitam legam dan hidung pesek, tetapi sa­ngat bertakwa dan soleh.

“Ini bermakna Allah tidak pernah menilai seseorang daripada kegagahan, status, jawatan atau warna kulit,” katanya.

Ustaz Halim melanjutkan ceritanya, ­di ­Madinah dan Makkah pula, jemaah akan ditekankan dengan sejarah dan penghayatan di kedua-dua lokasi yang suci itu.

“Di Madinah jemaah akan dibawa melawat antaranya di sekeliling Masjid Nabawi dan wakaf perkuburan Baqi yang terletak di sebelah masjid itu. Sepanjang masa saya akan berikan tazkirah dan saya sudahpun menyediakan modul kerana saya mahu jemaah mengisi masa mereka dengan ibadah.

“Saya juga akan mengajar mereka doa yang mustajab. Kepada jemaah, kalau ada sebarang kemusykilan jangan malu untuk bertanya. Perlu juga saya ingatkan di sini, jika mahu melakukan umrah, jangan sehingga ‘terlanggar’ waktu solat wajib. Insya-Allah saya akan beri penerangan terperinci ketika berada di sana nanti,” katanya.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment