Friday 22 February 2013

10 wanita GRO Melayu dihukum

BERTUDUNG... Sebahagian daripada 10 wanita yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam kerana bekerja sebagai GRO.


KUALA LUMPUR - Sepuluh orang pegawai perhubungan pelanggan (GRO), dengan sembilan daripada mereka mendakwa ibu tunggal, didenda RM2,800 atau penjara 40 hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam atas tuduhan melanggar dan mengingkari fatwa mufti dengan bekerja di sebuah pusat karaoke pada Jun tahun lalu.
Mereka didakwa mengingkari dan melanggar Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 1 Januari 2004 dengan bekerja sebagai GRO di pusat karaoke D'Carnival Lounge, No. 333-335, Batu 2½, Jalan Ipoh di sini antara pukul 1.40 pagi dan pukul 3.15 pagi pada 24 Jun tahun lalu.
Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan memutuskan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan salah kesemua tertuduh.
Beliau turut mengarahkan kesemua tertuduh supaya berkelakuan baik selama setahun dengan dipantau Unit Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dikenakan bon jaminan sebanyak RM1,000. Sekiranya gagal berkelakuan baik jaminan tersebut akan ditarik balik.
Kesemua tertuduh ialah Erni Juita Ismail, 47, Siti Farahdilla Azua Kasim, 26, Rita Yakir, 29, Rabihah Ahmad, 37, Nor Azilah Isa, 38, Eparizan Abdullah, 30, Noriza Mohd. Nor, 35, Zaiton Zainal, 42, Rosnita Mawardi, 35, dan Nisah Yaman, 32.
Salah seorang tertuduh, Farahdilla mempunyai sehingga 40 keping kad tempahan daripada pelanggan untuk menari pada malam itu.
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment