Wednesday 20 February 2013

2 parah, van bawa murid terbalik

KEADAAN van dinaiki sepuluh pelajar yang terbalik di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Dua murid berumur 10 dan 11 tahun cedera parah masing-masing di kepala dan kaki apabila van persendirian yang membawa mereka ke sekolah terbalik selepas dirempuh sebuah kereta di Bandar Utama di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi, van yang membawa 10 murid berumur antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Effingham, Bandar Utama.
Susulan kemalangan, sembilan murid termasuk dua yang parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buluh.
Seorang saksi kejadian berkata, van yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu dirempuh dari belakang ketika melepasi persimpangan lampu isyarat menuruni jalan berbukit.
Penyelaras MIC Parlimen Subang, A. Prakash Rao berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah sebelum bergegas ke PPUM.
"Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku namun dua murid cedera parah dan yang lain cedera ringan, dua yang parah menjalani pembedahan," kata beliau ketika ditemui di PPUM.
Sumber : Kosmo 

1 comment: