Wednesday, 13 February 2013

‘Mak makin ceria’

Alor Setar: Keadaan tubuh Rabiah Baser, 56, yang berkudis dan berulat akibat penyakit reput tulang yang dialami sejak dua bulan lalu kini beransur pulih, malah nanah di seluruh badannya semakin kering selepas menerima rawatan di Hospital Alor Setar (HAS) sejak seminggu lalu.
Anak lelakinya, Muhammad Asyid Abu Bakar, 21, berkata, ibunya semakin sihat dan ceria sejak menerima rawatan di hospital, malah orang ramai juga tidak putus mengunjungi ibunya sambil menghulurkan sumbangan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana prihatin dengan masalah yang menimpa keluarga kami termasuk penderma di seluruh negara yang menghubungi serta menghulurkan sumbangan.
“Wang ini akan digunakan sebaik mungkin dan selebihnya akan disimpan untuk masa depan,” katanya ketika ditemui di HAS, di sini, semalam.

Muhammad Asyid berkata, dia terharu apabila Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zulkiply Ramli turut menawarkan pekerjaan kepadanya sebagai guru tahfiz di Sungai Petani, tetapi terpaksa ditolak dengan alasan jarak yang jauh.

Menurutnya, disebabkan mengalami cacat penglihatan, dia berharap diberi peluang mengajar di madrasah berhampiran sama ada di Alor Setar atau Bukit Pinang bagi memudahkannya bergerak.
Foto
MUHAMMAD Asyid (kanan) bersama Muhammad Ikhlas menemani ibu mereka, Rabiah yang semakin sihat, semalam.
“Saya akan mengikuti konvokesyen di Madrasah An-Noor di Afrika Selatan pada 17 Mac depan dalam bidang Alim Kitab dan sebaik pulang ke tanah air, saya akan memikirkan pekerjaan yang ditawarkan itu untuk membantu keluarga.

“Walaupun saya menyimpan impian melanjutkan pengajian, namun niat itu terpaksa ditangguhkan dulu semata-mata mahu mencari wang bagi menampung keluarga memandangkan saya mempunyai kelebihan dalam bidang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, adiknya, Muhammad Ikhlas Yahya, 14, bersyukur kerana ibunya semakin pulih, tetapi belum memikirkan untuk meneruskan persekolahan walaupun gurunya di Maahad as-Syatirie, Sungai Dedap, Yan ada menghubunginya supaya menyambung pengajian dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia tidak sabar untuk kembali ke sekolah tetapi bimbang keadaan ibunya, malah berat hati meninggalkannya.

“Buat masa ini biarlah saya menjaga ibu sehingga dia benar-benar pulih. Selama berada di samping ibu, saya tidak pernah rasa malu dan jijik dengan keadaannya kerana dia ibu saya dunia dan akhirat,” katanya.

Jiran Rabiah, Solehah Ismail, 45, berkata dia bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga wanita berkenaan dan sanggup membenarkan Muhammad Ikhlas bermalam di rumahnya buat sementara waktu ketika ibunya masih di hospital.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment