Thursday, 21 February 2013

Helah peragut tak menjadi

KUALA LUMPUR: Memberi alasan isterinya bakal bersalin empat bulan lagi selain perlu menanggung dua anak, seorang peragut merayu supaya dilepaskan apabila dia berjaya ditangkap orang ramai di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini, malam tadi.
Namun, cerita sedih lelaki berusia 27 tahun itu gagal mencairkan hati orang ramai yang seterusnya bertindak menghubungi dan menyerahkan suspek kepada polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek bersama rakannya, 20-an, menunggang motosikal Yamaha 135 LC meragut beg tangan seorang wanita yang diletakkan di dalam raga motosikalnya sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun perbuatan suspek yang disedari seorang pemandu van bertindak mengejar dan menghimpit mereka menyebabkan motosikal suspek hilang kawalan dan terbabas.
Foto

Orang ramai yang menyedari kejadian itu berjaya menahan suspek sementara seorang lagi berjaya melarikan diri dan lelaki itu kemudian diserahkan kepada unit peronda polis (MPV) yang kebetulan melalui kawasan terbabit.

Malah, pemeriksaan lanjut mendapati suspek sebelum itu disyaki turut melakukan ragut ke atas seorang wanita berusia 27 tahun yang sedang menunggu bas di Jalan Ampang, di sini.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa, Noor Khadijah Md Shah, 25, berkata, dia yang sedang menunggang motosikal dari Jalan Wangsa Perdana, Seksyen 5, Wangsa Maju menuju ke Kuala Lumpur sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal sebelum mereka bertindak merampas beg tangan yang diletakkan di dalam raga.

Menurutnya, dia yang terkejut menjerit meminta pertolongan sementara peragut terbabit terus memecut laju namun sebaik mereka menghampiri lampu isyarat tiba-tiba datang sebuah van dan terus menghimpit motosikal terbabit.

“Saya lihat ketika itu mereka berdua terjatuh dan terus bertindak melarikan diri namun seorang daripada peragut itu berjaya ditahan orang awam yang menyedari kejadian itu.

“Saya kerugian dianggarkan sebanyak RM500 selepas dua telefon bimbit dan wang tunai RM100 yang berada di dalam beg itu dilarikan suspek,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Maliawati Asep Hidayat, 27, berkata, dia yang sedang menunggu bas berseorangan kira-kira jam 8 malam di Jalan Ampang di sini, terkejut apabila tiba-tiba beg tangan yang disandang di sebelah kanan tiba-tiba direntap dari belakang.

“Saya ketika itu sedang melihat kandungan mesej di telefon bimbit sebelum tiba-tiba dua lelaki bermotosikal terus melarikan beg tangan mengandungi wang tunai sebanyak RM100 dan dokumen pengenalan diri.

“Akibat kejadian itu saya mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan selepas terjatuh ketika diragut mereka. Saya juga sudah membuat laporan di Balai Polis Tun Razak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan penangkapan suspek yang turut mempunyai enam rekod jenayah lampau dalam pelbagai kesalahan curi motosikal, samun, merusuh dan memilik kenderaan curi.

“Motosikal Yamaha 135 LC yang digunakan suspek untuk meragut juga pernah dilaporkan hilang di Jinjang tahun lalu dan rakannya kini sedang diburu.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek telah melakukan kegiatan ragut sebanyak sembilan kali pada tahun ini di sekitar Wangsa Maju,” katanya.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment