Monday 25 February 2013

Bas terbabas masuk kedai kasut



KEADAAN bas yang terbabas merempuh masuk ke kedai kasut di Jalan 6/9, Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya semalam.



AMPANG JAYA - Sebuah bas persiaran yang didakwa penuh dengan warga Indonesia terbabas sebelum kenderaan itu menyeret enam buah kenderaan lalu merempuh sebuah kedai kasut dalam kejadian berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan 6/9, Kampung Tasik Tambahan berhampiran susur keluar Jalan Ampang-Hulu Langat di sini semalam.
Kemalangan yang berlaku pada pukul 6 pagi itu menyebabkan pintu kedai kasut dan rak-rak kasut di tingkat bawah rumah kedai itu musnah. Tiga buah kereta, sebuah van dan dua buah motosikal yang diletakkan di depan kedai itu rosak teruk. Tiga buah kereta yang terlibat ialah dua buah Proton Iswara dan sebuah kereta Proton Gen 2.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, tiada mangsa yang cedera.
Kemalangan itu didakwa berlaku kerana bas yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke ibu negara itu mengalami masalah brek ketika menuruni jalan berbukit selepas keluar dari Jalan Ampang-Hulu Langat.
Bas yang hilang kawalan itu terus melepasi persimpangan lampu isyarat sebelum menyeret enam buah kenderaan sebelum berhenti selepas merempuh kedai kasut.
Seorang saksi, Normimi Shamsudin, 32, yang tinggal di tingkat tiga rumah kedai tersebut berkata, dia mengetahui mengetahui mengenai kejadian itu selepas berasa rumahnya bergegar dengan kuat.
"Apabila saya mengintai melalui tingkap saya nampak sebuah bas terperosok di pintu masuk sebuah kedai kasut," ceritanya semasa ditemui di tempat kejadian.
Dia yang tinggal di situ sejak tahun 2001 berkata, ekoran kejadian itu, ramai penduduk di kawasan itu cuba membantu penumpang bas tersebut namun ramai daripada mereka bertempiaran lari.
"Penduduk yang curiga dengan gelagat ramai penumpang bas itu lari terus menangkap pemandu bas dan menyerahkan lelaki itu kepada polis," kata wanita itu lagi.
Menurut Normimi, hanya beberapa penumpang bas yang tidak melarikan diri dan kebanyakan penumpang bas tersebut merupakan warga Indonesia.
Sementara itu, pengusaha kedai kasut itu pula, Tasha Zaharin, 35, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas menerima panggilan daripada salah seorang penduduk di situ.
"Bila sampai di tempat kejadian saya sangat terkejut kerana kedai saya rosak teruk," katanya sambil memberitahu ini merupakan kejadian pertama kedainya dirempuh kenderaan terbabas.
Cerita Tasha, kawasan itu memang kerap terjadi kemalangan tetapi ini merupakan kemalangan paling teruk berlaku melibatkan kenderaan berat.
"Setiap tahun pasti ada satu atau dua kemalangan di kawasan sama dengan bas terbabas itu. Saya yakin kejadian itu ada kaitan dengan jalan berbukit menyebabkan kenderaan mudah terbabas," katanya.
Berikutan itu, dia sebagai mewakili penduduk di sini merayu agar pihak bertanggungjawab membina tembok penghadang jalan bagi mengelak kejadian sama berulang dan mungkin meragut nyawa.
"Nasib baik kejadian ini berlaku pada sebelah pagi hari minggu, sekiranya berlaku pada hari persekolahan dikhuatiri ada nyawa yang terkorban," katanya.
Tasha yang menjual kasut-kasut terpakai pelbagai jenama menganggarkan kerugian yang dialaminya antara RM10,000 hingga RM15,000.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Mohd. Nazri Zawawi berkata, pemandu bas yang berumur 38 tahun sudah membuat laporan dan mendakwa kemalangan itu berlaku selepas bas tersebut mengalami masalah brek.
"Kita hanya mengetahui bas itu membawa 15 penumpang Indonesia dari Johor dan dalam perjalanan bekerja di ibu negara," kata beliau.
Menurut beliau, semua warga asing yang diperiksa termasuk bas itu memiliki dokumen yang sah.
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment