Sunday, 17 February 2013

Lemas selepas rendam kepala, basuh muka

Melaka: “Seperti kebiasaan kami melihat dia merendam kepala serta membasuh muka di pantai, namun apabila menyedari dia tidak bergerak kami segera berlari ke tepi pantai untuk melihatnya.”
Begitu kata seorang nelayan, Idris Jauh, 65, saksi kejadian seorang warga emas lelaki yang lemas di Pantai Kampung Hailam, Tanjung Kling, petang kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Kembar, 70-an, lemas selepas merendamkan kepala dan membasuh muka di pantai itu.
Menurut Idris, ketika kejadian dia dan beberapa penduduk sedang berehat di sebuah pondok di pangkalan nelayan, tidak jauh dari lokasi.

Katanya, sebelum kejadian mangsa ada bertanya sama ada terdapat nelayan yang membawa ikan cabuk sebelum beredar dari situ.

“Namun, sebaik menoleh ke arah pantai tempat nelayan menurunkan perahu, kami lihat dia sudah berada di dalam air dan pada masa sama dia merendamkan kepala dan bangun sambil tangan kanannya memegang tali sauh perahu yang ada di situ.
Foto
MAYAT mangsa diangkat ahli keluarganya.
“Dia (mangsa) memang selalu begitu tetapi selepas kira-kira tiga kali berbuat demikian (merendamkan kepala dan bangun) kami menjadi cemas apabila mendapati dia tidak bangun sebelum kami berlari ke tepi pantai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Idris berkata, khuatir sesuatu yang buruk berlaku, mereka tidak berani masuk ke dalam air sebaliknya hanya berdiri di tepi pantai sebelum dia bergegas ke rumah mangsa memaklumkan kejadian berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dipapah naik ke pantai oleh keluarganya yang datang ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kejadian.

“Kami mengenalinya kerana dia kerap ke sini dan rajin membantu nelayan mengangkat jaring dan hasil tangkapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment