BALING - Seorang bapa menyesal tak sudah apabila anak yang disangka telah keluar rupa-rupanya masih terperangkap di dalam rumah yang terbakar sebelum kanak-kanak berusia empat tahun tersebut ditemui rentung dalam kejadian di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 petang tersebut mengakibatkan Adam Akmar Erwan maut manakala bapa, Erwan Md. Nayan, 33; ibu, Siti Khuzaimah Abas, 33; abang, Mohd. Airel Zaquan, 6, dan seorang adiknya terselamat.
Mengimbau semula kejadian itu, Erwan berkata, sebelum kejadian dia dan isterinya sedang berehat di ruang tamu rumah kayu dua tingkat tersebut sebelum ternampak kepulan asap di sebuah bilik dekat dapur.
Katanya, ketika itu dia sekeluarga baru sampai dari Sungai Petani selepas menghadiri kenduri.
"Saya kemudian terus membawa isteri dan anak bongsu saya berusia tiga bulan keluar. Ketika itu, saya ingatkan arwah sedang bermain di luar bersama Mohd. Airel jadi saya tidak hiraukan dia sangat.
"Bagaimanapun ketika melihat api semakin marak, saya terkejut apabila terdengar suara dia memanggil saya dari tingkat atas namun saya tidak berupaya berbuat apa-apa kerana api sudah menjulang tinggi," ceritanya ketika ditemui.
Tambah anggota tentera di Pengkalan Hulu, Perak itu, selain keluarganya, bapa mertuanya, Abas Ibrahim, 59, turut menetap di situ.
Sementara itu, Abas berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana pergi ke rumah jiran kira-kira 200 meter dari kediamannya bagi membuat persiapan majlis kenduri perkahwinan keesokan harinya.
"Saya bergegas pulang sebaik ternampak asap dan menendang pintu sekuat hati selepas dimaklumkan cucu saya terperangkap namun gagal kerana api marak," katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, sebaik api dipadamkan, pihaknya menemui mayat kanak-kanak itu yang rentung di hadapan pintu tingkat dua dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri.
"Kemungkinan asap tebal dan api marak menyebabkan dia terperangkap," katanya.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment