Rompin: Hentikan spekulasi mengenai keputusan mengejut Nazmi Faiz Mansor (gambar) kembali ke tanah air, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Biarpun agak terkejut dengan tindakan pemain muda itu meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar untuk beraksi di Liga Super bersama PKNS FC, beliau berkata, Nazmi pastinya mempunyai sebab tersendiri sehingga memaksanya kembali bermain di negara ini.
Hal peribadi
“Mungkin ia membabitkan hal peribadi tapi saya mahu semua jangan buat spekulasi. Saya belum berjumpa dengan dia lagi. Saya berharap jangan kita cepat kritik dia sehingga seolah-olah dia cepat putus asa.
“Jika ada tawaran lagi untuk bermain di luar negara, harapan saya supaya dia dapat membuat pertimbangan kerana usianya masih muda,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Teluk Gading di sini semalam.
Tidak bazir bakat
Selain itu, Tengku Abdullah mahu Nazmi untuk kekal fokus dan sentiasa berusaha meningkatkan tahap permainannya supaya bakat besar yang ada tidak disia-siakan.
Beliau turut menasihatkan pemain muda lain yang menerima tawaran bermain dengan kelab bola sepak di luar negara supaya mengambil peluang berkenaan dengan sebaiknya.
“Jika dapat tawaran itu, jangan ada perasaan takut nak tinggal rumah dan keluarga kerana bermain dengan kelab luar boleh memberikan banyak pengalaman berharga,” katanya.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment