Guna duit BR1M beli dadah
Kedua-dua lelaki berkenaan didapati positif dadah melalui ujian saringan air kencing.
KULIM - Dua lelaki ditahan polis di sebuah pasaraya di sini kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan, semalam.

Penahanan itu dilakukan Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) di ketuai Pemangku Ketua Balai Polis Kulim, Sub Inspektor Mohd Najib Abd Aziz kira-kira jam empat petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka baru sahaja mengambil wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM250.

Menurutnya, polis turut menemui beberapa tiub berisi hablur dipercayai dadah jenis methamphetamine di dalam beg pinggang salah seorang suspek, selain sebotol air gas yang sudah dicampur dengan air daun ketum dan ubat batuk.
"Bagaimanapun suspek enggan mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Kedua-dua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sebelum diserahkan kepada Bahagia Siasatan Jenayah Nakotik IPD  untuk menjalani ujian saringan air kencing.  Mereka didapati positif dadah,” katanya.       

Kata beliau, hasil siasatan, kedua-dua lelaki berkenaan menggunakan wang bantuan BR1M untuk membeli dadah, ubat batuk dan air ketum.

"Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen  12(2) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan seksyen 15(1)," katanya.
Sumber : Sinar Harian