Thursday, 4 April 2013

TMJ letak jawatan Presiden PBNJ

TUNKU ISMAIL
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
 
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan juga hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

"Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya memegang jawatan sebagai presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

"Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebagai Penaung, serta-merta mulai hari ini.

"Jawatan baru ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini," katanya.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail memaklumkan jawatan presiden akan disandang Datuk Obet Tawil yang juga Setiausaha Kerajaan Johor.

Kenyataan Tunku Ismail ini diperoleh menerusi e-mel yang dihantar Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya kepada Sinar Harian.
 
BERIKUT KENYATAAN PENUH TUNKU ISMAIL:
"Saya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Makhkota Johor, dengan ini ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat keputusan dan mendapat titah perkenan dari DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Darul Takzim, dan juga hasil daripada perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negei Johor, dengan ini, saya meletakkan jawatan saya sebagai Presiden dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor.

Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya "memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus Persatuan Bolasepak Negeri Johor yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebgai Penaung, serta merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor adalah selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ. Dengan jawatan saya sebagai Penaung, ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak negeri Johor di seluruh pelusuk tanah air yang mana telah bersusah payah beramai-ramai memberi sokongan yang tidak terbatas kepada pasukan bola sepak negeri Johor selama ini. Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai dan saya harapkan agar ianya berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bolasepak tanah air.

Untuk makluman semua, jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Darul Takzim selepas ini akan disandang oleh Datuk Obet Bin Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor. Saya berharap anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan juga saya akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bola sepak negeri Johor ini dari perigkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan penyokong-penyokong bolasepak negeri Johor yang selama ini menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menaikkan nama baik PBNJ. Saya juga menyeru agar sokongan padu dari para penyokong akan sentiasa berterusan demi menaikan imej dan juga mutu pemain-pemain bolasepak negeri Johor dan juga PBNJ.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarhakatuh."


Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment