KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kontrak warga Indonesia maut, manakala rakannya parah kepala setelah kren yang digunakan untuk mengangkat mereka tumbang, di Persiaran Gurney, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira kira jam 12 tengah hari itu, dua mangsa terbabit sedang membaik pulih bumbung sebuah flat.
Saksi, Rahman Apendi, 52, berkata, dia dan rakannya sedang minum di sebuah gerai berhampiran sebelum mendengar jeritan dan dentuman kuat.
“Saya dengar pemandu kren menjerit.
"Kami terus lari ke arah jeritan dan melihat dua pekerja dalam ‘basket’ cedera,” katanya.
Menurutnya, seorang pekerja tersepit besi 'basket' dan tidak sedarkan diri, manakala seorang lagi cedera di kepala.
“Saya berlari ke jalan dapatkan bantuan dan tahan sebuah kereta peronda polis yang kebetulan lalu di kawasan itu," katanya.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Syobirin Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah hari dan tiba ke lokasi lapan minit kemudian.
Menurutnya, seramai 13 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat dan Setapak serta satu jentera TTL dari Hartamas.
"Dua pekerja dalam 'basket', seorang daripadanya maut dan seorang lagi tersepit serta berjaya kita keluarkan kira-kira jam 12.16 tengah hari.
"Seorang lagi pekerja atas bumbung dan kita selamatkan dengan jentera TTL, manakala pemandu kren diselamatkan orang awam," katanya.
Pemeriksaan mendapati empat pekerja terbabit sedang melakukan kerja baik pulih bumbung flat sebelum kren digunakan hilang kawalan dan terbalik.
Bagaimanapun, difahamkan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sumber : Sinar Harian
adakah mereka mengamalkan safety such as safety helmet? tapi kalau dah nak jadi, kita pun x tau kan?
ReplyDeletedah ajal, nak buat macam mana kan.
ReplyDelete