Ketiga-tiga finalis, Mohamad Azammudin Zainal, Muhammad Tajdid Hadhari Romli dan Nor Adibah Rozain berjaya memikat hati juri dan melangkah ke peringkat akhir.
Menyingkap perjalanan barisan finalis ini, sedikit sebanyak mereka telah membawa penonton dan masyarakat mendalami apa sebenarnya dakwah.
Meskipun bukan mudah bagi mereka menarik perhatian masyarakat namun misi mereka tetap diteruskan demi memperjuangkan Islam.
Menurut penerbit program, Shukri Ibrahim, pelbagai ujian dan tugasan diberikan kepada mereka juga antara faktor melahirkan Da'i yang berkualiti.
“Ketiga finalis yang terpilih ini mempunyai aspek dan keistimewaan tertentu dalam diri mereka.
“Masing-masing punya kehebatan dan gaya tersendiri, cuma untuk menentukan siapa paling layak bergelar juara, itu terletak di tangan juri,” katanya.
Dalam pada itu, sedikit mengenai tugasan terakhir mereka, Shukri memberitahu, finalis telah ditugaskan selama tiga hari dua malam bersama keluarga angkat di perkampungan Orang Asli yang terletak di Perak.
“Kali ini mereka perlu berhadapan keluarga masing-masing dengan tujuan berdakwah kepada mereka untuk lebih mendekati Islam.
“Seperti kita tahu, rata-rata masyarakat Orang Asli kurang didikan agamanya dan ini menjadi cabaran hebat kepada mereka,” katanya.
Tidak mahu bangga diri: Hadhari
Menjadi salah seorang finalis bukan bererti peserta yang mesra disapa Hadhari ini boleh berbangga dengan keupayaannya, namun baginya, ia meletakkan dia di satu tahap yang lebih tinggi khususnya pada pandangan masyarakat.
Berkongsi perasaan bergelar finalis, akui Hadhari, dia sememangnya tidak menyangka mampu melangkah ke peringkat akhir bersama Azammudin dan Adibah.
“Setiap peserta pastinya mempunyai harapan dan impian untuk menjadi juara, saya juga begitu, namun semua ini bukan mudah.
“Ia memerlukan pengorbanan yang besar. Ini termasuklah dari segi masa, kudrat dan sebagainya.
“Apa pun, saya akan cuba yang terbaik dengan memperbaiki diri dan memantapkan lagi ilmu yang ada dalam diri,” katanya.
Ditanya mengenai tugasan terakhir ini, jelas Hadhari, pada awalnya, dia agak gementar kerana bimbang dengan penerimaan masyarakat di sana.
“Bagaimanapun, apabila sampai ke sana, barulah kita dapat lihat siapa sebenarnya mereka ini.
“Walaupun kurang pengetahuan mengenai agama namun mereka sangat baik dan ramah orangnya,” katanya.
Pilih pendekatan hiburan: Azammudin
Bagi Azammudin pula, berjaya menjadi finalis adalah pengalaman manis dan hebat baginya.
Katanya, pelbagai ujian yang diterima sepanjang 11 minggu menjadi peserta Da'i, membuktikan bukan mudah membawa nama sebagai pendakwah.
“Kita perlu bersedia berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan apabila melakukan dakwah.
“Bukan semua yang kita lakukan disukai orang lain, oleh itu untuk menambat hati mereka memberi seribu satu cabaran buat saya,” katanya.
Berkongsi pandangan mengenai tugasan terakhir ini pula, ujarnya, memandangkan masyarakat Orang Asli lebih suka berhibur, maka dia mengambil kesempatan tersebut dengan berdakwah menerusi hiburan.
“Hiburan yang saya maksudkan ini adalah seperti berzikir, dalam pada kita berhibur, kita juga mendapat faedahnya,” katanya.
Ditanya siapa finalis yang digeruninya pula, jelas Azammudin, dia sangat mengagumi Adibah.
“Dia adalah finalis yang mempunyai ciri-ciri pendakwah yang baik, mengapa saya kata begini, ini kerana dia mampu melontarkan kata-kata yang penuh dengan isinya,” katanya.
Cabaran besar buat Adibah
Sementara bagi Adibah, kembali ke Da'i selepas disingkirkan dan kini bergelar finalis bagaikan mimpi indah buat dirinya.
Akui Adibah, sebagai peserta tunggal wanita, bukan mudah dia berhadapan dengan dua lagi finalis lelaki.
“Sebagai wanita apa yang dilakukan sangat terbatas, namun apabila diberi ruang untuk kembali di sini semula, saya segera berfikir dengan bijak untuk menanganinya.
“Saya tidak mahu batas-batas ini menjadi alasan saya tidak boleh menjadi pendakwah yang bagus sebaliknya, saya perlu cari dan cungkil cara tersendiri untuk berdakwah,” kata penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.
Berbicara mengenai tugasan di perkampungan Orang Asli pula, jelas Adibah, ia sesuatu yang amat mencabar dirinya.
“Mula-mula memang macam-macam perkara berlegar di fikiran saya tetapi apabila pergi ke sana, saya tahu saya harus menggalas tanggungjawab ini dengan hati terbuka.
“Harapan saya, agar apa yang disampaikan dapat memberi sesuatu kepada mereka,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment