Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nur Shazwani Rozi, 17, membonceng motosikal ditunggangi sepupunya dan dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut mangsa, walaupun berjaya menghalang peragut dari meragut gelang tangan emas yang dipakainya, namun dia tetap berputih mata apabila peragut terbabit berjaya melarikan beg miliknya yang diletakkan di bahagian depan motosikal tersebut.
Menceritakan detik cemas itu, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, ketika melalui jalan di Kampung Wakaf Dua itu, tiba-tiba sebuah motosikal datang dari arah belakang mereka lalu meragut gelang tangan emas yang dipakai.
“Saya yang terkejut terus menyepak peragut itu. Apabila gagal meragut gelang, dia (peragut) terus tarik beg yang diletakkan di bahagian depan motosikal.
"Masa itu kami terkejut dan tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya, semalam.
Mangsa kehilangan dua telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 2 dan Blackberry Bold 4 anggaran bernilai RM3,000 dan tunai RM350 serta lesen memandu dan kad pengenalan. Kerugian keseluruhan berjumlah RM3350.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Esah Sidek, 38, berkata, pihak berkuasa tempatan perlu mempertingkatkan keselamatan di kawasan terlibat supaya kejadian sama tidak berulang.
“Sebelum ini, saya pernah mendengar cerita mengenai kejadian ragut di kawasan ini dan tidak menyangka kejadian seumpama itu akan menimpa anak saya,” kata Siti Esah yang mengakui anak perempuannya itu masih trauma dengan kejadian tersebut.
Siti Esah berkata, selepas kejadian, anak perempuannya terus ke kedai miliknya yang terletak beberapa kilometer dari tempat kejadian sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Bukit Payung lebih kurang jam 4 petang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Sumber : Sinar Harian
nasib lah diri dia tak apa2.
ReplyDelete