"Ni pertama kali. Jangan risau, saya tak akan dapat memo lagi lepas ni 
(ketawa)", itu kata Fara Fauzana aka Fafau sekaligus mengesahkan 
baru-baru ini dia menerima memo daripada majikannya pada Selasa lalu.
Semuanya gara-gara ubat tidur yang diambilnya menyebabkan dia secara tak sengaja, tidak datang bertugas di konti pada pagi itu.
Fafau berkata, sejak malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 
(ABPBH12) yang berlangsung pada malam Ahad lepas, menyebabkan dia berasa
 tidak sihat akibat kepenatan. Lalu pada pada hari Isninnya dia pergi ke
 farmasi untuk mengambil ubat selesema. Selepas memakan ubat tersebut 
dia terus dapat tidur lena sehingga terlajak. 
"Isnin tu, saya ke farmasi. Saya minta ubat selesema. Orang farmasi tu 
tanya pada saya, berapa jam saya nak tidur? Saya kata, dalam lapan jam. 
Jadi dia berikan saya pil dan mengingatkan saya supaya tidak makan 
sebiji tetapi hanya perlu mengambil suku daripada pil itu.  Jadi lepas 
makan ubat tu, jam 1 petang saya tertidur.
"Bila saya bangun saya ingatkan dah malam. Rupanya dah pagi Selasa, jam 
10 pagi. Sudahnya, saya tak masuk konti dan hari tu juga saya dapat 
memo. Pihak pengurusan memang tegas. Tak kiralah siapa pun, kalau tak 
masuk kerja seperti yang ditetapkan, mereka terus bagi memo", kata 
Pengacara TV Popular ABPBH2012 ini sambil tertawa mengenangkan peristiwa
 itu. 
Fafau yang ditemui majlis sidang media Teater Nyonya & The Gang
 diminta menjelaskan mengenai tulisan di Twitternya pada Selasa lalu 
yang mengatakan dia mendapat memo, sehinggakan ramai peminatnya terkejut
 dan tertanya-tanya sama ada ia benar atau hanya gurauannya. 
Dalam pada itu, bercerita mengenai penglibatannya dalam Nyonya & The Gang,
 ini merupakan kali pertama Fafau bakal berlakon teater di Panggung 
Sari, Istana Budaya. Sekaligus tawaran tersebut dilihat sebagai satu 
peluang yang tak mungkin boleh dilepaskan begitu saja.
"Saya fikir, kalau saya tak buat sekarang, bila lagi saya nak buat teater di Istana Budaya", katanya.
Meskipun sebelum ini dia pernah menjayakan teater nukilan dramatis 
Wisran Hadi itu, namun Fafau mengakui cabaran kali ini lebih besar. 
Selain perlu fasih berdialog dengan lenggok bahasa Indonesia, dia perlu 
memastikan kemantapan lakonannya sebaris dengan nama-nama besar yang 
tidak asing lagi dengan dunia teater seperti Amy Mastura, Misha Omar, 
Taiyuddin Bakar dan Mardiana Alwi yang turut membintangi teater arahan 
Rosminah Mohd Tahir ini.
"Saya pernah jayakan Nyonya di Matic pada 2011. Terus terang, saya 
memang tak suka bahasa Indonesia. Tapi teater ni memerlukan kita 
bertutur dalam bahasa Indonesia. Jadi untuk berlakon, saya perlu juga 
memastikan lenggok gaya percakapan saya tu betul. Macam pengalaman lalu,
 saya terbawa-bawa juga percakapan saya hingga ke luar pentas, misalnya 
di konti saya bercakap dalam lenggok Indonesia. 
"Selain tu cabaran besar kali ini semesti berlakon di pentas yang lebih 
besar. Tekanan tu ada. Tambah-tambah saya bergandingan dengan nama besar
 macam Misha Omar dan Amy Mastura. Jadi saya perlu pastikan lakonan saya
 sama level dengan mereka. Tapi saya percaya dengan bimbingan dan tunjuk
 ajar prengarah, saya boleh lakukan yang terbaik!", katanya penuh 
yakin. 
Diarahkan oleh Rosminah Mohd Sidik, teater ini turut menampilkan pelakon
 seksi lagi jelita Rozita Che Wan. Dipentaskan buat kali keenam, Teater Nyonya & The Gang
 mengisahkan seorang isteri yang terpaksa menjual satu-persatu barang 
antiknya kepada Tuan (lakonan Tayuddin). Daripada bertukar barang 
hinggalah 'menjual orang'. 
Teater ini bakal dipentaskan pada 14 hingga 20 Jun 2013. Maklumat lanjut
 boleh menghubungi 017-200 4249, 03-6168 6592 atau mendapatkan tiket, 
boleh menghubungi 03-8775 4666. 
 

 
wahhh, tegas juga. Bgus lah mcm tu tak pilih kasih. :)
ReplyDelete