Monday 15 April 2013

Malaysia julang Piala Axiata 2013

CHONG WEI (dua dari kanan) menjulang Piala Axiata selepas menerimanya daripada Rosmah (kanan, depan) selepas tamat perlawanan akhir di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur semalam.


SKUAD badminton negara muncul juara Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 apabila menundukkan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ternyata kejutan yang dilakukan pemain No. 1, Datuk Lee Chong Wei untuk tampil buat kali pertama pada Piala Axiata berjaya menguatkan lagi strategi skuad negara untuk mengungguli kejohanan berpasukan berprestij itu.

Mengulas mengenai kemenangan itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelaskan bahawa kehadiran Chong Wei telah menambahkan lagi keyakinan para pemain untuk tampil dengan lebih bersemangat.

"Kalau kejohanan berpasukan, kita (Malaysia) memang susah hendak menang kerana pasukan-pasukan lain lebih kuat.

"Malam ini (semalam), kehadiran Chong Wei membantu melonjakkan semangat berpasukan dalam kalangan pemain, dan saya juga yakin dapat meraih mata menerusi perseorangan lelaki," kata Rashid.

Selaku juara, skuad negara membawa pulang hadiah wang wang tunai AS$400,000 (RM1.2 juta) dengan trofi kejuaraan, manakala Thailand yang meraih tempat kedua menerima AS$200,000 (RM608,500)

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansur, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.

Pada aksi tersebut, skuad negara ketinggalan 0-1 apabila perseorangan wanita, Sonia Cheah Su Ya tewas 16-21, 17-21 kepada pemain No.8 dunia, Ratchanok Intanon pada perlawanan pertama.

Begitupun, Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi gandingan mantap beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mudah menundukkan Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam untuk mengikat Thailand 1-1.

Pada aksi kedua itu, beregu campuran No. 5 dunia itu mengalahkan Prapakamol-Thoungthongkam (No. 6) 21-16, 21-12. 

Chong Wei yang tampil dalam perseorangan lelaki, menyumbangkan mata kedua negara apabila menewaskan pemain No. 25 dunia, Tanongsak Saensomboonsuk 21-12, 21-18.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh beregu utama negara, Tan Boon Heong-Koo Kien Keat yang menewaskan Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon 21-10, 21-17.

Pada edisi pertama tahun lepas, kedua-dua pasukan negara, Malaysia Tiger dan Malaysia Leopard tersingkir pada pusingan separuh akhir selepas tewas kepada Indonesia Garuda dan Indonesia Rajawali.

Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment