Budak maut jatuh kondo
Pegawai perubatan memeriksa mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat 17.
SELAYANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di sini dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin.
Mangsa meninggal serta merta selepas mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian anggota badan termasuk kepala.

Sumber memaklumkan, ketika kejadian, kanak-kanak tersebut berada di rumah bersama abangnya berusia 14 tahun.

“Mangsa dilaporkan hilang sewaktu abangnya ke tandas dan sebelum itu di lihat sedang bermain di rumah.

“Risau sesuatu berlaku, abangnya kemudian mencari adiknya di luar rumah dan menjumpai mangsa berbaring tidak bernyawa di bahagian lapang di kawasan pekarangan bawah rumah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sewaktu ambulans tiba, mangsa telah meninggal dunia.

Mayat dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.
Sumber : Sinar Harian