Tuesday, 9 April 2013

Daging puyuh rawat lelah

pix_topright 

Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata keenakan sup puyuh yang dinikmati penulis dan jurugambar ketika mengunjungi seorang penternak haiwan itu, baru-baru ini.

Keenakan sup puyuh dihidangkan isteri usahawan burung puyuh, Ahmad Jais Mohee, 44, memang terbaik.

Bukan mahu memuji, namun rasa sup disajikan itu benar-benar membuka selera sesiapa saja yang ingin mencuba sup pedas Kemboja bercita rasa tempatan.

Ahmad Jais bersama isterinya, Ismak Math, 29, turut menghidangkan penulis pelbagai hidangan burung puyuh, antaranya puyuh goreng dan sambal tumis telur puyuh.


Foto
PUYUH tahan dengan cuaca panas.

Mungkin ramai tidak tahu, burung puyuh atau nama saintifiknya, Japanese quail atau Coturnix japonica sangat digemari masyarakat Cina bagi merawat lelah.


Selesa dipanggil Haji Ahmad, ladang puyuh di Kampung Parit Kassan, Ithnin Maarof, Simpang Renggam, Johor, itu kerap dikunjungi pelanggan setia dikenali Uncle Chong.

Menurutnya, daging puyuh membantu memanaskan badan sesuai dijadikan sup.

“Sebab itu, saya sering mendapatkan bekalan puyuh segar di ladang ini sejak empat tahun lalu.

“Sup puyuh yang ditambah herba ginseng membantu mengurang­kan penyakit lelah,” katanya.

Burung puyuh mampu terbang dalam keting­gian tiga meter sebelum ke kawasan landai untuk menyembunyikan diri selain hidup di kawasan semak, belukar, ladang pertanian dan sawah kering.

Terdapat beberapa kategori ladang penternakan puyuh, ada mengeluarkan anak bagi daging dan telur manakala yang lain menternak puyuh dari jenis pedaging dan penelur.

Penternak dan pembekal produk Puyuh Best Frozen Food itu berkata, pembabitannya dalam industri berkenaan bermula 10 tahun lalu.

Dengan modal RM1 juta, Ahmad membeli pelbagai bentuk aset seperti mesin pengeraman dan penetasan telur, tanah empat hektar, bangunan serta reban.

“Awalnya, saya mendapatkan stok bekalan burung puyuh dari pengeluar di Kedah dan Perak, tetapi tidak mencukupi.

“Ketika itulah timbul idea membuka sebuah pusat pembiakbakaan puyuh pedaging,” katanya.

Katanya, daripada 30,000 burung puyuh yang dihasil­kan dalam tempoh sebulan, bilangannya ditingkatkan enam kali ganda menjadi 180,000 ekor sebulan.

“Malah, kami mampu mengeluarkan kira-kira 300,000 puyuh pedaging dalam tempoh sebulan,” katanya.

Menurutnya, industri penternakan burung puyuh mampu mendatangkan pulangan lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh.

“Penjagaan burung puyuh tidak begitu sukar, cuma penternak perlu ada ilmu selain faham aspek tek­nikal,” katanya.

Dia bertuah kerana ladangnya mendapat khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor.

Ahmad Jais menternak dua jenis puyuh iaitu puyuh baka Institut Kemahiran Ternakan Ayam (IKTA) JPV Johor dan baka komersial biasa.

“Puyuh IKTA cepat membesar untuk tempoh 24 hing­ga 25 hari penternakan.

“Tekstur daging baka IKTA lebih lembut,” katanya.

Dari aspek penjagaan kesihatan, burung puyuh perlu diberikan antibiotik dan vitamin.

“Kawasan reban perlu bersih dan lakukan semburan bagi mengurang bau, lalat dan pencemaran,” katanya.

Ahmad Jais pernah merangkul Anugerah Ternak Jaya Peringkat Negeri Johor tahun lalu dan Anugerah Penternak Jaya Peringkat Kebangsaan pada 2012.

“Saya sering memberi ceramah asas ternakan puyuh.

“Awal tahun ini, seramai 120 peserta mengikuti ceramah berkaitan penternakan puyuh,” katanya.

Kini, syarikat itu menguruskan penternakan puyuh dari proses pengeluaran telur, penetasan, pemeliharaan puyuh, penyembelihan dan produk hiliran bagi jenama Puyuh Best Frozen Food.

“Dulu, kami ada membeli sebuah mesin eraman puyuh secara manual daripada sebuah syarikat di Singapura.

“Mesin automatik itu membolehkan telur digerakkan empat jam sekali berbanding tenaga manusia,” katanya.

Katanya, purata seekor baka puyuh IKTA mengeluarkan sebiji telur sehari atau 350 biji telur setahun,” katanya.

Di bilik penetasan, anak puyuh pedaging dan penelur akan dieram kira-kira 16 hari sebelum dimasukkan ke mesin penetasan selama tiga hari.

“Kira-kira 300,000 biji telur boleh dimasukkan ke mesin eraman dengan 60 peratus daripadanya menetas.

“Burung puyuh akan menetas sebaik diletak pada suhu 37 darjah celsius.

“Selepas menetas, anak puyuh dilepaskan dalam kawasan ternakan sebelum diberikan air minuman mengandungi vitamin dan antitekanan bagi tempoh sebulan,” katanya.

Ahmad Jais mempunyai 16 reban puyuh dengan lima daripadanya memuatkan 25,000 ekor puyuh telur bagi puyuh pembiak bakaan, manakala selebihnya untuk puyuh pedaging.

“Syarikat juga menghasilkan 3,000 biji telur puyuh IKTA sehari dan 7,000
biji telur komersial sehari,” katanya.

Di bawah jenama Puyuh Best Frozen Food, syarikat itu mengeluarkan empat produk hiliran puyuh seperti Puyuh Berempah, Puyuh Black Pepper, Puyoh Crispy dan Sumbat Berempah Golek.

Hubungi 9A, Jalan Berlian 1, Taman Renggam Jaya, 86200 Simpang Reng­gam, Johor atau e-mel hj.ahmadjais@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment