Misteri kubur, polis temui 31 bungkusan pasir
Anggota polis menggali kubur tersebut yang menimbulkan pertanyaan kepada penduduk sekitar.
 
Misteri kubur, polis temui 31 bungkusan pasir
Jalaluddin (dua,kanan) dan Azham (kanan) melihat bungkusan pasir yang ditemui.
 
KOTA BHARU - Misteri kubur yang digali tanpa kelulusan terlerai apabila sebanyak 31 bungkusan pasir ditemui tertanam di dalamnya.
Kejadian yang berlaku di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah di sini disedari oleh orang awam kelmarin sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Setiap bungkusan pasir tersebut ditandakan dengan nombor bermula dari nombor 1 sehingga ke 31.Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian yang dipercayai berlaku empat hari lepas itu disedari oleh orang awam di sekitar kawasan kejadian.

“Mengikut aduan, mereka melihat dua lelaki bermotosikal membawa bungkusan dan menggali lubang di kubur tersebut pada malam hari.

Lubang yang digali adalah sedalam 1.07 meter dan panjang 2.1 meter serta lebar 0.9 meter,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman.

Operasi menggali kubur misteri tersebut dilakukan pada jam 1.10 petang semalam dan mengambil masa selama setengah jam.

Menurutnya, kesemua bungkusan pasir tersebut diserahkan kepada kepada pihak forensik untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, penduduk kampung, Syed Ahmad Syed Salleh, 62, berkata, kali terakhir keluarganya menggunakan kubur tersebut adalah pada tahun 1965 ketika mengebumikan jenazah adiknya.
“Kubur ini sudah lama terbiar dan tidak digunakan oleh penduduk kampung selepas tokong Cina dibina bersebelahan dengan kawasan perkuburan,” katanya.

Manakala pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie berkata, beliau tidak menolak kejadian tersebut mengandungi unsur-unsur kurafat dan tujuan pemujaan.

“Ini kerana kes seperti ini pernah berlaku di Johor satu ketika dulu. Kebiasaannya sebelum upacara tersebut, bacaan mentera dan jampi serapah mesti dilakukan untuk tujuan tersebut.

“Bacaan tersebut bagi membolehkan mereka mencapai kehendak dan hajat sebagaimana yang diinginkan,” katanya.

Menurutnya, selain itu kebanyakan mereka yang menjalankan aktiviti tersebut melakukannya di tanah perkuburan lama bagi tujuan pemujaan.

Beliau yang merupakan pengasas Pusat Rawatan Islam At- Tobibi, Nilai, Negeri Sembilan itu menasihati orang ramai supaya menjauhi aktiviti tersebut yang boleh merosakkan akidah umat Islam.


Sumber : Sinar Harian