Saturday 9 March 2013

Tunku Ismail akur dengan hukuman FAM

TAUFIK (tengah) ketika mengumumkan hukuman gantung enam bulan ke atas Tunku Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM di Kelana Jaya semalam.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akur dengan segala keputusan dan tindakan undang-undang yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap baginda.
Tunku Ismail dalam satu kenyataan semalam bertitah bahawa baginda menghormati keputusan yang dibuat oleh FAM berhubung dengan laporan media yang dibuat pada 20 Februari lalu dan semuanya dianggap telah selesai.
Sehubungan itu, baginda menasihatkan para penyokong Johor supaya sentiasa menjaga disiplin dan tatatertib serta tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang negatif.
Semalam, Tunku Ismail digantung enam bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selain didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM berkuat kuasa semalam.
Tunku Mahkota Johor itu didapati bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM kerana mengkritik mutu pengadilan bola sepak tempatan yang disifatkannya tidak mencapai standard yang diharapkan.
Baginda antara lain telah menggesa FAM untuk mengkaji kelemahan tersebut agar mutu pengadilan dalam Liga M lebih efisen.
Jawatankuasa Tatatertib dalam mesyuaratnya petang semalam turut mengenakan denda RM30,000 ke atas PBNJ kerana insiden pembakaran suar oleh penyokong Johor Darul Takzim ketika pasukan itu menentang Negeri Sembilan pada 2 Mac lalu.
Dalam pada itu, dalam kenyataan dua muka surat itu, Tunku Ismail juga ingin mengingatkan bahawa PBNJ merupakan persatuan bola sepak yang paling profesional dalam negara ini dengan struktur serta pengurusan yang kuat dan tersusun.
Baginda juga bertitah, mahukan penyokong Johor mempunyai sikap berhemah, selain mempunyai semangat kesukanan tinggi yang boleh menjadi kebanggaan dalam kalangan penyokong bola sepak di seluruh negara.
“Saya masih bersama-sama kamu semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan saya akan sentiasa memastikan bahawa kita (Johor) akan menjadi satu pasukan yang kuat dan disegani di negara ini,” titah baginda.
Sumber : Kosmo

1 comment: