Saturday, 16 March 2013

Lahad Datu: Azzimudie Berjaya Lolos, Tinggalkan Kumpulan Bersendirian - Panglima Angkatan Tentera

Azziudie Kiram (kiri) bersama pengikutnya 
KOTA KINABALU: Ketua kumpulan pengganas Sulu, Azzimudie Kiram dipercayai telah berjaya meloloskan diri dari Malaysia dan kembali ke tempat asalnya di selatan Filipina, kata Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata pasukan keselamatan membuat kesimpulan tersebut selepas menganalisa maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber risikan.
"Azzimudie telah meninggalkan kumpulannya bersendirian dan dia telah melarikan diri ke negaranya," kata Zulkifeli dalam satu sidang media bersama dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada lewat petang Jumaat.
Sementara itu, Ismail berkata daripada maklumbalas daripada pasukan keselamatan di lapangan menunjukkan bahawa Azzumudie tidak lagi bersama-sama dengan pengikutnya di sini.
Pangliman Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kanan) mengatakan sesuatu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media lewat petang Jumaat 
Bagaimanapun, ditanya lebih lanjut bagaimana ketua pengganas itu berjaya meloloskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan, Zulkifeli dan Ismail enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua kumpulan penceroboh itu, Azzimudie Kiram, yang turut dikenali sebagai Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.
Pada Khamis seramai 11 lagi individu ditahan dalam operasi memburu dan mengesan penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di beberapa kampung berdekatan dengan Kampung Tanduo.
Seramai lapan lelaki rakyat asing berusia 17 dan 29 tahun yang menaiki bot laju dari Filipina ditahan pada 12.15 malam ketika memasuki Sungai Bilis, Lahad Datu dan dua lagi lelaki rakyat asing yang dipercayai tali barut militan itu ditahan dalam operasi di Semporna.
Dalam tangkapan di Sungai Bilis, polis turut menemui wang tunai peso berjumlah PHP369,000 (RM28,375) dan satu tong kosong, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Sehingga petang ini, pasukan keselamatan menahan 97 orang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 233 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan Operasi Daulat.
Seramai 61 musuh pula ditembak mati dan 27 daripada mayat penceroboh militan itu dibawa keluar dari kawasan operasi untuk bedah siasat.
"Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu," katanya yang turut mengesahkan bahawa pasukan keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.
Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat itu dan jika tiada jawapan dalam tempoh itu, kesemua mayat berkenaan akan dikebumi mengikut cara yang sesuai. Malaysia juga tidak bersendirian dalam menyelesaikan krisis di pantai timur Sabah itu apabila mendapat kerjasama erat dari Filipina.
Komitmen dan pendirian Filipina jelas apabila tentera laut Filipina menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah dan kesemua mereka akan dihadapkan di mahkamah negara itu.
Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas gagal.
Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan aset ketenteraan dalam usaha menggempur habis-habisan bagi menamatkan krisis pencerobohan militan Sulu itu.
Dalam tempoh pencerobohan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera, manakala sembilan anggota pasukan keselamatan cedera.
Sumber : mStar Online

3 comments:

  1. Banyak versi sgt la..xtau mana sahihnya..

    ReplyDelete
  2. gua syak dia pakai ilmu david blane la. masuk orang tak tk nmpak. dia blah orag tk nmpak. tau2 dah takde. hahaha.

    ReplyDelete