Gambar hiasan
Akibat terkejut melihat objek putih misteri menyerupai ‘pocong’ melintang di depannya, seorang wanita hampir mati lemas apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit berhampiran Kampung Sungai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.15 pagi, mangsa Janariah Leoh, 38, terselamat apabila sempat ditarik keluar adiknya yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik dihubungi mangsa.
Menurut saksi dikenali sebagai Hayuzzi, 38, mangsa menceritakan kepadanya bahawa dia terkejut apabila melihat objek itu.
“Akibatnya, Kancil dipandu mangsa hilang kawalan lalu menjunam ke dalam parit.
“Walaupun keretanya hampir tenggelam, mangsa masih berada di dalam kenderaan itu kerana takut dan trauma mengenangkan kejadian berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa sempat menghubungi adiknya Fauzi Leoh, 34, menceritakan kejadian dan tidak berapa lama kemudian adiknya itu tiba lalu terus menariknya keluar dari kenderaan itu yang hampir tenggelam.
Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke pasar awam di Tanjung Piandang untuk membeli barangan perniagaannya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian saya terkejut apabila melihat kelibat manusia dan cahaya lampu dari dalam parit. Saya segera memberhentikan kenderaan dan memeriksa keadaan mangsa. “Saya terkejut apabila mendapati mangsa adalah rakan karib yang tinggal berhampiran rumah saya,” katanya.
Menurutnya, keadaan mangsa ketika itu seperti terpinga-pinga memikirkan kejadian dan tidak mampu berkata-kata.
“Selepas pulang ke rumah barulah mangsa menceritakan kepada orang kampung bagaimana kejadian itu berlaku. Ini kejadian kedua membabitkan kenderaan terhumban ke dalam parit.
“Apa yang menimbulkan pertanyaan penduduk adalah tempat kejadian itu sama seperti kejadian pada 2011 lalu,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Haha baca agak kelaka . Tapi benda-2 mcm ni memang terjadi kan xD ayah sy pun pernah kene
ReplyDelete