Wednesday, 27 March 2013

Dipancing kelab Australia

Kuala Lumpur: Pemain muda negara nampaknya kini semakin ‘laris’ di pasaran luar negara. Selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim berjaya mengikat kontrak dengan kelab Liga Divisyen Tiga Jepun FC Ryukyu, dua lagi pemain Harimau Muda A berpeluang mengikut jejak langkah mereka.
Namun kali ini destinasinya bukan ke Jepun sebaliknya ke Australia.

Dua pemain itu, kapten dan pemain perancang tengah Mohd Irfan Fazail dan penyerang Rozaimi Abd Rahman yang kini mendapat perhatian salah sebuah pasukan elit Liga Australia.

Setakat ini tawaran yang diberikan kelab yang pernah menjadi juara liga itu hanyalah ujian pemilihan yang dijangka diadakan pada Ogos ini, namun perkembangan itu dianggap cukup baik oleh pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee.

Kim Swee yang enggan mendedahkan nama kelab berkenaan buat masa ini berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk menetapkan tarikh sesuai bagi menghantar Irfan dan Rozaimi menjalani ujian itu.


“Kelab itu sudah meminta kami untuk menghantar Irfan dan Rozaimi pada Ogos. Kemungkinan mereka akan ke sana dalam tempoh seminggu hingga dua minggu.


Foto

“Cuma buat masa ini tarikh sebenar belum ditetapkan dan ia masih dalam perbincangan. Perkara ini perlu diteliti sebelum membuat keputusan memandangkan skuad ini mempunyai jadual padat pada Ogos sebagai persiapan ke Sukan SEA Myanmar.

“Bagi saya walaupun ia hanyalah ujian pemilihan, tapi ia satu perkembangan positif kerana memberi peluang kepada Irfan dan Rozaimi mencuba nasib dengan kelab itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Slovakia semalam.

Menurut Kim Swee, aksi di pentas antarabangsa termasuk di pusingan kelayakan Olimpik dan aksi persahabatan dengan beberapa kelab di Gold Coast Australia bulan lalu membolehkan pasukan luar dapat melihat sendiri bakat yang dimiliki pemain muda negara.

Sebelum ini Wan Zack Haikal pernah menjalani ujian percubaan bersama FC Ryukyu Julai tahun lalu dan hasilnya pemain sayap itu berjaya mendapat kontrak selama dua tahun manakala Nazirul setahun.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment